Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Vietnam luas kerjasama dalam bidang baru

Aug 27, 2023 | 7:31 PM
TINGKAT KERJASAMA: Topik lebih luas yang dibincangkan oleh Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng (kanan), serta Menteri Perancangan dan Pelaburan Vietnam, Encik Nguyen Chi Dzung, mencerminkan kerjasama ekonomi dua hala yang semakin berubah dan berkembang.
TINGKAT KERJASAMA: Topik lebih luas yang dibincangkan oleh Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng (kanan), serta Menteri Perancangan dan Pelaburan Vietnam, Encik Nguyen Chi Dzung, mencerminkan kerjasama ekonomi dua hala yang semakin berubah dan berkembang. - Foto ZAOBAO

Singapura dan Vietnam akan meluaskan kerjasama dua hala dalam bidang baru dan membangun iaitu kesalinghubungan tenaga, kemapanan serta digital dan inovasi. 

Kata sepakat ini dicapai semasa Mesyuarat Peringkat Menteri Kesalinghubungan (CMM) Singapura-Vietnam yang ke-17 di Hanoi, Vietnam pada Ahad. 

Mesyuarat yang diadakan di pejabat Kementerian Perancangan dan Pelaburan Vietnam itu telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, serta Menteri Perancangan dan Pelaburan Vietnam, Encik Nguyen Chi Dzung, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).  

CMM merupakan wadah ekonomi penting yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Kesalinghubungan (CFA) kededua negara pada 2005. 

Dr Tan yang juga Menteri Tenaga Manusia, merupakan sebahagian daripada delegasi yang mengiringi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam rangka lawatan rasmi beliau ke Hanoi pada 27 hingga 29 Ogos. 

Menurut MTI, topik lebih luas yang dibincangkan oleh para pemimpin semasa mesyuarat tersebut mencerminkan kerjasama ekonomi Singapura dan Vietnam yang kian berubah dan berkembang.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Tan berkata:

“Singapura dan Vietnam berkongsi hubungan pelaburan dan perdagangan yang kukuh dan substantif. Dengan Vietnam beralih ke ekonomi digital dan hijau, Singapura boleh menjadi rakan Vietnam dalam fasa pertumbuhan seterusnya. 

“Syarikat Singapura juga boleh memanfaatkan asas dan kerjasama erat dengan Vietnam untuk merebut peluang dalam bidang baru ini.”

Kata MTI, sejajar dengan peluasan kerjasama ini, Dr Tan dan Encik Dzung akan bertukar-tukar surat mengenai peningkatan CFA untuk mencerminkan tunggak baru dalam kerjasama itu pada Isnin. 

Pertukaran ini akan disaksikan oleh Encik Lee dan Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh.

Tambah kenyataan MTI, kededua negara telah menarik perhatian tentang kemajuan dalam kerjasama dua hala dalam bidang seperti pendidikan, kewangan, teknologi maklumat, prasarana, pelaburan dan telekomunikasi. 

Syarikat setempat juga telah mengembangkan pelaburan mereka menerusi Vietnam dalam sektor berbeza termasuk logistik, prasarana, perkilangan dan barangan pengguna serta perkhidmatan, ujar MTI. 

Sementara itu, satu perjanjian memorandum persefahaman (MOU) antara  Agensi Sains,Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) dengan Pusat Inovasi Nasional Vietnam (NIC) telah dimeterai di luar acara mesyuarat tersebut, dengan disaksikan oleh Dr Tan dan Encik Dzung. 

MOU itu akan menggalak kegiatan kerjasama antara lain dalam bidang teknologi dan pembangunan ekosistem dengan akses kepada pasaran Vietnam yang sedang membangun termasuk bagi syarikat kecil dan sederhana (SME) Singapura. 

Dari segi dagangan, perangkaan MTI menunjukkan bahawa dagangan barangan dua hala telah meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada $31.3 bilion pada 2022 berbanding tahun sebelumnya. 

Hingga akhir tahun lalu pula, Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar Vietnam dengan pelaburan kumulatif sebanyak AS$70.8 bilion ($96.01 bilion).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg