Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stesen MRT Hume dibuka lebih awal pada 28 Feb

Stesen DTL di Upper Bukit Timah Road akan mudahkan penduduk ke pusat bandar, Kebun Bunga
Jan 24, 2025 | 2:27 PM
Stesen Hume, yang terletak antara stesen Hillview dengan Beauty World, adalah yang terakhir dalam fasa kedua Laluan Downtown (DTL) yang masih belum dibuka.
Stesen Hume, yang terletak antara stesen Hillview dengan Beauty World, adalah yang terakhir dalam fasa kedua Laluan Downtown (DTL) yang masih belum dibuka. - Foto ZAOBAO

Stesen MRT Hume di Bukit Timah, yang terletak di Laluan Downtown (DTL), akan dibuka lebih awal untuk perkhidmatan penumpang pada 28 Februari, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 24 Januari.

Stesen itu, yang terletak di antara stesen Hillview dengan Beauty World di DTL, merupakan yang terakhir pada fasa kedua laluan itu yang masih belum dibuka.

Fasa 2 DTL mula beroperasi pada Disember 2015.

Stesen Hume, yang akan dibuka pada 3 petang, 28 Februari, pada asalnya dijadualkan untuk mula beroperasi pada suku kedua 2025, lapor The Straits Times.

Stesen yang terletak di Upper Bukit Timah Road itu akan memudahkan penduduk untuk menuju ke pusat bandar, kata Encik Chee dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata perjalanan dari stesen Hume ke stesen Downtown di Pusat Bandar akan mengambil masa sekitar 30 minit, berkurangan daripada kira-kira 45 minit sebelum ini.

Stesen itu juga akan menghubungkan penduduk ke Kebun Bunga Singapura dalam 15 minit, separuh daripada masa yang diperlukan untuk ke sana dengan menaiki bas.

Selain itu, penumpang juga boleh melawat tempat menarik seperti Kilang Ford Lama dan Koridor Kereta Api di Bukit Timah dengan lebih mudah.

Sebagai persediaan untuk perkhidmatan penumpang, SBS Transit – yang mengendalikan DTL – akan menjalankan ujian pengendalian, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan.

Apabila dibuka, stesen Hume akan memberi perkhidmatan kepada lebih 20,000 penduduk di kawasan antara stesen MRT Hillview dengan Beauty World. 

Kerja menyiapkan stesen yang kosong selama ini – struktur cengkerang yang dibina pada 2015 – bermula pada 2021 selepas penduduk membuat desakan selama bertahun-tahun.

Pemerintah sebelum ini menyatakan bahawa pembangunan di kawasan tersebut dan peningkatan jumlah penumpang tidak cukup untuk membuka stesen itu.

Namun, ini berubah selepas usaha membangunkan Koridor Kereta Api dan Stesen Bomba Bukit Timah lama.

Pada 24 Januari, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Cik Low Yen Ling, menggambarkan pembukaan stesen itu sebagai “impian yang menjadi kenyataan”.

Bersama dengan penduduk, beliau telah meyakinkan LTA untuk membuka stesen tersebut, yang terletak di kawasannya.

Stesen Hume akan mempunyai dua pintu masuk – satu menghadap Upper Bukit Timah Road dan satu lagi menghadap Hume Avenue, kata Cik Low dalam satu hantaran Facebook.

Untuk meningkatkan sambungan ke stesen, laluan pejalan kaki bertutup telah dibina untuk menyediakan akses terlindung ke hentian bas berhampiran serta tempat naik dan turun penumpang, kata Cik Low, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan).

Selain itu, terdapat juga 60 tempat letak basikal berhampiran dua pintu masuk tersebut.

DTL akan mempunyai 39 stesen, termasuk empat stesen yang sedang dalam pembinaan.

Di daerah timur, stesen MRT Xilin dan Sungei Bedok sedang dibina untuk menghubungkan DTL dengan Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang dijangka siap pada separuh kedua 2026.

Dua lagi stesen sedang dibina di sebelah barat untuk menghubungkan DTL ke Laluan Utara-Selatan (NSL).

Satu stesen akan dibina di Sungei Kadut Avenue dan satu lagi, sebagai stesen pertukaran, akan dibina antara stesen Yew Tee dengan Kranji yang sedia ada di NSL, dan dijadualkan siap pada 2035.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg