Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura usul pinda undang-undang jerebu demi perkukuh kuasa penguatkuasaan
S’pura usul pinda undang-undang jerebu demi perkukuh kuasa penguatkuasaan
Singapura akan mengusulkan pindaan kepada Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) untuk memperkukuh kuasa penguatkuasaannya di sidang Parlimen akan datang, dedah Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Di bawah pindaan yang diusulkan itu, syarikat yang mempunyai kaitan dengan jerebu harus memberi akses penuh kepada maklumat, dokumen korporat dan premis perniagaan kepada penyiasat yang dilantik.
Buat masa ini, THPA tidak memberikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) – agensi yang mentadbir undang-undang itu – kuasa untuk meminta syarikat melantik penyiasat untuk meneliti operasi, hubungan korporat atau rantaian bekalan sesebuah syarikat.
Ini menimbulkan cabaran dalam mendapatkan maklumat, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan jerebu rentas sempadan.
Oleh itu, NEA akan diberi kuasa berbuat demikian sebaik sahaja pindaan itu diluluskan dan sekiranya syarikat berkenaan gagal mematuhinya, ia akan dianggap sebagai satu kesalahan, jelas Encik Shanmugam.
Sidang Parlimen akan datang dijadual bermula 3 November.
Beliau berkata demikian kepada media pada 28 Oktober selepas mengadakan pertemuan tertutup di bangunan The Treasury bersama wakil pengurusan daripada 10 syarikat berdaftar di Singapura yang diberi notis NEA di bawah THPA.
Notis itu dikeluarkan NEA kepada syarikat berkenaan di bawah Seksyen 10 THPA pada 23 Oktober, dengan syarikat itu dikehendaki mengemukakan maklumat berkaitan hubungan mereka dengan syarikat di Indonesia yang menyumbang kepada masalah jerebu.
Wakil syarikat yang enggan memberikan kerjasama boleh didenda sehingga $5,000, dipenjara sehingga sebulan atau kedua-duanya kerana gagal mematuhi keperluan itu.
Dalam pertemuan itu, wakil Singapura diketuai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; dan Encik Shanmugam.
Mereka diiringi Peguam Kanan Davinder Singh dan pegawai kanan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC), NEA dan Kementerian Undang-undang (MinLaw).
Menurut transkrip pertemuan itu, Encik Shanmugam, juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata kepada syarikat berkenaan:
“Saya ingin menyatakan perkara ini dengan jelas: kegagalan mematuhi Seksyen 10 (THPA) merupakan satu kesalahan. Ini bukan permintaan maklumat yang rutin.
“Kami menjangkakan syarikat anda memberikan maklum balas yang lengkap, tepat dan (pada kadar) segera.”
Beliau turut memaklumkan syarikat sedemikian bahawa pemerintah Singapura mengharapkan “kerjasama substantif dan ketelusan, bukan pematuhan dari segi teknikal atau jawapan yang dirangka oleh peguam tetapi tidak menyentuh perkara asas semata-mata”.
Kenyataan itu dibuat dalam kapasiti Encik Shanmugam selaku pengerusi Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) – jawatankuasa krisis peringkat menteri yang dibentuk untuk menyelaraskan tindak balas negara terhadap krisis.
Sehubungan itu, Cik Fu berkata senarai firma yang dipilih untuk menganggotai panel pakar akan diterbitkan MinLaw dalam masa terdekat.
Ini menyusuli pengumuman MinLaw pada 23 Oktober mengenai penubuhan panel pakar untuk menyokong usaha mengenal pasti dan memastikan syarikat yang mungkin bertanggungjawab atau menyumbang kepada kebakaran yang menyebabkan jerebu di Singapura dipertanggungjawabkan.
Kesemua 10 syarikat yang menerima notis di bawah THPA perlu melantik firma – merangkumi firma guaman, audit dan penyiasatan – yang tersenarai untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalan merentasi pelbagai bidang kuasa.
Hasil audit perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa, dengan perbelanjaan bagi membiayai perkhidmatan firma ini ditanggung syarikat berkenaan sendiri.
Cik Fu berkata: “Rakyat Singapura tidak seharusnya menanggung kos kesihatan dan alam sekitar akibat amalan perniagaan yang tidak bertanggungjawab.
“Sungguhpun keadaan jerebu semakin baik, kami tidak akan berundur daripada usaha ini.”
Firma guaman Davinder Singh Chambers yang diketuai Encik Davinder, telah dilantik sebagai penasihat bagi menyelaras tugas yang dijalankan panel pakar itu.