Bagi pasukan Sekolah Menengah St Gabriel’s, mereka berpegang pada prinsip: usah separuh jalan, keberanian perlu disusuli tindakan sepenuh jiwa.

Dalam pusingan akhir kuiz What’s The News? anjuran The Straits Times (ST), kad permainan yang mereka gunakan ibarat pedang bermata dua - jawapan tepat menjamin kejuaraan, namun silap perhitungan akan menjatuhkan mereka ke tangga terakhir.

Di tengah dewan yang riuh, sorakan gemuruh rakan-rakan seolah-olah menjadi dorongan terakhir untuk mengambil pertaruhan besar itu.

Ahli pasukan, Collin Soelaiman, 16 tahun, berkata: “Kami ambil risiko besar.”

Soalan terakhir meminta mereka mengenal pasti negara yang mengangkat Sushila Karki sebagai perdana menteri wanita pertama selepas gerakan antirasuah menjatuhkan kerajaan sebelumnya.

Pasukan itu pantas menjawab “Nepal” dengan betul dan muncul juara menewaskan tiga pasukan lain pada 26 Mei, disambut sorakan gemuruh penyokong mereka di auditorium. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai $4,000 dan trofi.

Thorsten Ng, 15 tahun, salah seorang ahli pasukan, merumuskan kemenangan mereka: sokongan padu rakan-rakan sekolah menjadi kunci utama kejuaraan.

Sekolah Victoria menduduki tempat kedua, manakala Sekolah Sains dan Teknologi (SST) di tempat ketiga dan Presbyterian High School di tempat keempat.

Pasukan tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing menerima hadiah wang tunai $3,000, $2,000 dan $1,000 serta trofi.

Kejohanan kuiz interaktif hal ehwal semasa ini kembali buat kali kedua, disokong Kementerian Pendidikan (MOE) dan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB).

Perjalanan menuju pusingan akhir bermula April, di mana lebih 6,000 pelajar dari lebih 70 sekolah bersaing dalam kuiz dalam talian, sebelum peringkat separuh akhir pada 14 Mei menggabungkan berita semasa dengan format permainan arena untuk memilih empat finalis terbaik.

Pusingan penentuan yang dihoskan dengan penuh bertenaga oleh pelawak dan pengacara Rishi Budhrani di auditorium SPH Media, menguji finalis melalui pelbagai cabaran.

Persaingan dimulakan dengan pusingan aneka pilihan pantas - setiap jawapan mesti diserahkan dalam masa lapan saat sahaja - yang menyaksikan Presbyterian High School mendahului.

Para peserta kemudiannya diuji kemahiran pemikiran kritikal dan pengucapan awam mereka, di mana setiap pasukan hanya diberi 15 minit untuk menyediakan pembentangan tiga minit mengenai topik yang dicabut.

Klimaks pertandingan tiba dalam pusingan jawapan pendek, di mana kad permainan strategik membenarkan pasukan memindahkan soalan atau menggandakan mata.

Drama ini menyerlah dengan kebangkitan dramatik Sekolah Victoria daripada tangga keempat ke tempat kedua keseluruhan.

Akhirnya, Sekolah Victoria membawa pulang hadiah wang tunai $3,000 dan trofi di tempat kedua, diikuti Sekolah Sains dan Teknologi ($2,000) dan Presbyterian High School ($1,000) di tempat ketiga dan keempat.

Ahli pasukan itu, Balaprathyush Damodharan, 16 tahun, berkata kebangkitan daripada tempat keempat ke tempat kedua memberi pasukannya keyakinan dan motivasi untuk terus bersaing, selain membuktikan mereka mampu berjaya walau apa pun cabarannya.

Guru Sejarah dan Kajian Sosial SST, Encik Mohammad Firdaus Sulaiman, meluahkan rasa bangga dengan ketenangan yang dipamerkan oleh anak didiknya, meskipun berdepan tekanan dan liputan media.

Editor ST, Cik Jaime Ho, pula menekankan peranan kewartawanan yang melangkaui sekadar merekodkan sejarah; ia berfungsi sebagai lensa untuk rakyat memahami isu penting melalui perspektif Singapura yang unik, seterusnya menyatukan masyarakat.

Beliau berkata tiada cara lebih baik untuk melakukannya selain membantu rakyat Singapura, khususnya golongan muda, memahami berita dan melihat hal ehwal semasa juga boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

Sokongan CNB terhadap platform What’s The News? diakui oleh Penolong Pengarah Pejabat DrugFreeSG, Encik Zhong Kangtai, sebagai inisiatif penting dalam memupuk kemahiran pemikiran kritikal dan kefahaman media dalam kalangan belia.

Beliau berkata para pelajar menunjukkan “kesedaran yang baik tentang isu penyalahgunaan dadah yang pelbagai sudut”, dan kemampuan memahami isu dengan lebih mendalam membantu golongan muda membuat keputusan yang lebih baik dan tepat.

Sementara itu, Tetamu Kehormat, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, memberi peringatan tegas tentang peri pentingnya memilih sumber berita secara bijak kerana kemampuan manusia menyerap maklumat adalah terhad.

Beliau mengakui hanya mengetahui satu daripada 16 jawapan pada skrin dan menyedari mustahil untuk mengetahui semua perkara, walaupun membaca ST setiap hari.

Oleh itu, katanya, orang ramai perlu lebih berhati-hati memilih sumber berita kerana kemampuan otak menyerap maklumat adalah terhad.

Cik Lau dan Encik Ho menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

What’s The News? juga akan mengadakan program pendidikan di enam sekolah terpilih pada penggal tiga selepas cuti Jun.