ASTANA – Singapura akan meneroka cara untuk mempererat hubungan antara Asia Tenggara dengan Asia Tengah apabila negara ini mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2027, sambil melihat melangkaui rakan kongsi tradisional kumpulan itu ke arah sebuah rantau yang mempunyai potensi ekonomi yang semakin berkembang.

Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong berkata pada 26 Ogos bahawa Singapura akan meneroka cara kedua-dua rantau meningkatkan kerjasama dalam bidang termasuk pengangkutan, kesalinghubungan, tenaga dan pembangunan mampan.

“Sebagai Pengerusi Asean tahun depan, Singapura berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi Asean untuk menjalin hubungan dengan rakan kongsi di luar rangkaian tradisional kita,” kata Encik Lee dalam satu majlis di Astana, apabila Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev menganugerahkan kepada beliau Pingat Order of Dostyk (Persahabatan) Kelas Pertama.

“Kita akan meneroka bagaimana Asia Tenggara dan Asia Tengah boleh bekerjasama dengan lebih rapat.”

Anugerah itu merupakan penghormatan negara Kazakhstan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam memperkukuh persahabatan dan kerjasama. Encik Lee berkata beliau menerima anugerah itu bagi pihak ramai rakyat Singapura dan Kazakhstan yang telah berusaha mendekatkan hubungan antara kedua-dua negara sejak tiga dekad lalu.

Usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua rantau itu dilakukan ketika Singapura dan Kazakhstan memperluas kerjasama dalam bidang-bidang baharu, dengan perjanjian ditandatangani pada 26 Ogos meliputi integrasi digital laluan perdagangan utama Eurasia serta pengurusan air.

Di bawah perjanjian pertama, Singapore Cooperation Enterprise (SCE) dan syarikat pengangkutan serta logistik Kazakhstan, Middle Corridor Multimodal, akan bekerjasama dalam integrasi digital Koridor Tengah, iaitu laluan perdagangan yang menghubungkan China dengan Eropah melalui Asia Tengah dan kawasan lain.

Para pakar berkata laluan itu semakin penting kerana konflik telah menjejaskan laluan lain antara kedua-dua pasaran tersebut.

Antara bidang kerjasama yang berpotensi ialah dokumentasi perdagangan, logistik multimodal dan pengurusan rantaian bekalan, kata SCE. Kerjasama itu juga boleh membuka peluang bagi syarikat Singapura dalam perdagangan digital, logistik dan perkhidmatan berkaitan.

Dalam satu wawancara pada 26 Ogos, Ketua Eksekutif SCE, Encik Kong Wy Mun, menyifatkan kerjasama itu sebagai “alternatif yang sangat strategik” bagi aliran barangan, dengan jumlah dagangan melalui laluan tersebut meningkat sekitar 30 peratus setiap tahun.

Namun, laluan itu merentasi beberapa negara yang mempunyai piawaian dan proses kastam berbeza, yang boleh menyebabkan kesesakan.

Encik Kong berkata Singapura boleh berkongsi pengalamannya bagi membantu meningkatkan keserasian sistem Kastam serta kecekapan pergerakan barangan merentasi sempadan.

“Syarikat kita sememangnya akan mendapat manfaat dari segi peluang mendapatkan projek di rantau dan bidang khusus ini,” katanya, sambil menambah bahawa ia boleh menjadi landasan bagi syarikat Singapura mengembangkan operasi ke Asia Tengah.

Perjanjian kedua antara SCE dengan Kementerian Sumber Air dan Pengairan Kazakhstan pula akan membolehkan Singapura berkongsi pengalamannya dalam mengurus sumber air.

Ia merangkumi program lawatan sambil belajar ke Singapura bagi pegawai Kazakhstan, meliputi bidang seperti kelestarian air, pengurusan banjir, penggunaan semula air dan pendigitalan.

Perjanjian itu juga boleh membuka jalan bagi agensi dan syarikat Singapura menjalin kerjasama dalam sektor air Kazakhstan.

Kazakhstan menghadapi beberapa cabaran dalam bidang tersebut. Menurut Encik Kong, ia termasuk kesan perubahan iklim terhadap glasier yang membekalkan air kepada sungai-sungainya, selain paras air yang semakin menurun di Laut Kaspia.

Singapura boleh berkongsi pengalaman dalam perancangan dan pengurusan sumber air, manakala syarikat-syarikatnya kelak boleh meneroka peluang dalam bidang seperti penyelesaian air digital dan sistem meter pintar, tambah beliau.

Menteri Sumber Air dan Pengairan Kazakhstan, Encik Nurzhan Nurzhigitov, berkata negaranya telah bekerjasama dengan SCE selama kira-kira 18 bulan dan pakar air Kazakhstan tidak lama lagi akan ke Singapura untuk menjalani latihan.

Beliau berkata Kazakhstan memerlukan “budaya baharu dalam penggunaan air” dan mahu terus membangunkan serta mendigitalkan infrastrukturnya bagi menyesuaikan diri dengan cabaran perubahan iklim, peningkatan suhu dan kemerosotan sumber air.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Kazakhstan (KazAID) turut bersetuju mengadakan Program Latihan Bersama kedua bertemakan kecerdasan buatan (AI), pembangunan digital serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di Astana dalam tempoh dua tahun akan datang.

Program itu akan melatih sehingga 30 pegawai pemerintah peringkat pertengahan hingga kanan dari negara-negara Asia Tengah, kata MFA.

Perjanjian baharu tersebut dibina atas hubungan yang semakin berkembang sejak Singapura dan Kazakhstan menjalin hubungan diplomatik pada 1993.

Perjanjian Dua Hala mengenai Perkhidmatan dan Pelaburan mula berkuat kuasa pada Mac 2025, sekali gus memberikan syarikat Singapura akses lebih luas ke pasaran Kazakhstan.

Kazakhstan merupakan rakan dagang terbesar Singapura di Asia Tengah. Perdagangan dua hala dalam barangan berjumlah $326.6 juta, manakala perdagangan dalam perkhidmatan mencecah $159 juta.

Jumlah stok pelaburan langsung Singapura di Kazakhstan pula bernilai $2.1 bilion, dengan 158 syarikat sekutu Singapura di luar negara beroperasi di negara itu.

Dalam ucapannya, Encik Lee berkata hubungan antara kedua-dua negara bermula sebelum Kazakhstan memperoleh kemerdekaan pada Disember 1991.

Tiga bulan sebelumnya, pada September 1991, ketika itu mendiang Encik Lee Kuan Yew yang merupakan Menteri Kanan melawat republik Soviet tersebut atas undangan presidennya ketika itu, Nursultan Nazarbayev.

Mendiang Encik Lee Kuan Yew berucap di Soviet Tertinggi Kazakhstan mengenai pengalaman pembangunan Singapura serta peralihan kepada ekonomi pasaran.

Para pemimpin selepas itu terus membina hubungan tersebut, termasuk melalui pertukaran lawatan negara pada 2023 dan 2024, kata Encik Lee.

Walaupun berbeza dari segi geografi, Encik Lee berkata Singapura dan Kazakhstan mempunyai kepentingan bersama untuk berintegrasi dengan rantau masing-masing sambil terus berhubung dengan dunia lebih luas.

“Kedua-dua negara kita berusaha untuk berintegrasi dalam rantau masing-masing, membina persahabatan di luar rantau dan terus berhubung dengan dunia,” katanya.

Encik Lee berkata Singapura boleh menjadi pintu masuk bagi Kazakhstan dan perniagaan Asia Tengah lain yang mencari peluang di Asia Tenggara, manakala Kazakhstan pula boleh menjadi jambatan bagi syarikat Singapura yang ingin meneroka Asia Tengah dan rantau Eurasia lebih luas.

“Perbincangan kita telah mengukuhkan keyakinan saya bahawa kita boleh melakukan lebih banyak lagi bersama. Saya yakin generasi rakyat Singapura dan Kazakhstan akan datang akan terus membawa hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi,” kata Encik Lee.

Encik Lee turut bertemu dan dijamu makan malam oleh Perdana Menteri Kazakhstan, Olzhas Bektenov.

Encik Bektenov berkata syarikat-syarikat Singapura telah melabur di negaranya dan projek-projek mereka membantu mewujudkan ribuan pekerjaan.

Beliau turut menekankan kerjasama dengan syarikat seperti PSA International, ST Engineering dan Surbana Jurong dalam bidang termasuk pemindahan teknologi dan perundingan kejuruteraan.

Masih terdapat ruang untuk memperluas kerjasama, kata Encik Bektenov.

“Kami percaya potensi penuh kerjasama kita masih belum direalisasikan,” tambah beliau.