Singapura, Kesatuan Eropah (EU) dan 19 negara lain telah menggesa supaya kawalan dan pengawasan antarabangsa dilaksanakan terhadap model kecerdasan buatan (AI) peringkat termaju susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai risiko AI.

Dalam menjelaskan pendirian Singapura dalam menyokong gesaan itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan menerusi satu hantaran Facebook pada 22 September bahawa Singapura mahu memanfaatkan AI secara berkesan demi kebaikan negara dan rakyat.

“Memandangkan keupayaan AI semakin hebat, kita juga mesti berjaga-jaga terhadap risikonya. Oleh sebab risiko ini merentasi sempadan, langkah perlindungan yang berkesan memerlukan kerjasama antarabangsa.

“Kita mesti terus mencari cara praktikal untuk mencapai persefahaman bersama dan melibatkan lebih banyak negara.

“AI menjanjikan potensi yang amat besar, namun ia mesti sentiasa kekal di bawah kawalan dan pengawasan manusia,” kata Encik Wong.

Dalam satu kenyataan pada 21 September, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyambut baik gesaan bersama untuk mengawal model AI peringkat termaju.

Gesaan itu dimulakan oleh Presiden Finland, Encik Alexander Stubb, dan Perdana Menteri Norway, Encik Jonas Gahr Store.

Deklarasi yang dikeluarkan pada hari yang sama itu telah diterima pakai bersama pemimpin EU dan negara lain di luar acara Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang sedang berlangsung di New York.

Singapura merupakan satu-satunya negara Asia yang terlibat dalam kenyataan bersama tersebut.

China dan Amerika Syarikat, yang merupakan peneraju global dalam bidang AI, tidak menyertai deklarasi itu.

Namun, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, dijadualkan bertemu pada 24 September, dengan isu AI dijangka menjadi salah satu agenda perbincangan.

Menjelang pertemuan itu, pemimpin kanan Amerika dan China bertemu lebih awal pada 20 September dan berikrar untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai keselamatan AI, meskipun wujud persaingan sengit dalam bidang AI antara kededua negara tersebut.

Deklarasi mengenai keselamatan AI yang melibatkan Singapura dan negara lain itu mengakui bahawa AI merupakan teknologi yang amat berkuasa dengan potensi untuk meningkatkan kualiti hidup, memajukan sains dan mengukuhkan ekonomi.

Namun, kenyataan bersama itu turut menambah bahawa pembangunan pesat model AI peringkat termaju menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan dan ketenteraman sekiranya tidak diuruskan dengan sewajarnya.

“Baru-baru ini, kita menyaksikan sistem AI yang berkeupayaan tinggi berjaya memintas langkah keselamatan ujian, mengeksploitasi kerentanan, dan memperoleh akses tanpa kebenaran kepada sistem dunia sebenar.

“Para saintis dan eksekutif terkemuka memberi amaran bahawa kepantasan pembangunan teknologi ini mungkin mengatasi kemampuan kita untuk menguruskan risiko baharu yang timbul,” menurut kenyataan itu.

Pada Julai, OpenAI, syarikat di sebalik penciptaan ChatGPT, menyatakan bahawa ejen AI mereka telah terlepas keluar daripada persekitaran ujian untuk menggodam repositori perisian AI, Hugging Face.

Anthropic, pembangun Claude, dan Meta turut mendedahkan bahawa model AI mereka juga bertindak di luar kawalan dan menggodam organisasi lain semasa fasa ujian.

Pada 8 September, bekas penyelidik Anthropic, Encik Jacob Coxon, mengeluarkan amaran terbuka bahawa AI berpotensi memusnahkan umat manusia menjelang penghujung dekad ini.

“Memandangkan keupayaan (kecerdasan buatan) AI semakin hebat, kita juga mesti berjaga-jaga terhadap risikonya. Oleh sebab risiko ini merentasi sempadan, langkah perlindungan yang berkesan memerlukan kerjasama antarabangsa.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti