Dunia sedang mengalami perubahan yang pesat berlaku disebabkan peralihan teknologi dan dasar, tetapi Singapura telah bersedia untuk menanganinya.
Bercakap di majlis penyampaian anugerah merit pendidikan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Teck Ghee di Sekolah Rendah Townsville pada 22 Februari, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata pemerintah mempunyai rancangan untuk tahun akan datang ini dan masa depan, tetapi orang ramai perlu bersatu menyokongnya.
Menurutnya, beberapa rancangan itu telah dibentangkan dalam ucapan Belanjawan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari.
Ia termasuk keperluan yang lebih segera seperti sokongan untuk isi rumah menangani tekanan kos dan rancangan jangka panjang seperti mengukuhkan enjin pertumbuhan dan pelaburan dalam rakyat dan prasarana.
Encik Lee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, berkata persekitaran antarabangsa juga sedang mengalami perubahan.
Menurutnya, pentadbiran baru Amerika Syarikat telah mengambil pandangan yang berbeza secara asas tentang dunia dan membuat perubahan dasar dramatik yang akan membawa akibat besar di mana-mana.
Amerika telah mengumumkan pendekatan yang berbeza secara dramatik terhadap keselamatan Eropah dan mahu negara-negara di benua itu memikul beban pertahanan mereka sendiri dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada Amerika.
Ini memaksa pemerintah di Eropah untuk memikirkan semula dasar dan andaian jangka panjang dan asas, ujar Encik Lee.
Dalam dasar perdagangan, Amerika telah mengancam mengenakan tarif yang luas ke atas rakan dagangannya.
Jika ia diteruskan, ini berkemungkinan akan meningkatkan inflasi bukan sahaja di Amerika, malah di negara lain juga, tambahnya.
“Kita tidak dapat menyatakan dengan tepat bagaimana keadaan akan berlaku dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada Singapura, tetapi kita boleh yakin bahawa Singapura akan menghadapi persekitaran yang agak berbeza di masa hadapan.
“Tetapi kita tidak perlu risau, kita tidak perlu takut. Kita hanya perlu bersedia,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa pemerintah telah bersiap sedia untuk situasi seperti ini sejak sekian lama dan mempunyai rancangan baik yang sepatutnya membolehkan Singapura maju ke hadapan pada 2025 dan untuk beberapa tahun seterusnya.
Antaranya, agihan baru sebanyak $800 dalam baucar CDC dan sehingga $760 dalam rebat U-Save untuk setiap isi rumah bagi menangani tekanan kos.
Keluarga yang mempunyai anak akan menerima $500 untuk setiap anak dalam kredit LifeSG, dengan lebih banyak sokongan untuk mereka yang mempunyai lebih daripada dua anak.
Pemerintah juga sedang mengukuhkan enjin pertumbuhan dengan melabur dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum serta dalam prasarana termasuk Pelabuhan Mega Tuas dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi.
Pemerintah juga melabur dalam menaik taraf rakyatnya dan melengkapkan pekerja sepanjang hayat.
Ia termasuk Program Peningkatan SkillsFuture, yang menyediakan kredit SkillsFuture sebanyak $4,000 untuk pekerja berusia 40 tahun dan ke atas untuk mengikuti kursus sepenuh masa.
Mereka juga akan menerima separuh daripada gaji terakhir mereka (sehingga $3,000), untuk membantu menampung perbelanjaan sara hidup semasa menjalani latihan peningkatan.
Mereka yang menjalani latihan secara sambilan akan disokong dengan elaun latihan bulanan yang baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg