Topik diikuti
Pergi ke BHkuStarHub, M1 gabung dalam urus niaga $1.1b, ambil alih Circles.Life
StarHub, M1 gabung dalam urus niaga $1.1b, ambil alih Circles.Life
Syarikat telekomunikasi StarHub pada 24 November, bersetuju bergabung dengan M1 milik Keppel menerusi urus niaga saham sepenuhnya yang bernilai kira-kira $1.1 bilion.
StarHub juga akan mengambil alih perniagaan mudah alih Circles.Life di Singapura.
Urus niaga itu akan meletakkan nilai perusahaan M1 pada sekitar $1.06 bilion, menurut StarHub.
StarHub dan M1 sebelum ini dilaporkan pernah meneroka kemungkinan penggabungan pada 2024, tetapi tiada perjanjian tercapai ketika itu.
Perjanjian antara StarHub dengan M1 itu menyusuli kegagalan urus niaga $1.4 bilion antara syarikat Simba dengan M1 pada Mei lalu.
Ketika itu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah menggantung penilaian urus niaga berkenaan susulan siasatan terhadap penggunaan spektrum tanpa kebenaran oleh Simba.
Secara berasingan, StarHub turut mengambil keputusan untuk mengambil alih perniagaan mudah alih Circles.Life di Singapura.
Harga urus niaga itu bergantung kepada pelbagai faktor seperti purata hasil pendapatan daripada setiap pengguna, bilangan pelanggan, nilai jenama dan tempoh kontrak langganan.
Perniagaan Circles.Life mempunyai kira-kira 290,000 pelanggan, berdasarkan anggaran StarHub.
Pengendali rangkaian mudah alih itu menjangka dapat menyelesaikan pengambilalihan Circles.Life seiring dengan penggabungan yang dirancang dengan M1.
Susulan cadangan penggabungan M1 itu, bilangan pengendali rangkaian mudah alih di Singapura akan berkurangan daripada empat kepada tiga.
Menurut data daripada platform penyelidikan pelaburan Bloomberg Intelligence, Singtel mendahului dengan kira-kira 43 peratus bahagian pelanggan mudah alih, diikuti oleh M1 pada sekitar 22 peratus, StarHub pada 21 peratus dan kemudian Simba pada 14 peratus, setakat Jun.
Nilai urus niaga penggabungan itu lebih rendah daripada jangkaan penganalisis serta tawaran pengambilalihan Simba-M1 sebelum ini.
Penganalisis di Macquarie Capital, Encik Foo Zhiwei, menganggarkan nilai perusahaan M1 berada antara $1.16 bilion dengan $1.25 bilion, manakala penganalisis Bloomberg Intelligence, Encik Chris Muckensturm, menganggarkannya antara $1.1 bilion dengan $1.2 bilion.
Urus niaga itu, yang tertakluk kepada kelulusan kawal selia daripada IMDA, dijangka akan selesai menjelang separuh pertama 2027.
Jika diluluskan, penggabungan itu akan menyelia 4.1 juta pelanggan mudah alih dan lebih 750,000 pelanggan jalur lebar dalam portfolio penyedia khidmat mereka, yang turut merangkumi giga, Circles.Life, MyRepublic, dan eight.
Awal September lepas, kedua-dua StarHub dan Keppel mengesahkan bahawa mereka sedang berunding mengenai kemungkinan urus niaga berhubung pengambilalihan M1, tanpa sebarang kepastian urus niaga tersebut akan berlaku, susulan laporan oleh The Business Times (BT).
Harga pelan mudah alih yang ditawarkan oleh StarHub dan M1 serta jenama-jenama sampingan mereka akan kekal tidak berubah pada 2027, sehingga penggabungan antara kedua-dua syarikat telekomunikasi itu selesai berikutan kelulusan kawal selia.
Sebarang perubahan harga tertakluk kepada perundingan awam, yang akan diadakan selepas penyerahan permohonan kepada badan kawal selia menjelang 25 November, kata Ketua Pegawai Eksekutif StarHub, Encik Nikhil Eapen, semasa taklimat kepada penganalisis pada 24 November.