Satu tender baru untuk membangun dan mengendalikan tarikan bertema kesejahteraan di tapak Pantai Marina South telah dilancarkan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Projek itu merupakan bahagian penting dalam strategi STB untuk mengembangkan pelancongan dalam bidang kesejahteraan.
Ia menawarkan pengalaman holistik dan mendalam sebagai sebahagian daripada tawaran pelancongan yang dapat Singapura sediakan kepada pengunjung.
Dalam kenyataan pada 5 Julai, STB berkata tapak seluas empat hektar itu terletak di sepanjang pantai dan akan menjadi tarikan utama di kawasan tersebut apabila siap dibina.
Ia melengkapkan tempat menarik lain seperti Gardens by the Bay, Taman Tugu Pengasas di Bay East dan Bendungan Marina.
STB mahu mendapatkan usulan dengan konsep inovatif dan bermutu tinggi yang boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan fizikal, emosi atau mental.
Cadangan itu mungkin termasuk seni terapeutik, tawaran berasas teknologi seperti terapi pengapungan atau cahaya dan terapi berasas frekuensi, di samping terapi pelengkap kesihatan, terapi alternatif, serta kegiatan berkaitan kecergasan atau pemulihan seperti aktiviti air atau peralatan di dalam dan di luar bangunan, kata lembaga itu.
Tarikan kesejahteraan itu juga mesti melaksanakan pelbagai acara atau program bertemakan kesejahteraan secara kerap dan bermutu tinggi di premisnya.
Ini termasuk dalam ruang awam tarikan kesejahteraan atau di kawasan sekitarnya yang akan menarik pelancong dan penduduk.
Pengarah Eksekutif, Ekspo Dunia dan Projek Khas di STB, Cik Carrie Kwik, berkata Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi destinasi Bandar Kesejahteraan terkemuka yang mengutamakan kesejahteraan holistik.
Ini didorong oleh peningkatan permintaan bagi lebih banyak pengalaman berkaitan pemulihan dan kesejahteraan, ujarnya.
“Tender itu menandakan satu kemajuan yang ketara ke arah merealisasikan cita-cita kesejahteraan kita sambil memanfaatkan kekuatan sedia ada Singapura dalam kebolehcapaian, teknologi dan sebagai hab perniagaan yang kukuh,” jelas Cik Kwik
“Tarikan kesejahteraan ini akan menyumbang kepada sektor pelancongan Singapura dengan memberikan pelancong sebab yang lebih menarik untuk melanjutkan tempoh tinggal mereka dan berbelanja lebih di Singapura.
“Penduduk tempatan juga akan dapat menikmati tawaran kesihatan yang pelbagai dan luas,” tambah beliau.
Tender dibuka kepada pembida tempatan dan antarabangsa dan akan berlangsung selama tiga bulan, dengan tarikh tutup penyerahan cadangan ditetapkan pada 4 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg