S’pura tubuh agensi angkasa negara mulai 1 Apr
See Leng: NSAS akan pacu S’pura rebut peluang dalam ekonomi angkasa yang kian luas, sambil bangunkan keupayaan sektor
Sebuah agensi angkasa negara, Agensi Angkasa Nasional Singapura (NSAS), akan ditubuhkan pada 1 April.
Penubuhan ini bertujuan memacu Singapura merebut peluang dalam ekonomi angkasa yang kian meluas, sambil membangun dan mengurus keupayaan sektor itu.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng.
NSAS akan beroperasi dari pusat operasi berbilang agensi, menjadi teras sokongan kepada agensi pemerintah. Ia akan memudahkan kerja satelit, aplikasi imej satelit untuk lokasi tertentu, dan menyediakan analitik data geospatial.
Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia, menyatakan keupayaan ini boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang – dari operasi pelabuhan dan perancangan bandar hingga pengawasan sekitaran dan keselamatan bekalan makanan.
Pengumuman ini dibuat Dr Tan dalam ucapan pembukaan Sidang Puncak Angkasa pada 2 Februari. Sidang pertama ini berlangsung pada 2 dan 3 Februari di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, serentak dengan Pertunjukan Udara Singapura dari 3 hingga 8 Februari.
Singapura juga bakal meningkatkan pembangunan gugusan satelitnya untuk keperluan negara dan penggunaannya di kawasan khatulistiwa.
Dr Tan menegaskan: “Lokasi geografi kita membolehkan kita melakukan lebih banyak di rantau ini.”
Buat masa ini, pemerintah dan ST Engineering, syarikat tempatan dalam teknologi, pertahanan dan kejuruteraan, berkongsi pemilikan tiga satelit cerapan bumi.
“Kita juga akan membina dan mengendalikan keupayaan pemantauan keadaan angkasa secara berperingkat bagi memastikan keselamatan aset angkasa kita dalam ruang angkasa yang semakin sesak,” jelas Dr Tan.
NSAS akan merangka perundangan dan peraturan angkasa negara, dengan visi mesra inovasi dan mesra perniagaan, namun tetap menjunjung piawai tinggi keselamatan dan kemampanan angkasa.
Agensi ini akan mengadakan perbincangan dengan pihak sektor angkasa mengenai rancangan perundangan tersebut.
Cik Ngiam Le Na, Timbalan Ketua Eksekutif Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO), sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan terbesar di Singapura, akan memimpin NSAS sebagai Ketua Eksekutif.
Cik Ngiam memiliki pengalaman selama 25 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk jawatan Timbalan Ketua Eksekutif di Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA).
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Cik Ngiam telah menyelia pemerolehan dan pembangunan satelit cerapan bumi bagi memenuhi keperluan negara dalam pemantauan alam sekitar, keselamatan maritim, dan bantuan bencana.
Dr Tan berkata agensi baru itu akan memperluaskan peranan sedia ada Pejabat Teknologi dan Industri Angkasa di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), bagi membina “keupayaan R&D angkasa bertaraf dunia, membangunkan industri angkasa yang berdaya maju serta memperkukuh kerjasama antarabangsa”.
Sejak 2022, pemerintah telah memperuntukkan lebih daripada $200 juta bagi projek R&D angkasa untuk menyokong institusi penyelidikan dan syarikat dalam membangun serta menguji teknologi angkasa mereka.
Di masa hadapan, Dr Tan berkata pihak berkuasa akan melabur dalam bidang baru seperti teknologi iklim dan kemampanan, khususnya penderiaan jauh satelit bagi pemantauan karbon; teknologi kemampanan angkasa, termasuk keupayaan pemantauan keadaan angkasa; serta penyelidikan mikrograviti di angkasa bagi memajukan sains kesihatan manusia seperti pembangunan rawatan baru.
Pemerintah juga akan meluaskan rangkaian kerjasama antarabangsa dan membantu syarikat teknologi angkasa di Singapura merebut peluang pertumbuhan di peringkat serantau.
Kini, sektor angkasa Singapura menempatkan sekitar 70 syarikat dan 2,000 karyawan, terlibat dalam pelbagai aktiviti, dari mereka bentuk dan menghasilkan komponen angkasa hingga menyediakan perkhidmatan berasaskan satelit.
Singapura mula meneroka bidang teknologi angkasa lebih 50 tahun lalu.
Negara ini menubuhkan stesen bumi pertamanya pada 1971, melancarkan satelit komunikasi pertama pada 1998, dan satelit buatan tempatan pertama pada 2011.
Sepanjang 20 tahun lalu, pemerintah, industri dan institusi akademik telah melancarkan lebih 30 satelit.
MTI berkata NSAS akan menerajui usaha Singapura untuk memanfaatkan sepenuhnya nilai dan peluang dalam ekonomi angkasa global yang kian berkembang, yang diunjur akan mencecah AS$1.8 trilion ($2.3 trilion) menjelang 2035.

