Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stesen MRT Brickland dijangka mula dibina separuh pertama 2026

Obayashi Corporation dianugerahkan kontrak reka bentuk, pembinaan stesen bernilai $281 juta
Dec 30, 2025 | 4:25 PM
brickland station, north-south line, choa chu kang, bukit gombak, new station
Pembinaan stesen MRT Brickland yang baru, terletak di antara stesen sedia ada Choa Chu Kang dengan Bukit Gombak di Laluan Utara-Selatan (NSL), dijangka mula menerima penumpang pada 2034. - Foto LTA

Pembinaan stesen MRT Brickland yang baru, terletak di antara stesen sedia ada Choa Chu Kang dengan Bukit Gombak di Laluan Utara-Selatan (NSL), dijangka bermula pada separuh pertama 2026.

Stesen tersebut dijangka mula menerima penumpang pada 2034, menurut laporan akhbar The Straits Times (ST).

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pada 30 Disember ia telah menganugerahkan kontrak bagi reka bentuk dan pembinaan stesen serta jejambat kepada syarikat Obayashi Corporation bernilai kira-kira $281 juta.

Menurut dokumen di laman web LTA yang dikemas kini setakat 31 Januari 2024, Obayashi merupakan salah satu daripada sembilan syarikat yang bersaing untuk membina stesen tersebut.

Dalam kenyataannya, LTA berkata syarikat itu mempunyai rekod kukuh dalam projek infrastruktur, termasuk pembinaan stesen dan terowong rel.

Obayashi kini terlibat dalam beberapa projek di bawah fasa kedua Laluan Rentas Pulau (CRL) yang akan datang, termasuk Stesen MRT Turf City.

Syarikat itu yang mempunyai ibu pejabat di Jepun, turut terlibat dalam projek lain di Singapura, termasuk Stesen Dhoby Ghaut di Laluan Timur Laut (NEL), serta Jewel Lapangan Terbang Changi, yang dibinanya sebagai sebahagian daripada satu usaha sama.

Diumumkan pada 2019 sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040, Stesen MRT Brickland akan menjadi hentian MRT ketiga yang dibina di atas laluan rel bertingkat sedia ada, yang juga dikenali sebagai ‘stesen infill’.

Stesen lain yang serupa pembinaannya termasuk Stesen Dover di Laluan Timur-Barat (EWL), yang dibuka pada 2001, diikuti Stesen Canberra di NSL, yang mula beroperasi pada 2019.

Pembinaan stesen Dover mengambil masa kira-kira tiga tahun, manakala stesen Canberra mengambil masa sekitar empat tahun.

Stesen Brickland pula akan mengambil masa paling lama untuk dibina kerana ia tidak dirancang pada era 1980-an ketika NSL dibina.

LTA berkata pada 2023 bahawa kerja reka bentuk dan pembinaan Stesen Brickland dijangka bermula pada 2024.

Pihak berkuasa itu memberitahu ST pada 30 Disember bahawa kerja awal bagi persediaan pembinaan, seperti pemindahan utiliti, telah bermula seawal Mac 2024.

“Kerja-kerja awam utama, yang diliputi di bawah kontrak terbaru ini, dijangka bermula pada separuh pertama 2026,” tambah LTA.

Sebagai sebahagian daripada pembinaan tersebut, satu jejambat perlu dibina bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dijalankan dengan selamat di atas landasan sedia ada.

Jejambat itu akan membolehkan perkhidmatan tren dialihkan daripada jejambat sedia ada supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan ke atas infrastruktur dan sistem rel itu, sambil memastikan operasi tren di NSL dapat diteruskan seperti biasa.

Lintasan baru juga akan dibina antara landasan sedia ada dengan landasan baru.

LTA berkata satu landasan sisian baru akan disediakan, yang boleh digunakan sekiranya berlaku kerosakan tren.

Landasan sisian ialah landasan berkelajuan rendah di mana tren boleh berhenti dan membolehkan tren lain melepasinya.

Langkah ini akan meningkatkan pemulihan perkhidmatan serta daya tahan operasi di sepanjang laluan tersebut, kata pihak berkuasa.

Apabila siap kelak, stesen ini akan memberi perkhidmatan kepada kawasan perumahan sedia ada dan yang akan datang di estet Keat Hong, Bukit Batok West, estet Pavilion Park serta daerah Brickland di Tengah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg