Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga stesen baru bakal dibina, hubungkan penumpang dari DTL ke NSL

Dijangka siap pada 2035, tiga stesen itu akan mengurangkan tempoh perjalanan penumpang di kawasan utara serta barat laut S’pura
Jan 6, 2025 | 6:34 PM
Gambaran artis stesen DE1 yang akan dibina di Sungei Kadut berhampiran Kampung Yew Tee.
Gambaran artis stesen DE1 yang akan dibina di Sungei Kadut berhampiran Kampung Yew Tee. - Foto LTA

Tiga stesen kereta api baru akan dibina menjelang 2035 untuk menghubungkan penumpang dari Bukit Panjang ke Sungei Kadut.

Satu kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 6 Januari berkata pembinaan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan meluaskan Laluan Downtown (DTL).

Pembinaan tersebut termasuk sebuah stesen DTL baru bawah tanah di Sungei Kadut, berhampiran Kampung Yew Tee.

Sebuah lagi stesen DTL akan dibina di Sungei Kadut Central, yang berfungsi sebagai stesen pertukaran yang akan menjadi penghubung ke stesen atas tanah Laluan Utara-Selatan (NSL).

Ini bermakna stesen NSL tersebut akan berada di antara stesen Yew Tee dengan Kranji yang sedia ada.

Stesen-stesen itu dijangka mengurangkan masa perjalanan bagi penumpang di kawasan utara serta barat laut Singapura.

Ia memberikan alternatif bagi penumpang dalam merancang perjalanan mereka.

Antaranya, penumpang mampu menikmati perjalanan dari Bukit Panjang ke Sungei Kadut Central dalam masa 10 minit berbanding 40 minit.

Penumpang juga mampu menikmati akses yang lebih baik untuk ke kawasan yang sedang membangun seperti Kampung Yew Tee, Kawasan Eco-Distrik Sungei Kadut yang akan datang, Koridor Kereta Api dan Penghubung Taman Pang Sua.

Buat masa ini, penduduk yang menginap di kawasan barat laut boleh menggunakan NSL atau Laluan Thomson-East Coast untuk perjalanan ke pusat bandar.

Kerja-kerja pembinaan stesen tersebut dijangka bermula pada suku keempat 2025, dengan nama stesen akan diumumkan menjelang tarikh pembukaannya.

Buat masa ini, kedua-dua stesen DTL itu akan digelar sebagai DE1 dan DE2, manakala stesen NSL pula sebagai NS6.

DE1 terletak berhampiran dengan Koridor Kereta Api serta mempunyai jambatan pejalan kaki baru yang boleh membawa penumpang ke Kampung Yew Tee, Ruang Memancing Pang Sua dan Penghubung Taman Pang Sua.

Sebuah jambatan yang mempunyai dua lorong kenderaan akan dibangunkan untuk menghubungkan stesen MRT tersebut dengan kawasan Choa Chu Kang North 7 dan Woodlands Road.

Laluan pejalan kaki tertutup dan laluan basikal juga akan dibina untuk mengurangkan tempoh perjalanan penduduk Choa Chu Kang ke stesen DE1.

DE2 dan NS6 pula akan berfungsi sebagai stesen pertukaran kereta api dan akan ditempatkan di Sungei Kadut Central.

Apabila pembinaan stesen tersebut selesai, DTL dijangka mempunyai 39 stesen merentasi laluan sepanjang 44 kilometer.

Ini termasuk stesen Hume yang akan dibuka pada suku kedua 2025, serta stesen Xilin dan Sungei Bedok yang akan beroperasi pada separuh kedua 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg