Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura teliti peraturan baru AS mengenai eksport cip AI yang mungkin jejas pusat data
S’pura teliti peraturan baru AS mengenai eksport cip AI yang mungkin jejas pusat data
Singapura sedang menilai kesan peraturan baharu Amerika Syarikat yang menyasarkan akses jarak jauh China kepada cip kecerdasan buatan (AI) melalui pusat data di Asia Tenggara, dengan langkah tersebut berpotensi melumpuhkan pertumbuhan pesat pusat data di rantau ini.
“Kami sedang meneliti perincian langkah baharu ini dengan rapi,” menurut kenyataan media bersama oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI), yang dikeluarkan beberapa jam selepas Jabatan Perdagangan Amerika mengumumkan peraturan baharu itu pada 16 November.
“Kami sedang berhubung dengan syarikat yang terjejas bagi memahami kesan yang mungkin timbul terhadap perniagaan mereka,” kata kenyataan itu.
“Kami juga telah berunding dengan penguasa Amerika yang berkaitan mengenai skop dan pelaksanaan langkah tersebut, selain meneliti cara untuk memudahkan akses yang dipercayai bagi syarikat Singapura,” tambah kenyataan itu lagi.
Peruntukan baharu itu dirangka bagi memastikan sekatan sedia ada terhadap akses kepada teknologi sensitif Amerika tidak dipintas melalui aturan pengkomputeran jarak jauh yang melibatkan pusat data di negara ketiga, menurut Biro Industri dan Keselamatan, Jabatan Perdagangan Amerika, dalam kenyataan medianya.
Peraturan berkenaan, yang berkuat kuasa 90 hari selepas diwartakan dalam Daftar Persekutuan, akan menambah Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brazil ke dalam senarai negara yang tertakluk kepada sekatan eksport.
Syarikat kemudian memerlukan lesen daripada Jabatan Perdagangan Amerika untuk menghantar bekalan ke negara berkenaan.
Persekitaran operasi dua peringkat akan wujud di Singapura susulan pelaksanaan peraturan berkenaan.
Pengendali tempatan dan bukan dari Amerika akan berdepan pelesenan eksport yang ketat, manakala penyedia perkhidmatan awan berskala besar dari Amerika seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google pula diberikan pengecualian.
Matlamat Amerika adalah untuk mengenakan tindakan keras terhadap syarikat seperti Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura, yang telah membeli cip Nvidia bernilai berbilion dolar dan membina pusat data di serata Asia Tenggara.
Sebelum pemerintah Amerika mengeluarkan peraturan pada 16 November, tindakan pusat data sebegini menyediakan kuasa pengkomputeran kepada syarikat gergasi teknologi China seperti Alibaba, ByteDance dan Tencent dibenarkan di sisi undang-undang.
Bergantung kepada cara penguatkuasaannya, peraturan tersebut akan menyukarkan pusat data di Asia Tenggara untuk membeli perkakasan AI canggih dan memberi perkhidmatan kepada syarikat AI besar China yang sedang membangunkan AI generatif, kata rakan kongsi dan ketua teknologi di firma perunding DGA Group, Encik Paul Triolo.
“Kesan peraturan ini terhadap aturan sedia ada adalah rumit, manakala pelaksanaan serta penguatkuasaannya berkemungkinan besar mencabar,” kata Encik Triolo.
“Namun, saya tidak berpendapat ini merupakan pengakhiran bagi pembangunan pusat data di rantau ini memandangkan permintaan terhadap penggunaan AI kekal kukuh dan semakin meningkat,” ujarnya.
Peraturan Jabatan Perdagangan itu tidak menamakan jenama komersial tertentu seperti Nvidia, sebaliknya menyasarkan perkakasan seperti litar bersepadu pengkomputeran canggih, komputer, pelayan (server) serta pemasangan elektronik yang mengandungi cip berkenaan.
Amerika akan memantau negara-negara yang berkompromi dengan tindakan mengelak sekatan tersebut dan boleh mengenakan sekatan perdagangan atau import lebih meluas sekiranya tahap pematuhan didapati lemah, menurut notis Jabatan Perdagangan itu.
Kenyataan media bersama daripada MDDI dan METI turut menyatakan bahawa Republik ini merupakan hab perniagaan antarabangsa yang dipercayai, disokong oleh sistem perundangan yang kukuh.
“Sebagai hab global bagi teknologi dan perdagangan, Singapura akan terus memelihara integriti persekitaran perniagaan kami serta memastikan akses berterusan kepada semikonduktor canggih dan keupayaan pengkomputeran bagi syarikat sah yang beroperasi di sini, di samping mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang kami,” menurut kenyataan itu.