S’pura dapat undangan sertai Lembaga Keamanan Trump, MFA sedang menilai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura dapat undangan sertai Lembaga Keamanan Trump, MFA sedang menilai

Lembaga awalnya dicadang untuk selia usaha bina semula Gaza, namun kini diperluas jadi platform ‘selesaikan konflik global’
Jan 20, 2026 | 11:56 AM

S’pura dapat undangan sertai Lembaga Keamanan Trump, MFA sedang menilai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
S’pura, undangan, Lembaga Keamanan, Trump, MFA sedang menilai
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pertama kali menyebut mengenai penubuhan lembaga keamanan pada September 2025 sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang Israel di Gaza yang telah berlarutan selama dua tahun. - Foto EPA

Singapura telah mendapat undangan rasmi untuk menyertai Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sebuah badan baru yang diterajui Washington bagi menyelia fasa seterusnya pelan damai Gaza dan berpotensi memainkan peranan lebih luas dalam pengurusan konflik global.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengesahkan perkara itu pada 20 Januari, sambil menegaskan bahawa pemerintah masih menilai tawaran berkenaan.

“Pemerintah Singapura telah menerima undangan daripada Amerika Syarikat untuk menyertai Lembaga Keamanan dan sedang menilai undangan tersebut,” menurut jurucakap MFA.

Undangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha besar-besaran Rumah Putih untuk membentuk lembaga antarabangsa baru, dengan surat jemputan dihantar kepada puluhan negara.

Pada peringkat awal, lembaga itu dicadangkan untuk menyelia usaha pembinaan semula Gaza, namun kini diperluaskan fungsinya sebagai platform bagi apa yang digambarkan sebagai usaha “menyelesaikan konflik global”.

Salinan surat undangan yang dikongsi oleh Presiden Argentina, Encik Javier Milei, memperlihatkan nada bercita-cita tinggi Presiden Trump terhadap peranan dan matlamat lembaga tersebut.

Dalam surat itu, Encik Trump menyifatkan lembaga tersebut sebagai peluang untuk menyertai “usaha bersejarah dan luar biasa bagi mengukuhkan keamanan di Timur Tengah, serta pada masa yang sama merintis pendekatan baru yang berani untuk menyelesaikan konflik global”.

Perluasan skop ini mencetuskan spekulasi bahawa Encik Trump mungkin berhasrat membina sebuah badan alternatif yang diterajui Amerika untuk menyaingi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah meluluskan resolusi menyokong penubuhan lembaga itu dengan mandat terhad kepada Gaza sehingga akhir 2027.

Lembaga Keamanan itu dijangka dipengerusikan Encik Trump sendiri dan merancang untuk mengadakan mesyuarat pertamanya di luar sesi utama Forum Ekonomi Dunia di Davos pada 23 Januari ini.

Senarai rasmi anggota serta piagam yang memperincikan mandat dan skop lembaga itu dijangka diumumkan dalam beberapa hari akan datang.

Encik Trump pertama kali mengumumkan idea penubuhan lembaga tersebut pada September 2025 sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara untuk menamatkan perang Israel-Gaza yang telah berlarutan selama dua tahun.

Selepas gencatan senjata rapuh dicapai pada Oktober 2025, Majlis Keselamatan PBB memberikan sokongan rasminya melalui resolusi yang diluluskan pada 17 November 2025.

Singapura sebelum ini tidak memohon untuk menyertai lembaga berkenaan.

Ketika ditanya di Parlimen pada 15 Oktober 2025 sama ada Singapura akan berusaha mendapatkan tempat dalam lembaga itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan pendekatan berhati-hati Singapura.

Dr Balakrishnan berkata: “Kami (pemerintah Singapura) tidak berkempen untuk menjadi negara anggota di Lembaga Keamanan.

“Pendekatan kami adalah sentiasa lebihkan usaha, kurangkan bertutur dan melakar usaha di lapangan tanpa digembar-gemburkan.

“Itulah sebabnya kami tidak meminta untuk menjadi anggota mana-mana lembaga.

“Kami tidak berkempen untuk berada dalam Lembaga Keamanan,” katanya.

Draf piagam lembaga yang tidak rasmi dan kini beredar luas dalam media antarabangsa mencetuskan tanda tanya baru.

Dokumen itu tidak menyebut Gaza secara khusus, walaupun mandat yang diberikan oleh PBB terhad kepada wilayah tersebut dan mempunyai tempoh masa yang jelas.

“Lembaga Keamanan ialah sebuah organisasi antarabangsa yang bertujuan menggalakkan kestabilan, memulihkan tadbir urus yang sah dan boleh dipercayai, serta menjamin keamanan berkekalan di kawasan yang terjejas atau terancam oleh konflik,” menurut draf piagam itu.

Piagam berkenaan menetapkan tempoh keanggotaan maksimum selama tiga tahun, tertakluk kepada pembaharuan oleh pengerusi.

Namun, satu klausa kontroversi menawarkan keanggotaan tanpa had kepada negara yang menyumbang lebih AS$1 bilion ($1.3 bilion) dalam bentuk tunai pada tahun pertama, dengan dana tersebut disalurkan kepada pembinaan semula Gaza.

Menurut laporan, undangan telah dihantar kepada kira-kira 60 negara termasuk Britain, Perancis, Russia, Arab Saudi, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkey.

Dari Asia, negara yang disenaraikan termasuk Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan Thailand.

China, pesaing strategik utama Amerika, tidak tersenarai setakat ini.

Beberapa negara seperti Vietnam, Hungary, Kazakhstan, Maghribi dan Argentina telah mengesahkan niat untuk menyertai, manakala kebanyakan negara lain mengambil pendekatan berhati-hati.

Israel, yang menyifatkan cadangan lembaga itu sebagai “perjanjian yang merugikan”, telah menerima jemputan tetapi belum memberikan persetujuan.

Perancis pula menyatakan tidak bercadang menyertainya “pada peringkat ini”, manakala Kremlin memaklumkan ia masih mengkaji butiran lanjut.

Perkembangan ini berlaku dalam konteks kritikan terbuka Encik Trump terhadap PBB.

Pada 7 Januari, beliau mengumumkan pengunduran Amerika daripada 31 agensi dan badan PBB, sambil menyifatkan operasi mereka sebagai “bertentangan dengan kepentingan nasional Amerika”.

Sebuah jawatankuasa eksekutif telah dibentuk untuk menguruskan urusan harian lembaga itu di Gaza, yang merangkumi Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dan utusan khas Asia Barat, Encik Steve Witkoff, selain tokoh korporat seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apollo Global Management, Encik Marc Rowan.

Jawatankuasa tersebut turut melibatkan mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, serta Presiden Bank Dunia, Encik Ajay Banga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg