S’pura sedia 2 penerbangan bawa pulang rakyat dari Oman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sedia 2 penerbangan bawa pulang rakyat dari Oman

Siow Huang: Usaha ambil kira laluan penerbangan, pembukaan ruang udara dan lapangan terbang
Mar 5, 2026 | 1:54 PM

S’pura sedia 2 penerbangan bawa pulang rakyat dari Oman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pemindahan, rakyat Singapura, Oman
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, berkata Kementerian Ehwal Luar sedang membuat perancangan bagi penerbangan pemindahan untuk membawa pulang rakyat Singapura dari Muscat, Oman, pada 7 Mac. - Foto ST

Kementerian Ehwal Luar (MFA) sedang membuat perancangan bagi dua penerbangan pemindahan untuk membawa pulang rakyat Singapura dari Muscat, Oman, pada 7 dan 8 Mac.

Ia juga sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa tempatan di rantau Timur Tengah untuk meneroka kemungkinan penerbangan pemindahan selanjutnya, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.

Menjelaskan lanjut kepada pihak media di luar sidang perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada 5 Mac, beliau berkata pengaturan sedemikian akan mengambil kira laluan penerbangan, pembukaan ruang udara dan pembukaan semula lapangan terbang.

“Pasukan konsular dan kedutaan MFA telah berusaha dengan gigih untuk meneroka pengaturan tersebut.

“Ini termasuk menangani keadaan keselamatan yang mencabar dan sukar di lapangan, serta menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat penerbangan bagi meneroka pilihan (yang ada),” ujarnya.

Cik Gan tidak memberi perincian lanjut sama ada penerbangan itu bersifat komersial atau sewaan khas, namun difahamkan Misi Luar Negara Singapura di Timur Tengah akan memberikan maklumat lanjut kepada warga Singapura yang berdaftar di kedutaan masing-masing.

Beliau menambah, kementerian itu juga akan mengatur perjalanan melalui darat untuk beberapa hari seterusnya, bagi warga Singapura di Bahrain dan Qatar untuk ke Riyadh, Arab Saudi – salah satu negara dengan ruang udara yang masih dibuka seperti biasa.

Usaha sedemikian dilakukan memandangkan terdapat permintaan kukuh daripada warga Singapura di Timur Tengah yang berdaftar dengan MFA bagi bantuan untuk pulang ke Singapura, katanya.

Ini sedang Amerika Syarikat dan Israel terus mempergiat serangan ke atas Iran sejak 28 Februari.

Iran kemudian melakukan serangan balas terhadap beberapa negara Teluk termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Sejak itu, ruang udara bagi kebanyakan negara sedemikian masih ditutup.

Cik Gan juga berkata MFA telah mengerahkan pasukan tindak balas krisis di rantau Timur Tengah, dengan tiga pegawai telah dikerahkan ke Muscat, manakala dua lagi pegawai akan dikerahkan ke Riyadh.

Sehubungan itu, beliau tidak mendedahkan perangkaan sebenar bilangan warga Singapura di Timur Tengah yang berdaftar dengan MFA, semasa menyampaikan maklumat terkini kepada media.

Namun, sebahagian besar atau lebih kurang 60 peratus warga Singapura yang berdaftar dengan MFA di Timur Tengah berada di Oman dan UAE, ujarnya.

Antara warga Singapura yang menetap di Dubai, UAE ialah Cik Nabilah Yusnaini Wahid, 39 tahun.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengurus operasi di syarikat brokeraj perkapalan itu, berkata beliau telah dimaklumkan oleh MFA berkenaan penerbangan pemindahan tersebut.

Namun, beliau memutuskan untuk kekal di Dubai kerana keadaan di sana sudah agak tenang, jika dibandingkan dengan dua hari pertama konflik itu, di samping beberapa faktor lain.

Beliau, yang tinggal berseorangan di salah satu apartmen, Jumeirah Beach Residence, berkata: “Saya akan pantau perkembangan situasi di sini.

“Seberapa mungkin, saya ambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan berada di luar rumah (buat sementara waktu).”

Dalam pada itu, penerbangan pertama ke Singapura sudah beroperasi semula, sejak Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, salah satu hab penerbangan utama di Timur Tengah yang menghubungkan Eropah dan Asia, ditutup.

Penerbangan Emirates EK314 itu berlepas dari Dubai sekitar 9 malam pada 4 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 8.15 pagi pada 5 Mac.

“Ini termasuk menangani keadaan keselamatan yang mencabar dan sukar di lapangan, serta menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat penerbangan bagi meneroka pilihan (yang ada).”
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg