Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tawar pakej bantuan teknikal baru bagi negara pulau kecil

May 29, 2024 | 4:43 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, menghadiri Persidangan Antarabangsa Keempat mengenai Negara Membangun Pulau Kecil (SIDS4) di Antigua dan Barbuda dari 27 hingga 30 Mei 2024 sebagai Duta Khas Perdana Menteri.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, menghadiri Persidangan Antarabangsa Keempat mengenai Negara Membangun Pulau Kecil (SIDS4) di Antigua dan Barbuda dari 27 hingga 30 Mei 2024 sebagai Duta Khas Perdana Menteri. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Singapura telah menawarkan pakej bantuan teknikal baru, ‘SIDS of Change’, yang bertujuan melengkapkan Negara Membangun bagi Pulau Kecil (SIDS) dengan lebih baik.

Ia khusus untuk melaksanakan Agenda Antigua dan Barbuda untuk SIDS bagi mencapai masa depan lebih berdaya tahan dan makmur.

Agenda tersebut mengenal pasti cabaran yang dihadapi negara pulau kecil yang membangun dan menyeru masyarakat antarabangsa agar menyokong usaha SIDS dalam menangani isu-isu itu.

Pakej bantuan teknikal ‘SIDS of Change’ akan merangkumi program tersuai mengenai isu-isu baru yang bangkit termasuk karbon biru dan pendigitalan.

Demikian diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Dr Maliki menghadiri Persidangan Antarabangsa Keempat mengenai Negara Membangun Pulau Kecil (SIDS4) di Antigua dan Barbuda dari 27 hingga 30 Mei sebagai Duta Khas Perdana Menteri.

Antigua dan Barbuda terletak di Caribbean.

Persidangan itu diadakan sekali setiap dekad.

Antaranya, hadirin telah membincangkan isu utama peringkat sejagat, seperti pembangunan mampan, perubahan iklim dan teknologi digital, serta bagaimana usaha sama boleh dijalin bagi menanganinya.

Dalam ucapannya semasa persidangan tersebut, Dr Maliki berkata Singapura telah menawarkan pakej bantuan teknikal kepada SIDS sejak 1999 sebagai tindak balas kepada cabaran yang semakin berkembang.

Sebagai contoh, Kerjasama Singapura bagi Laluan Modaliti Tindakan Dipercepat SIDS (SAMOA), yang telah dilancarkan pada 2019, menawarkan program khusus termasuk mengenai perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana.

“Sedang kami bersedia untuk menghadapi cabaran dekad yang akan datang, saya dengan sukacitanya mengumumkan pakej bantuan teknikal baru Singapura untuk SIDS, yang kami panggil ‘SIDS of Change’.

“Pakej ini termasuk program tersuai baru mengenai isu baru muncul seperti karbon biru dan pendigitalan.

“Kami juga akan terus menaja fellowship penerbangan awam dan maritim bagi pegawai SIDS untuk membina keupayaan dalam bidang penting ini yang akan meningkatkan ketersambungan kami.

“Kami menjemput semua SIDS untuk mengambil bahagian secara aktif dalam program-program ini,” ujar Dr Maliki.

Beliau turut berkongsi pandangan Singapura terhadap dua cabaran utama yang akan dihadapi SIDS.

Pertama, perubahan iklim.

Beliau berkata SIDS “berada di barisan hadapan mengalami kesan perubahan iklim”.

“Kita semakin terjejas oleh taufan tropika, lonjakan ribut, kemarau dan perubahan corak hujan.

“Penyesuaian jelas merupakan keutamaan yang mendesak untuk SIDS.

“Oleh itu, Singapura menyokong penuh seruan Agenda Antigua dan Barbuda untuk SIDS bagi sokongan tepat pada masanya untuk tindakan ke atas penyesuaian, termasuk operasi dan pelaksanaan Rangka Kerja UAE (Amiriah Arab Bersatu) untuk Ketahanan Iklim Sejagat.

“Di samping itu, SIDS mesti bekerjasama dalam memastikan kejayaan COP29 (Sidang Puncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Azerbaijan yang memastikan semua negara memenuhi janji iklim mereka bagi memastikan matlamat suhu Perjanjian Paris 1.5 Celsius adalah dalam jangkauan,” tambahnya.

Kedua, pendigitalan.

Dr Maliki berkata Singapura setuju dengan saranan Agenda Antigua dan Barbuda untuk SIDS memanfaatkan teknologi digital bagi mencapai pembangunan mampan.

“Bagi meraih manfaat penuh pendigitalan, SIDS juga harus mewujudkan persekitaran yang membolehkan untuk memupuk inovasi, sambil menggalakkan keterangkuman digital bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam revolusi digital ini,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg