S’pura sambung semula operasi tembak gagak pertengahan Mac
S’pura sambung semula operasi tembak gagak pertengahan Mac
Selepas enam tahun dihentikan, operasi menembak gagak bakal disambung semula selepas kaedah kawalan lain tidak memadai dan laporan serangan meningkat.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan dalam hantaran Facebook pada 23 Februari, bahawa penembakan akan disambung mulai separuh kedua Mac.
Operasi itu pernah dijalankan sejak 1973 melibatkan penembak terlatih daripada Certis Cisco dan Singapore Gun Club.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) menghentikan operasi pada 2020 akibat kejadian peluru terkena kediaman berhampiran kerana tidak mematuhi langkah keselamatan.
Namun sejak itu, laporan berkaitan gagak dan pertembungan dengan orang ramai meningkat.
Pada 2025, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) menerima sekitar 15,000 laporan – tiga kali ganda berbanding 2020.
Aduan merangkumi bunyi bising, pemberian makanan dan najis.
Kes serangan pula melonjak kepada lebih 2,000 berbanding sekitar 460 pada 2020.
Encik Chee berkata jika bilangan gagak terus bertambah, keselamatan penduduk akan terjejas.
Beliau telah meminta Lembaga Taman Negara (NParks) untuk mengembalikan penembakan sebagai langkah tambahan mengurangkan jumlah gagak.
‘Gagak rumah’, atau ‘gagak India’, ialah spesies gagak yang berasal dari Asia Selatan dan banyak ditemui di kawasan bandar Singapura.
Di Singapura, gagak ini dianggap spesies asing yang boleh menjejas hidupan tempatan.
Burung ini sangat bijak, melindungi anak dan boleh menyerang apabila terasa terancam.
Najisnya turut menimbulkan masalah kebersihan di kawasan perumahan.
Menurut Encik Chee, walaupun NParks bekerjasama dengan agensi lain sejak 2020, usaha tersebut masih tidak memadai untuk mengawal bilangan gagak.
Langkah lain termasuk memerangkap dan melupuskan gagak, membuang sarang serta mengurangkan sumber makanan daripada manusia, katanya.
NParks mempergiat usaha menguruskan gagak sejak operasi menembak dihentikan pada 2020.
Ia memaklumkan sejak 2020, hampir 9,000 sarang dibuang pada 2025 berbanding sekitar 600 pada 2021; manakala lebih 13,000 gagak diperangkap dan dilupuskan berbanding 1,800 pada 2021.
Namun bilangan terus meningkat kerana gagak mudah menyesuaikan diri dan sukar diperangkap.
Kerja di lapangan dijalankan termasuk pemasangan sangkar di Toa Payoh, Bishan dan Siglap.
Percubaan patung plastik gagak turut diperkenalkan bagi menghalang kumpulan besar berkumpul.
Operasi baru akan dijalankan kontraktor berlesen dengan langkah keselamatan dipertingkatkan.
Penembak akan menjalani latihan serta mematuhi kawalan keselamatan ketat, termasuk menembak ke arah atas.
Zon operasi akan dipagar dan dikawal, manakala penembakan dilakukan oleh kontraktor hidupan liar berlesen yang bertauliah mengendalikan senjata api, ujar NParks.
Menurut Encik Chee, bersama perangkap dan penyingkiran sarang, langkah itu diharap dapat menurunkan bilangan gagak dan mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk penduduk.

