Pertubuhan, sekolah dan individu akan mengalami simulasi gangguan bekalan elektrik selama dua minggu pada Februari, akibat “serangan pancingan data” oleh sebuah kumpulan tidak diketahui.
Serangan simulasi itu serta beberapa gangguan atau kegiatan siap siaga lain akan diadakan sebagai sebahagian daripada Latihan Pertahanan Mutlak 2025, yang diberi nama Latihan SG Bersedia.
Secara keseluruhan ia akan berlangsung selama dua minggu, dari 15 Februari hingga 28 Februari 2025, melibatkan lebih 800 pertubuhan, sekolah serta unit daripada sektor pendidikan, masyarakat dan pemerintah.
Bercakap kepada media pada 24 Januari, Timbalan Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (BG) Frederick Choo, berkata Latihan SG Bersedia itu adalah yang kedua selepas diadakan kali pertama pada 2024.
Ia bertujuan memperkukuh rancangan kesinambungan perniagaan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik atau serangan pancingan data.
Temanya ialah ‘Adakah anda bersedia bagi gangguan?’, memberi tumpuan kepada pengukuhan kesiapsiagaan rakyat Singapura bagi gangguan elektrik.
Apabila ditanya oleh Berita Harian (BH) alasan isu gangguan elektrik dipilih, BG Choo berkata ia diilhamkan oleh “peristiwa global”.
Ia juga adalah antara beberapa acara yang diadakan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60, atau SG60.
Buat julung kalinya, simulasi gangguan elektrik di dua stesen MRT akan dijalankan oleh dua pengendali pengangkutan awam utama di Singapura, SBS Transit dan SMRT.
Sekurang-kurangnya 300 peserta akan terlibat dalam latihan kecemasan pada 15 dan 16 Februari di stesen MRT Hume dan stesen City Hall.
Peserta terdiri daripada sukarelawan, termasuk mereka yang bekerja di dua kawasan tersebut.
Semasa latihan, peserta akan diberikan panduan oleh kakitangan SMRT dan Pemerintah Keselamatan Pengangkutan Awam (TransCom) untuk keluar dari gerabak kereta api dan turun ke landasan sebelum mengosongkan stesen.
Latihan itu, yang mensimulasikan senario gangguan elektrik di seluruh negara akibat serangan siber, memastikan orang ramai bersedia menghadapi situasi sebegitu.
Pada masa sama, lebih 20 bangunan ikonik akan mensimulasikan gangguan elektrik yang disebabkan serangan siber pada 15 Februari.
Bangunan itu, yang termasuk Mahkamah Agung, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), muzium Lembaga Warisan Nasional, Balai Bomba Central, Millenia Tower dan Katedral St Andrew’s, akan mematikan lampu luarannya untuk mensimulasikan gangguan elektrik.
Sebanyak 200 perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SME), juga digalak menguatkan daya ketahanan tahan siber mereka dan menyemak pelan kesinambungan perniagaan mereka dalam berhadapan kemungkinan serangan siber dan gangguan lain semasa latihan pemancingan data.
Orang ramai boleh melawati SGReadyGoWhere di https://go.gov.sg/sgreadygowhere untuk maklumat lanjut mengenai lokasi Latihan SG Bersedia.
Isi rumah dan individu juga digalak mengikuti panduan berikut bagi mempersiapkan diri menghadapi kemungkinan gangguan elektrik:
Sediakan beg kecemasan
– Sediakan beg kecemasan berisi barang-barang penting seperti lampu suluh berkuasa bateri, sumber kuasa mudah alih (contohnya bateri), radio berkuasa bateri dan kit pertolongan cemas.
– Pastikan beg itu mudah dicapai walaupun semasa gangguan kuasa.
– Uji lampu suluh dan radio secara berkala untuk memastikan ia berfungsi, dan pastikan bateri masih baru.
Sediakan sumber tambahan
– Gunakan alat sumber tambahan (contohnya bank kuasa mudah alih) untuk memastikan peranti penting berfungsi semasa gangguan kuasa, jika diperlukan.
– Pastikan peranti itu cukup dicas.
Senaraikan nombor perkhidmatan kecemasan
– Simpan senarai nombor hubungan kecemasan (contohnya perkhidmatan ambulans kecemasan, unit perkhidmatan penyelenggaraan kecemasan lif, pejabat pengurusan/majlis bandaran) untuk digunakan sekiranya berlaku gangguan kuasa.
Orang ramai juga digalak menonton video di https://go.gov.sg/sgreadyvideo yang menyediakan konteks bagui kegiatan latihan akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg