Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, UAE mula rundingan perjanjian kerjasama ekon secara menyeluruh
Kerjasama bakal wujudkan peluang baharu bagi perniagaan, rakyat kededua negara
S’pura, UAE mula rundingan perjanjian kerjasama ekon secara menyeluruh
Singapura dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) sedang memulakan perbincangan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (Cepa), yang akan mewujudkan peluang baharu bagi perniagaan dan rakyat kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 21 Oktober susulan pertemuan beliau dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Encik Wong menyatakan bahawa negara itu merupakan rakan dagang terbesar Singapura di rantau tersebut.
“Hubungan ekonomi kita kukuh, dan melihat potensi yang baik untuk memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, tenaga, pertahanan dan angkasa lepas,” kata Encik Wong.
Semasa pertemuan itu, Encik Wong, yang sedang melakukan lawatan pertama beliau ke Timur Tengah sebagai perdana menteri, berkata kedua-dua pemimpin turut saling bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta kepentingan memulihkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.
Mereka turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MOU) dalam bidang kerjasama tenaga, kerjasama air, dan kawalan vektor penyakit, ujar Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.
“Perjanjian-perjanjian ini akan terus memperkukuh kerjasama dua hala serta membuka peluang-peluang baharu untuk kolaborasi antara kedua-dua negara,” kata MFA.
Encik Wong sedang melakukan lawatan kerja selama lima hari ke Timur Tengah, yang merangkumi lawatan ke Doha dari 18 hingga 20 Oktober, dan Abu Dhabi dan Dubai di UAE dari 20 hingga 22 Oktober.
Akur bahawa tempoh ini merupakan masa yang sukar bagi UAE dan rantau Timur Tengah, Encik Wong menyatakan bahawa Singapura berdiri teguh bersama UAE sebagai rakan kongsi dan sahabat yang dipercayai dalam mengharungi cabaran ini.
“Saya telah bercakap dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed, sejurus selepas konflik tercetus pada Mac, bagi menyatakan perpaduan dan sokongan Singapura, serta mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menjaga kebajikan rakyat Singapura yang berada di UAE,” kata Encik Wong.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan cara untuk memperkukuh hubungan antara Asean dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), memandangkan Singapura sedang bersiap sedia untuk memegang jawatan pengerusi Asean pada 2027.
Encik Wong berkata beliau turut mengalu-alukan Lawatan Negara Presiden Sheikh Mohamed ke Singapura, serta untuk bekerjasama dengan beliau bagi membawa perkongsian kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Singapura dan UAE berkongsi banyak kepentingan dan perspektif yang serupa. Dalam dunia yang semakin dilanda pelbagai masalah, perkongsian kita menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.
“Dengan bekerjasama dan menggabungkan kekuatan kita yang saling melengkapi, kita mampu mencapai jauh lebih banyak perkara berbanding jika kita bergerak secara bersendirian,” kata Encik Wong.
Sebelum itu, Encik Wong telah bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, di Abu Dhabi pada 20 Oktober, di mana mereka membincangkan cara kedua-dua negara dapat saling menimba ilmu daripada pengalaman masing-masing.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin telah bertukar pandangan mengenai cara negara masing-masing dapat membuat persiapan menghadapi masa hadapan, sambil terus berpegang teguh pada warisan dan nilai-nilai mereka, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Menyifatkan UAE sebagai rakan lama Singapura, Encik Wong berkata:
“Kededua negara berkongsi banyak keutamaan dan terdapat banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada pengalaman serta pendekatan masing-masing.”
Encik Wong berkata UAE mempunyai kekuatan yang besar dalam sektor tenaga, bukan sahaja dalam bidang minyak dan gas, malah tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear.
Beliau turut menyatakan bahawa Singapura dan UAE mempunyai ruang untuk memperluas kerjasama menjangkaui perkongsian antara pemerintah, di samping memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua negara itu.
Pada 20 Oktober, Encik Wong juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan dari UAE di Abu Dhabi.
Perjumpaan itu dianjurkan oleh Pengerusi Penguasa Ehwal Eksekutif (EAA) Abu Dhabi, Encik Khaldoon Khalifa Al Mubarak, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Mubadala, dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi.
UAE merupakan rakan dagang terbesar Singapura di Timur Tengah.
Pada 2025, perdagangan barangan dua hala mencecah $27.9 bilion, manakala perdagangan perkhidmatan dua hala mencapai $12.8 bilion pada 2024.
Pada September, syarikat pelaburan Singapura, Temasek, mengumumkan rancangan untuk membuka pejabat di Abu Dhabi dan Riyadh, Arab Saudi, pada separuh pertama 2027 bagi memperluas kehadirannya di Timur Tengah.
Kededua negara juga baru-baru ini mempererat hubungan ekonomi menerusi Forum Bersama Abu Dhabi-Singapura edisi ke-17, yang diadakan di Singapura pada September.