Penumpang yang menaiki tren dari stesen MRT Kovan pada luar waktu sibuk pagi kini boleh menikmati mata ganjaran bagi mengurangkan kos tambang perjalanan mereka, apabila stesen itu dimasukkan ke dalam program Travel Smart Journeys anjuran Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Dalam kenyataan di Facebook pada 1 Julai, LTA memaklumkan bahawa imbasan masuk sebelum 7.15 pagi atau antara 8.45 pagi hingga 9.45 pagi akan melayakkan penumpang menerima mata ganjaran bernilai sehingga 80 peratus daripada tambang perjalanan.
Program ini diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai mengelakkan bahagian rangkaian MRT di kawasan timur laut Singapura yang sering sesak semasa waktu sibuk pagi lapor The Straits Times.
Dengan penambahan Kovan, senarai stesen MRT yang mengambil bahagian skim ini kini merangkumi Punggol Coast, Punggol, Sengkang, Buangkok dan Hougang, selain semua stesen LRT Punggol dan Sengkang.
LTA turut menggalakkan pengguna pengangkutan awam mempertimbangkan perkhidmatan bas ekspres waktu puncak yang menawarkan mata ganjaran sama, sebagai alternatif kepada perjalanan menaiki tren di Laluan MRT North East.
Ketika ini, terdapat 12 perkhidmatan bas sedemikian, termasuk City Direct Service 676 yang beroperasi di kawasan Kovan.
Untuk layak menyertai program Travel Smart Journeys, penumpang perlu membuktikan bahawa mereka kerap menggunakan perkhidmatan tren semasa waktu sibuk pagi, dengan rekod imbasan masuk antara 7.15 pagi dan 8.45 pagi sekurang-kurangnya enam kali dalam tempoh 30 hari lalu.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui akaun SimplyGo, manakala penebusan mata ganjaran dilakukan melalui aplikasi mudah alih SimplyGo.
Program ini bermula pada 2020 sebagai percubaan dengan penduduk yang menggunakan stesen MRT Punggol, Sengkang dan Buangkok serta perkhidmatan LRT Sengkang-Punggol ke arah timur Singapura.
Pada peringkat awal, fokus utama adalah menggalakkan penumpang beralih daripada MRT kepada bas semasa waktu sibuk, sebelum diperluas pada 2023 dengan lebih banyak laluan bas.
Pada 2 Januari tahun ini, beberapa perkhidmatan bas tambahan telah ditambah dan skim mata ganjaran turut diperluaskan bagi meliputi perjalanan tren.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg