Singapura dan enam negara lain telah menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), rantaian bekalan dan infrastruktur teknologi di akhir Sidang Puncak Pax Silica pertama yang diadakan di Amerika Syarikat.
Negara lain yang menandatangani Deklarasi Pax Silica yang tidak mengikat itu ialah Australia, Israel, Jepun, Korea Selatan, Britain dan Amerika.
Deklarasi itu “mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan kemakmuran, kemajuan teknologi dan keselamatan ekonomi”, kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam satu kenyataan pada 14 Disember.
Setiausaha Tetap MDDI bagi Pembangunan, Encik Chng Kai Fong, menyertai sidang puncak itu atas undangan Amerika pada 12 Disember di Washington.
MDDI berkata sidang puncak itu membincangkan kerjasama dan pelaburan dalam sektor utama ekonomi digital yang sedang membangun.
Ini termasuk potensi peluang baru untuk syarikat dan pelabur terkemuka merentas ekonomi, dengan tumpuan untuk mewujudkan peluang yang akan memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi negara-negara tersebut.
Di majlis menandatangani perjanjian itu, Encik Chng berkata:
“Deklarasi ini berpandang ke hadapan dan mengiktiraf peranan penting teknologi seperti AI supaya ia dapat dimanfaatkan untuk kebaikan awam, serta kepentingan kerjasama, baik di peringkat antarabangsa mahupun dengan sektor swasta.”
Laman Jabatan Negara Amerika menyatakan bahawa Pax Silica merupakan usaha utamanya dalam keselamatan AI dan rantaian bekalan, yang memajukan “konsensus keselamatan ekonomi baharu” dalam kalangan sekutu dan rakan kongsi yang dipercayai.
“Pax Silica” berasal daripada perkataan Latin – pax, yang bermaksud keamanan, kestabilan dan kemakmuran jangka panjang, manakala silica merujuk kepada sebatian yang ditapis menjadi silikon, salah satu elemen kimia yang menjadi asas kepada cip komputer yang membolehkan AI berfungsi, tambahnya.
Deklarasi itu, yang juga terdapat di laman tersebut, menyatakan bahawa negara-negara itu berusaha untuk membina dan mengerahkan rangkaian maklumat yang dipercayai, termasuk sistem teknologi maklumat dan komunikasi, kabel gentian optik dan pusat data.
Ia menambah bahawa negara-negara tersebut akan menggalak usaha untuk bekerjasama dalam “susunan strategik” rantaian bekalan teknologi global.
Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, aplikasi dan platform sofwe, model asas sempadan (frontier foundation models), ketersambungan maklumat dan infrastruktur rangkaian, pengkomputeran dan semikonduktor, pembuatan termaju, logistik pengangkutan, penapisan dan pemprosesan mineral, dan tenaga.
Ia menyatakan: “Melalui kerjasama ini, kami meneruskan kerjasama ekonomi yang menyeluruh untuk membina aturan keselamatan ekonomi berdasarkan kepercayaan, pemelengkap teknologi, kepentingan bersama, dan komitmen bersama untuk masa depan yang lebih makmur.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg