Seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai ‘dewi’, menipu pengikutnya untuk menyerahkan lebih $7 juta.
Dia turut memaksa sebahagian daripada mereka agar memakan najis manusia sebagai ‘hukuman’.
Wanita itu, Woo May Hoe, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun enam bulan pada 19 Jun.
Woo, 54 tahun, yang mempunyai sekitar 30 pengikut, mengaku bersalah pada Mei atas tiga tuduhan menyerang dan dua tuduhan menipu.
Sebanyak 45 tuduhan lain diambil dalam pertimbangan.
Menurut dokumen mahkamah, Woo, mengetuai sebuah kumpulan yang percaya kepada pemimpin rohani, Sri Sakthi Narayani Amma, namun tidak memberikan butiran mengenai Amma.
Dia memberitahu pengikutnya bahawa wang itu akan disalurkan kepada persatuan Amma di India.
Sebaliknya, Woo mengambil wang itu dari 2012 hingga 2020.
Dalam perbicaraan awal, Timbalan Pendakwa Raya, Grace Chua, memberitahu mahkamah bahawa ramai pengikut Woo atau saudara mereka menghadapi masalah kesihatan yang serius.
Menurut Woo, pengikutnya perlu membersihkan “karma buruk” dan meningkatkan “karma baik” mereka untuk memulihkan diri dan orang yang mereka sayangi.
Dia memberitahu pengikutnya bahawa mereka boleh melakukan demikian dengan membuat bayaran kepada persatuan Amma di India.
Dia juga mengarahkan mereka agar melakukan ‘penyembahan’ dengan membeli rumah, kondominium dan kereta, yang kesemuanya digunakan olehnya untuk kepentingannya sendiri.
Woo turut mengarahkan kira-kira sepertiga daripada pengikutnya agar tinggal bersamanya.
Mereka perlu berkhidmat kepadanya sepenuh masa dan mengurus semua keperluannya, termasuk melakukan kerja rumah.
DPP Chua berkata,Woo menghukum pengikut yang tidak disenanginya dengan memukul mereka menggunakan pelbagai objek seperti berus cat dan rotan, “menikam mereka dengan gunting, menggunakan playar untuk mencabut gigi mereka, memaksa mereka memakan najis manusia dan membuat mereka terjun dari tempat tinggi”.
Antara yang diperlakukan demikian oleh Woo ialah seorang wanita 43 tahun, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai V2.
Malah Woo turut menyuruhnya supaya melihat langsung ke arah matahari sehingga ia menjejas daya penglihatannya.
Secara berasingan, Woo mengarahkan beberapa pengikut lain agar memakan najis manusia.
Dia ditangkap pada 2020 selepas beberapa pengikut membuat laporan polis terhadapnya.
DPP berkata Woo didapati menghidap skizofrenia paranoid pada waktu kesalahan itu.
Namun seorang doktor di Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati tiada kaitan antara keadaan mental Woo dengan kesalahannya menipu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg