Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ST Engineering sasar pendapatan $17b jelang 2029

Mar 18, 2025 | 5:52 PM
Bagi tahun kewangan 2024, ST Engineering mencatat pendapatan $11.3 bilion dan keuntungan bersih $702.3 juta.
Bagi tahun kewangan 2024, ST Engineering mencatat pendapatan $11.3 bilion dan keuntungan bersih $702.3 juta. - Foto ST

ST Engineering menyasarkan pendapatan $17 bilion dan peningkatan keuntungan bersih yang melebihi pertumbuhan hasilnya sehingga lima mata peratusan setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan ST Engineering, Encik Vincent Chong pada 18 Mac.

Kumpulan itu menjangkakan pendapatan $6 bilion daripada segmen aeroangkasa komersial; lebih $7.5 bilion daripada segmen pertahanan dan keselamatan awam; serta $4.5 bilion daripada unit bandar pintar menjelang 2029, tambah Encik Chong.

Bagi tahun kewangan 2024, ST Engineering mencatat pendapatan $11.3 bilion dan keuntungan bersih $702.3 juta, manakala senarai kontrak yang masih dalam proses pelaksanaan, atau ‘order book’, kumpulan itu bernilai $28.5 bilion, lapor The Business Times (BT).

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan, Encik Cedric Foo, berkata syarikat kejuruteraan itu akan meningkatkan hasilnya dengan mengukuhkan perniagaan terasnya – termasuk perniagaan digital, pertahanan, enjin penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih utama, serta mobiliti pintar, sebagai pemacu utama perniagaan.

Beliau turut menyatakan bahawa ketegangan geopolitik meluas yang membawa kepada peningkatan dalam perbelanjaan pertahanan oleh beberapa negara memberi prospek positif kepada perniagaan pertahanan kumpulan itu.

Sementara itu, ST Engineering akan meneroka bidang usaha baru seperti pembinaan menggunakan sistem robotik dan pengeluaran tenaga marin yang boleh diperbaharui.

Kumpulan yang tersenarai itu menjangkakan peningkatan hasil melalui kesan skala, penambahbaikan dalam gabungan produk dan projek, penjimatan perolehan serta produktiviti, selain pengurangan perbelanjaan faedah yang akan memacu margin keuntungan bersih lebih tinggi.

Encik Foo berkata kos yang lebih rendah akan diperoleh melalui pelbagai inisiatif, termasuk memanfaatkan kumpulan bakat baru di pusat kecekapannya di Vietnam.

Dividen sesaham ST Engineering dijangka meningkat seiring dengan pertumbuhan pendapatan apabila kumpulan itu memperkenalkan dasar dividen baru yang akan berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2026.

Kumpulan itu merancang untuk membayar sepertiga daripada keuntungan bersihnya setiap tahun sebagai dividen tambahan, membolehkannya terus melabur semula sambil memberikan pulangan lebih tinggi kepada pemegang saham.

Kumpulan itu akan mengekalkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan pada 4 hingga 5 peratus daripada hasil kumpulan untuk lima tahun akan datang.

Mengulas mengenai tarif baru yang dikuatkuasakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, Encik Chong berkata “masih terlalu awal untuk menilai kesannya” dan memberitahu bahawa 30 peratus daripada hasil ST Engineering dijana dari Amerika.

“Kami tidak fikir kami akan berada dalam kedudukan yang kurang baik berbanding pesaing kami,” tambah beliau.

Harga saham ST Engineering naik setinggi $6.56 sesaham selepas pengumuman dasar dividen baru itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg