Singapura menyokong 243, atau 71 peratus, daripada keseluruhan 342 cadangan yang dikemukakan oleh negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi satu semakan berkala terhadap rekod hak asasi manusia di negara ini.

Cadangan yang disokong oleh Singapura dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) dan diterima pada 28 September merangkumi pemerkasaan wanita serta peningkatan perlindungan bagi golongan masyarakat tertentu seperti golongan kurang upaya, pekerja migran dan golongan berpendapatan rendah.

UPR meneliti rekod hak asasi manusia di kesemua 193 negara anggota setiap lima tahun, dengan semakan kali ini merupakan pusingan keempatnya.

Singapura menyerahkan laporannya kepada PBB pada Februari dan menyertai semakan itu pada Mei, di mana negara-negara lain menyumbangkan pandangan serta cadangan masing-masing.

Sokongan Singapura terhadap 71 peratus daripada senarai cadangan itu adalah lebih tinggi berbanding pusingan UPR sebelum ini, yang menyaksikan negara ini menerima 65 peratus cadangan pada 2021 dan 53 peratus pada 2016.

Wakil Tetap Singapura ke Pejabat PBB di Geneva, Encik Jaya Ratnam, telah menyampaikan kenyataan negara semasa penerimaan dapatan UPR berkenaan pada 28 September.

Encik Ratnam berkata, pendekatan negara terhadap hak asasi manusia berlandaskan prinsip mudah bahawa kemajuan perlu sentiasa diukur menerusi hasil nyata bagi rakyatnya.

Dua prinsip yang dipegang teguh oleh Singapura dalam hal berkenaan ialah pragmatisme, dengan tumpuan terhadap usaha meningkatkan taraf hidup secara berterusan; serta kedaulatan undang-undang, di mana undang-undang dilaksanakan secara saksama dan tegas bagi menegakkan prinsip keadilan, sekularisme, meritokrasi dan kepelbagaian kaum.

Beliau berkata Singapura menyokong cadangan yang melengkapi usaha negara untuk membina masyarakat lebih terangkum, bersepadu dan berdaya tahan.

“Pendekatan Singapura terhadap hak asasi manusia sentiasa dibentuk oleh kepelbagaian rakyat dan pandangan pragmatik kami,” katanya.

“Mendukung semangat untuk terus membawa kemajuan, kami akan sentiasa mempertingkat hak asasi manusia melalui cara yang dapat meningkatkan taraf hidup, memelihara maruah serta meluaskan peluang bagi rakyat kami.”

Pada sesi 28 September di Geneva, beberapa negara anggota PBB dan organisasi masyarakat sivil mengiktiraf kemajuan Singapura dalam meningkatkan sokongan bagi kumpulan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan pekerja migran.

Kemudahan akses juga bertambah baik susulan semakan ke atas Kod mengenai Kemudahan Akses dalam Persekitaran Binaan yang mula berkuat kuasa pada November 2025.

Kod berkenaan mewajibkan piawaian lebih ketat bagi kemudahan seperti lif dan kesambungan bebas halangan, menurut laporan itu.

Namun, beberapa organisasi masyarakat sivil telah menyuarakan kekecewaan kerana Singapura tidak menyokong sejumlah cadangan berhubung perkara yang mereka sifatkan sebagai “hak asasi asas”.

Daripada 99 cadangan yang tidak disokong oleh Singapura, 22 daripadanya melibatkan penggunaan hukuman mati di negara ini, manakala 12 lagi berkaitan hak kebebasan bersuara, meluahkan pendapat dan berhimpun.

Dalam laporan negaranya, Singapura menegaskan bahawa setiap rakyatnya mempunyai hak kebebasan bersuara, meluahkan pendapat dan berhimpun secara aman yang dilindungi oleh perlembagaan.

Namun begitu, hak-hak tersebut tidak mutlak dan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Singapura turut mengiktiraf sepenuhnya bahawa hukuman mati adalah sesuatu yang tidak boleh diubah, dan mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan setiap kes dilaksanakan menerusi proses undang-undang yang adil, telus dan wajar.

“Hukuman mati pada dasarnya kekal sebagai isu keadilan jenayah dan keputusan berdaulat sesebuah negara,” tambahnya.

“Pemerintah akan terus memelihara hak rakyat untuk hidup dalam keadaan selamat dan terjamin.”