Beberapa kawasan di Malaysia, termasuk Lembah Klang dan Putrajaya, mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) tidak sihat sejak 19 Julai.
Menerusi semakan di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (Apims), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati antara negeri lain yang terkesan dengan PSI tidak sihat ialah beberapa kawasan di Pahang; Negeri Sembilan; Terengganu; Melaka dan Selangor.
Semakan setakat 11 pagi 21 Julai mendapati Alor Gajah di Melaka mencatat bacaan tidak sihat tertinggi iaitu 159; diikuti Temerloh di Pahang dengan bacaan PSI tidak sihat 157.
Kawasan lain yang terjejas ialah Banting, Selangor dengan bacaan PSI tidak sihat 155; Nilai di Negeri Sembilan dan Johan Setia, Selangor (152); Cheras, Kuala Lumpur (151) dan Putrajaya dengan bacaan 114, serta Blok Baru Kuantan, Pahang (129).
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan pada 20 Julai berkata kemerosotan mutu udara itu dipengaruhi pergerakan asap jerebu yang memasuki kawasan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan oleh Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) yang berpusat di Singapura, pada 19 Julai lalu, imej satelit NOAA-20 oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), terdapat 65 titik panas dikesan di Sumatera, 30 titik panas di Kalimantan dan empat titik panas di dalam Malaysia, masing-masing di Pahang dan Selangor.
Ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu (di Malaysia) yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.
Menyusuli itu, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan kegiatan rondaan harian ke kawasan yang berisiko berlakunya kegiatan pembakaran terbuka serta memantau bacaan PSI dari semasa ke semasa.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu Malaysia.
“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah mencegah pencerobohan yang boleh menyebabkan kebakaran terbuka,” kata JAS.
Menurut JAS, Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat sekiranya bacaan PSI melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
JAS turut menasihatkan sekolah di kawasan yang merekodkan bacaan PSI melebihi 100 supaya menghentikan semua kegiatan di luar bilik darjah dan tadika serta taska ditutup serta merta sekiranya bacaan PSI melebihi 200.
Peringatan turut diberikan JAS kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka diceroboh untuk tujuan itu atau boleh dikenakan tindakan termasuk penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM1 juta ($303,000).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg