Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura teroka kerjasama baru dengan EU, termasuk dalam AI, teknologi kuantum

Tujuh bidang kerjasama digital ditetapkan susulan perbincangan Majlis Perkongsian Digital EU-S’pura (EUSDP)
Dec 2, 2025 | 4:57 PM
Josephine Teo, Henna Virkkunen
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (kiri) bertemu dengan Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah bagi Kedaulatan Teknologi, Keselamatan dan Demokrasi, Cik Henna Virkkunen, pada 1 Disember di Brussels, Belgium. - Foto MDDI

Singapura akan meneroka kerjasama baru dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan dan penipuan dalam talian, kelayakan yang boleh disahkan, keselamatan siber, aliran data rentas sempadan, semikonduktor dan teknologi kuantum.

Tujuh bidang kerjasama digital itu telah dimuktamadkan susulan perbincangan yang diadakan pada mesyuarat kedua Majlis Perkongsian Digital EU-Singapura (EUSDP) yang diadakan pada 1 Disember di Brussels, Belgium.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, dan Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah bagi Kedaulatan Teknologi, Keselamatan dan Demokrasi, Cik Henna Virkkunen.

Semasa berucap di mesyuarat itu, Cik Teo berkata beliau mengalu-alukan bidang keutamaan yang diperbaharui itu “memandangkan landskap digital yang sentiasa berubah dan kemajuan teknologi yang pesat”.

“Strategi, keutamaan dan pendekatan kita mesti disesuaikan dengan sewajarnya. Bidang-bidang ini akan kekal menjadi tumpuan utama usaha pembangunan digital kita,” kata Cik Teo.

Dalam bidang keselamatan dan penipuan dalam talian, Singapura dan EU akan memperdalam kerjasama untuk melindungi pengguna daripada bahaya dan penipuan dalam talian, dengan tumpuan khusus untuk melindungi kanak-kanak bawah umur.

Teknologi kuantum juga akan diteroka untuk meningkatkan pembangunan teknologi, daya saing ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan.

Singapura dan EU juga akan meneroka beberapa kes penggunaan kelayakan yang boleh disahkan rentas sempadan dengan memanfaatkan sistem identiti digital sedia ada.

“Topik-topik yang diperbaharui ini (adalah) bidang yang perusahaan serta komuniti penyelidikan kita sangat berminat,” kata Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Kumpulan Negara Bijak dan Keselamatan Siber.

“Bidang keutamaan yang dikemas kini dalam perkongsian digital kita mencerminkan komitmen kami untuk memastikan perkongsian ini terus mengikuti perkembangan baru muncul.”

EUSDP adalah rangka kerja menyeluruh untuk kerjasama digital yang menyediakan platform untuk EU dan Singapura bertukar idea dan mencari jalan kerjasama baru dalam landskap digital yang pesat berkembang.

Sejak mesyuarat pertama yang diadakan pada Februari 2023, perkongsian tersebut telah berkembang untuk memberi tumpuan kepada pelbagai bidang yang lebih luas.

Pada mesyuarat kedua Majlis EUSDP yang diadakan pada 1 Disember, Singapura dan EU mengesahkan semula perkongsian mereka yang dibina atas kepentingan bersama.

Mereka juga mengiktiraf peningkatan relevan perkongsian digital sebagai platform utama dalam menangani cabaran teknologi baru muncul.

Cik Teo sedang berada di Eropah dari 1 hingga 4 Disember untuk bertemu rakan sejawat dan pemimpin dalam industri dan akademik di seluruh Belgium, Belanda dan Denmark.

Semasa lawatannya, beliau akan bertemu dengan pegawai Eropah untuk memahami perkembangan terkini dalam landskap digital EU.

Cik Teo juga akan bertemu dengan penyelidik dan peneraju industri di Belanda dan Denmark yang sedang memacu kejayaan dalam AI dan teknologi kuantum.

“Topik-topik yang diperbaharui ini (adalah) bidang yang perusahaan serta komuniti penyelidikan kita sangat berminat. Bidang keutamaan yang dikemas kini dalam perkongsian digital kita mencerminkan komitmen kami untuk memastikan perkongsian ini terus mengikuti perkembangan baru muncul.” 
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg