Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ke-81 di New York, Amerika Syarikat, dari 22 hingga 28 September.

Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 21 September, beliau akan menyampaikan kenyataan Singapura dalam pembahasan umum di perhimpunan tersebut pada 26 September.

MFA menambah bahawa perhimpunan itu bakal menyaksikan Dr Balakrishnan mempengerusikan beberapa acara peringkat tinggi.

Ini termasuk Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Tadbir Urus Global dan majlis jamuan bagi Forum Negara-Negara Kecil (Foss).

Beliau akan menjadi pengerusi bersama bagi Mesyuarat Menteri Luar Asean – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan Menteri Ehwal Luar Bahrain, Dr Abdullatif Rashid Al Zayani, serta menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Asean-Pakatan Pasifik.

MFA menyatakan Dr Balakrishnan juga akan turut mewakili Singapura dalam beberapa acara seperti Mesyuarat Pemimpin Perikatan Negara Kepulauan Kecil (Aosis) dan Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Inisiatif Pembangunan Global.

Dr Balakrishnan juga akan menyampaikan ucapan di Asia Society – sebuah badan pemikir bukan mengaut untung – dan berinteraksi dengan penggubal dasar serta ahli akademik mengenai situasi geopolitik serantau dan isu yang kian menjadi keprihatinan.

Perhimpunan tahunan PBB kali ini berlangsung berlatarbelakangkan peperangan, perpecahan geopolitik, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), serta krisis iklim yang semakin meruncing.

Dr Balakrishnan akan diiringi pegawai MFA dan akan bertemu dengan rakan sejawatan dari PBB dan Amerika.

Ketika menyampaikan kenyataan negara Singapura dalam edisi Perhimpunan Agung PBB sebelum ini pada 2025, beliau antara lain menyeru PBB agar mengekang penggunaan kuasa veto secara berleluasa oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan.

Selain itu, beliau mendesak supaya PBB menjadi sebuah pertubuhan yang bersifat lebih terangkum dan mencerminkan kepelbagaian.

Pada masa yang sama, Dr Balakrishnan menyatakan Singapura mendukung sistem pelbagai hala dan undang-undang antarabangsa yang disokong PBB sebagai cara terbaik bagi memelihara keamanan dan kemakmuran sejagat secara adil dan inklusif.

Ketika merumuskan edisi Perhimpunan Agung PBB sebelum ini kepada media, Dr Balakrishnan turut menyeru agar negara-negara kecil seperti Singapura membuat perubahan dengan membina hubungan serta menegakkan undang-undang antarabangsa.

Malah di sebalik konflik dan ketegangan geopolitik serta keadaan iklim, terdapat keperluan mutlak untuk menyemai persefahaman pelbagai hala.

Ini lebih-lebih lagi sedang PBB masih dianggap sebagai satu wadah bagi semua 193 negara anggota dan boleh berinteraksi antara satu sama lain, tambah beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti