Vivian: S’pura, Asean sepakat serangan ke atas negara bukan penempur tidak boleh diterima

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura, Asean sepakat serangan ke atas negara bukan penempur tidak boleh diterima

Mar 4, 2026 | 5:04 PM

Vivian: S’pura, Asean sepakat serangan ke atas negara bukan penempur tidak boleh diterima

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Letupan di kawasan Fujairah, Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyusuli serangan udara Iran terhadap negara Teluk berikutan serangan Amerika Syarikat-Israel. Ruang udara UAE merupakan salah satu daripada beberapa negara Teluk yang ditutup.
Letupan di kawasan Fujairah, Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyusuli serangan udara Iran terhadap negara Teluk berikutan serangan Amerika Syarikat-Israel. Ruang udara UAE merupakan salah satu daripada beberapa negara Teluk yang ditutup. - Foto AFP

Singapura mengiktiraf dan menyokong Kenyataan Menteri Ehwal Luar Asean berkenaan situasi di Timur Tengah, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Dalam satu kenyataan Facebook pada 4 Mac, beliau berkata serangan yang semakin meningkat ke atas negara bukan penempur, termasuk yang disasarkan terhadap infrastruktur umum, tidak boleh diterima.

Dr Vivian berkata demikian sebagai respons kepada Kenyataan Menteri Ehwal Luar Asean berkenaan situasi di Timur Tengah yang dikeluarkan pada 4 Mac.

Beliau berkata: “Konflik yang tercetus di Timur Tengah amat membimbangkan. Saya telah berhubung rapat dengan rakan sejawatan saya di negara-negara Teluk bagi menyampaikan solidariti kami.

“Serangan yang semakin meningkat ke atas negara-negara bukan penempur, termasuk yang disasarkan terhadap infrastruktur awam dan tenaga, tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya juga merakamkan penghargaan mendalam daripada Singapura kepada negara-negara Teluk atas usaha mereka bagi memastikan keselamatan rakyat Singapura.”

Kenyataan Menteri Ehwal Luar Asean mengenai situasi di Timur Tengah itu menyatakan bahawa konflik yang berlangsung amat dikesali.

Ini memandangkan ia berlaku di tengah-tengah usaha diplomatik yang berterusan, termasuk inisiatif perantaraan yang diketuai oleh Oman, demi mencari jalan penyelesaian yang dirundingkan.

Kenyataan itu menambah tentang peri pentingnya usaha ke arah pemberhentian segera terhadap sebarang permusuhan dan menyeru semua pihak terlibat untuk mengawal diri sepenuhnya.

Ini di samping mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan, dan menyelesaikan perbezaan melalui diplomasi dan dialog bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Timur Tengah.

“Kami menegaskan semula kewajipan semua negara untuk menyelesaikan perbezaan melalui cara yang aman dan menghormati kedaulatan serta integriti wilayah semua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kami seterusnya menegaskan semula kewajipan melindungi orang awam dan infrastruktur awam dalam konflik bersenjata, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan ketetapan Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan negara Asean itu dikeluarkan sedang Amerika Syarikat dan Israel meneruskan serangan ke atas Iran sejak 28 Februari.

Iran kemudian melakukan serangan balas terhadap beberapa negara di Teluk – termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata serangan ke atas Iran itu bertujuan menamatkan ancaman keselamatan terhadap Amerika serta memberi peluang kepada rakyat Iran untuk menggulingkan pemerintah mereka.

Sejauh ini, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang terkorban atau cedera di Israel, Iran dan rantau Timur Tengah.

Kedutaan Singapura di Timur Tengah juga menasihatkan rakyat Singapura supaya kekal berada di dalam bangunan dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu sehingga dimaklumkan kelak.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, dalam satu kenyataan pada 3 Mac, berkata pihak MFA sedang berhubung rapat dengan rakyat Singapura di rantau itu.

“Kami sedang memantau situasi keselamatan dan ruang udara secara aktif dan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, beberapa syarikat penerbangan dan pengendali pengangkutan untuk meneroka semua pilihan yang tersedia.

“Ini termasuk perjalanan melalui darat ke bandar-bandar yang mempunyai keterhubungan penerbangan,” ujarnya.

Kedutaan Singapura di Riyadh, Arab Saudi, pada 2 Mac memulakan tinjauan bagi mengetahui permintaan pemindahan melalui jalan darat untuk rakyat Singapura yang terjejas di Bahrain.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook kedutaan itu, MFA dan Misi Luar Negara Singapura di Timur Tengah sedang menimbangkan beberapa laluan darat tetapi ia belum mengesahkan sebarang operasi pemindahan akan dijalankan.

Antara laluan yang dipertimbangkan termasuk:

  1. Dubai ke Muscat (Lebih kurang 7-9 jam)
  2. Abu Dhabi ke Muscat (Lebih kurang 8-10 jam)
  3. Doha ke Riyadh atau Jeddah (Lebih kurang 7 jam ke Riyadh atau 17 jam ke Jeddah)
  4. Amman ke Jeddah (Lebih kurang 15 jam)

Muscat, ibu kota Oman; Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi merupakan antara negara dengan ruang udara yang masih lagi terbuka. Ruang udara negara-negara Teluk yang terjejas ditutup berikutan serangan udara yang masih berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg