Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura terajui Asean 2027, tumpu penyepaduan pasaran serta perkukuh kerjasama
Tema ‘Penyepaduan Lebih Mendalam, Kerjasama Lebih Luas’ dipilih ketika dunia semakin berpecah sehingga jejas ekon
S’pura terajui Asean 2027, tumpu penyepaduan pasaran serta perkukuh kerjasama
Singapura akan memberi tumpuan kepada penyepaduan pasaran merentas sempadan serta memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi selaku pengerusi Asean pada 2027.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mendedahkan tema untuk kepengerusian Singapura – ‘Penyepaduan Lebih Mendalam, Kerjasama Lebih Luas’ (Deeper Integration, Wider Partnerships) – berikutan penyerahan simbolik tukul pengerusi daripada Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, kepada Singapura di majlis penutup Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina pada 17 November.
Kepengerusian Singapura juga bertepatan dengan ulang tahun ke-60 Asean pada 2027.
Turut didedahkan ialah logo kepengerusian Asean 2027, yang menampilkan 60 anak tangga mengelilingi lambang Asean – iaitu 11 tangkai padi yang mewakili 11 negara anggota blok itu – untuk mencerminkan kemajuan rantau ini sepanjang enam dekad lalu.
Dalam ucapannya di majlis itu, Encik Wong menggariskan visi strategik Singapura untuk blok serantau itu.
Beliau berkata tema tersebut dipilih berlatarbelakangkan dunia yang semakin berubah, dengan persaingan kuasa besar semakin memuncak, perintah ekonomi global semakin berpecah-belah, dan pelbagai konflik serta gangguan yang berlaku jauh dari rantau ini sehingga menjejas ekonomi.
“Kita tidak boleh mengawal semua perkembangan luaran ini.
“Tetapi kita boleh memutuskan bagaimana Asean bertindak.
“Kita boleh memilih untuk kekal bersatu, memperdalam kerjasama kita, dan memperkukuh keupayaan kita untuk membentuk masa depan kita sendiri,” kata Encik Wong dalam ucapannya.
Encik Wong menjelaskan bahawa kedua-dua tonggak tema tersebut saling memperkukuh antara satu sama lain.
Asean yang lebih bersepadu akan menjadi rakan kongsi yang lebih bernilai kepada dunia, manakala rangkaian kerjasama yang lebih luas akan mewujudkan lebih banyak peluang dan membantu dalam mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau.
Di bawah tonggak ‘Penyepaduan Lebih Mendalam’, Singapura merancang untuk mengambil langkah seterusnya ke arah merealisasikan pasaran tunggal Asean.
Encik Wong mengetengahkan keperluan untuk membolehkan perniagaan ditubuhkan dan beroperasi dengan lebih lancar merentas sempadan, yang akan membolehkan rakyat Asia Tenggara menikmati lebih banyak peluang untuk bekerja, melabur, dan mengecapi kemakmuran.
“Ini termasuk memperkukuh hubungan kita dalam bidang kewangan, teknologi digital dan tenaga,” kata beliau, sambil menggesa rantau ini untuk merebut peluang baru dengan memanfaatkan kuasa kecerdasan buatan (AI) dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga lebih bersih.
Dorongan untuk penyepaduan ekonomi ini dibina di atas kemajuan yang dicapai di bawah kepimpinan Filipina sepanjang tahun lalu.
Encik Wong memuji blok serantau itu kerana berjaya menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), memastikan penguatkuasaan awal Perjanjian Perdagangan Barangan Asean yang dinaik taraf, dan memajukan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-China 3.0.
Menyentuh mengenai tonggak ‘Kerjasama Lebih Luas’ pula, Encik Wong menekankan bahawa Asean mesti terus bersikap terbuka dan berpandangan ke luar.
“Pada masa dunia menjadi semakin terbahagi, tindak balas kita adalah untuk terus membina jambatan – untuk memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi kita...dan memastikan Asia Tenggara kekal sebagai rantau di mana semua negara boleh berinteraksi dan bekerjasama,” kata beliau.
Tahun 2027 turut akan menandakan ulang tahun ke-50 hubungan blok serantau ini dengan Amerika Syarikat, Kanada, dan Kesatuan Eropah, di samping ulang tahun ke-30 Asean Plus Three (iaitu Asean dengan rakan kongsi China, Jepun dan Korea Selatan).
Encik Wong berkata ini memberikan peluang penting untuk memperdalam kerjasama praktikal dan memperkukuh peranan Asean sebagai platform pendekatan yang terbuka dan inklusif.
Mengimbau kembali sejarah Asean, Encik Wong mengingatkan bahawa 60 tahun yang lalu, Asia Tenggara merupakan rantau yang berpecah-belah akibat konflik, persaingan ideologi, dan syak wasangka yang mendalam.
Hari ini, keyakinan para pengasas Asean telah terbukti, di mana blok serantau itu telah membantu mengekalkan keamanan, merapatkan hubungan ekonomi, dan mewujudkan pelbagai peluang untuk rakyatnya.
Sambil memuji Encik Marcos Jr kerana berjaya mengemudi blok serantau itu mengharungi tahun yang sukar, Encik Wong juga meraikan integrasi penuh Timor-Leste ke dalam keluarga Asean.
Secara langsung merujuk kepada Perdana Menteri Xanana Gusmão, beliau meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat kepengerusian Timor-Leste yang dijadualkan pada 2029.
“Kekuatan terbesar Asean sentiasa terletak pada kesediaan kita untuk bekerjasama walaupun terdapat perbezaan,” kata Encik Wong mengakhiri ucapannya.
“Kami berharap dapat bekerjasama erat dengan anda semua dalam Asean dan semua rakan kongsi kami untuk membina sebuah Asean yang bersatu dalam matlamatnya, yakin dengan masa depannya, dan terbuka kepada dunia.”
Hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-49 itu turut menyaksikan kedatangan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang menyertai Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika, dipengerusikan bersama oleh Encik Trump buat tahun kedua berturut-turut.
Turut diadakan pada hari itu termasuk Sidang Kemuncak Asean Plus Three ke-29; Mesyuarat Pemimpin Masyarakat Sifar-Pengeluaran Asia Keempat; Sidang Kemuncak Asean-Jepun ke-29; Sidang Kemuncak Asean-India ke-23; dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-21.