Singapura tidak boleh bersaing dari segi skala mahupun menandingi perbelanjaan kuasa ekonomi terbesar dunia dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI).

Namun, negara ini boleh membina ‘trek’ sendiri di mana kekuatan uniknya memberi kelebihan tersendiri, kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.

Ini termasuk dalam tiga keupayaan teras – menterjemahkan keupayaan AI menjadi nilai ekonomi dan kemasyarakatan; membina keupayaan penilaian, jaminan dan tadbir urus; serta memudahkan kerjasama ekosistem teknologi, komersial dan dan kawal selia yang berbeza.

Berucap di Forum Global Masa Depan China Ke-17 oleh Business China, yang diadakan di Ekspo dan Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 24 September, Encik Tan berkata:

“Era AI membolehkan kita menghubungkan ciri baharu – kecerdasan, data, ejen dan khidmat digital.

“Bagi sebuah negara kecil, kerelevanan tidak semestinya bergantung pada skala; ia boleh terhasil daripada nilai manfaat yang ditawarkan.”

Encik Tan merujuk kepada kedudukan Singapura sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa, di mana kekuatan negara ini tidak terletak pada pasaran mahupun modal domestik terbesar.

Namun, negara ini menjadi sebuah hab yang relevan bagi syarikat, pelabur dan institusi kewangan antarabangsa kerana Singapura telah membangunkan institusi yang dipercayai, peraturan jelas, keupayaan profesional yang mendalam dan hubungan kukuh kepada pasaran besar yang lain.

Menggariskan keupayaan menterjemahkan keupayaan AI menjadi nilai ekonomi dan kemasyarakatan, Encik Tan menambah, negara ini boleh membantu syarikat beralih daripada sekadar memanfaatkan AI kepada menggunakan teknologi itu secara bermakna.

“Daripada kegunaan kepada aliran kerja direka semula. Daripada usaha perintis kepada penghasilan. Dan daripada pengerahan kepada hasil yang boleh diukur.

“Jika akses kepada kecerdasan yang berkeupayaan menjadi lebih meluas, maka keupayaan untuk menyerapnya, menyepadukan dan memanfaatkannya menjadi lebih berharga,” kata beliau.

Bagaimanapun, Encik Tan berkata usaha menterjemahkan keupayaan AI menjadi nilai ekonomi dan kemasyarakatan sahaja tidak mencukupi, dengan kepercayaan menjadi semakin penting sedang sistem teknologi menjadi lebih berautonomi.

Dalam hal itu, beliau menekankan keperluan mempunyai perlindungan yang bermakna, termasuk membangunkan keupayaan penilaian, jaminan dan tadbir urus untuk membolehkan teknologi yang semakin berkuasa digunakan dengan yakin.

Beliau memberi contoh kerjasama antara firma teknologi kewangan, Ant International, Mastercard, dengan Visa untuk membina kerangka saling kebolehkendalian Know-Your-Agent di bawah ruang ujian oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Usaha itu bertujuan membolehkan ejen AI dikenal pasti dan dipercayai merentas pelbagai rangkaian pembayaran tanpa perlu mengubah sistem kawalan masing-masing.

Menurut Encik Tan, kerjasama sedemikian menunjukkan bahawa saling kebolehkendalian tidak memerlukan keseragaman sistem, dengan negara ini boleh membantu ekosistem yang berbeza bekerjasama, tanpa memerlukan ia menjadi serupa sepenuhnya.

Walaupun dunia masa hadapan bakal dipenuhi kepelbagaian model, sistem awan, pembayaran, identiti, kerangka data dan tadbir urus, keutamaan kita ialah mengelakkan perbezaan ini daripada mencetuskan perpecahan yang akhirnya membawa kos yang tinggi.

“Jika sesebuah syarikat perlu membina semula seni bina teknologi, identiti, jaminan dan pematuhannya setiap kali ia memasuki pasaran baharu, proses mengembangkan perniagaan menjadi lebih mahal.

“Syarikat besar mungkin mampu menampung kos tersebut, tetapi syarikat lebih kecil mungkin memilih untuk tidak keluar dari pasaran domestik.

“Pemecahan ekosistem akhirnya menjadi satu cukai ekonomi. Oleh itu, saling kebolehkendalian bukan sekadar isu teknikal atau diplomatik, sebaliknya merupakan satu keupayaan ekonomi,” kata beliau.