Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$37b disuntik pacu inovasi, penyelidikan dan perusahaan di S’pura

Tumpuan khusus terhadap memastikan penduduk kekal sihat dan cergas minda, sejajar dengan trend penuaan negara
Dec 5, 2025 | 7:00 PM
Singapura, RIE, NRE, Lee Hsien Loong
Rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030, yang menggariskan landskap penyelidikan dan pembangunan negara sepanjang lima tahun akan datang, dilancarkan oleh Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong (tengah); Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) Encik Heng Swee Keat (kiri), dan Setiausaha Tetap NRF, Profesor Tan Chorh Chuan pada 5 Disember. - Foto ZAOBAO

Singapura telah memperuntukkan sebanyak $37 bilion untuk landskap penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara sepanjang lima tahun akan datang, dengan matlamat menjamin masa depan negara sebagai hab teknologi mendalam (deep tech) global serta mencari huraian bagi cabaran yang dihadapi.

Dilancarkan oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 akan memanfaatkan R&D untuk menyokong keutamaan ekonomi dan nasional.

Tumpuan khusus juga akan diberikan bagi memastikan penduduk kekal sihat dan cergas minda, sejajar dengan trend penuaan penduduk negara ini.

Ini di samping membangunkan keupayaan dalam kecerdasan buatan (AI), data dan pengkomputeran, serta mengukuhkan kumpulan bakat dan keupayaan penyelidikan asas Singapura.

Sebagai negara yang kekurangan sumber, Singapura memerlukan keupayaan sains dan teknologi yang maju berbanding negara lain, kata Encik Lee, yang juga pengerusi Majlis Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIEC).

“Penyelidikan dan inovasi akan menjadi semakin penting apabila ekonomi kita semakin matang.

“Ia akan memacu pertumbuhan ekonomi dan membantu menangani keutamaan serta cabaran negara.

“Pemerintah percaya dalam mengekalkan pelaburan yang stabil dan konsisten dalam RIE, dalam apa jua keadaan, untuk jangka panjang.

“Melalui RIE 2030, kita akan melaburkan $37 bilion dalam R&D sepanjang lima tahun akan datang, iaitu sekitar 1 peratus daripada GDP, satu tahap yang telah kita kekalkan selama hampir 20 tahun, kata Encik Lee.

Encik Lee berkongsi demikian semasa satu sidang media di Hotel Shangri-La pada 5 Disember yang dihadiri Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) Encik Heng Swee Keat, dan Setiausaha Tetap NRF, Profesor Tan Chorh Chuan.

RIE 2030 akan memberi tumpuan kepada empat bidang iaitu, Perkilangan, Perdagangan dan Kesalinghubungan (MTC); Negara Bijak dan Ekonomi Digital (SNDE); Penyelesaian Bandar dan Kemampanan (USS); dan Kesihatan dan Potensi Manusia (HHP).

Dalam pada itu, RIE 2030 juga merangkumi program utama, atau ‘flagship’, sulung yang memberi tumpuan kepada semikonduktor bagi mengukuhkan kelebihan strategik Singapura dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Matlamat program perdana tersebut adalah untuk membuat Singapura sebagai nod R&D strategik penting dalam industri.

Ia juga akan mengukuhkan dan mengembangkan penyelidikan korporat bernilai tinggi serta perkilangan di Singapura, bagi menyokong pertumbuhan syarikat tempatan yang berdaya saing di peringkat global dan syarikat pemula teknologi mendalam, kongsi Encik Lee.

Sementara itu, RIE 2030 juga akan menangani “cabaran utama” berkaitan usaha mencapai usia panjang yang sihat dan cerdas, termasuk melambatkan permulaan kemerosotan kognitif dan hilangnya fungsi jasmani dalam kalangan warga emas.

Penuaan merupakan antara isu paling mendesak bagi Singapura, memandangkan seperempat daripada penduduk negara ini dijangka berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030, kata Encik Lee.

Justeru, tumpuan akan diberikan bagi mempertingkat pemahaman tentang biologi penuaan, selain membangunkan pendekatan baru untuk mengekalkan kesihatan otak dan fungsi fizikal melalui inovasi dalam bidang kesihatan, persekitaran-sosial, AI dan teknologi.

Program ‘perdana’ dan ‘cabaran utama’ RIE kedua akan diumumkan kelak.

Bagi menarik dan memupuk bakat, NRF akan memperkenalkan Anugerah Pascakedoktoran dan Dana Pelengkap Singapura-Horizon Europe bagi menggalakkan kerjasama dengan Horizon Europe, iaitu program pembiayaan utama Kesatuan Eropah bagi penyelidikan dan inovasi.

“Walaupun pelaburan kita dalam RIE besar, ia hanya merupakan sebahagian kecil daripada apa yang dilaburkan dunia secara keseluruhan.

“Oleh itu, adalah kritikal bagi kita untuk bekerjasama secara strategik, dengan menjalin kerjasama dengan institusi dan industri terbaik di dalam dan luar negara,” kata Encik Heng.

Titik perhubungan nasional, yang akan menggalakkan penyelidik tempatan untuk mengambil bahagian dalam permohonan geran Horizon Europe, serta menyediakan panduan dan bantuan bagi memudahkan penyertaan ini, juga akan ditubuhkan NRF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg