Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Tukaran Bas Punggol Coast mula beroperasi

Pusat tukaran bas baru itu punya kapasiti sehingga 10 perkhidmatan bas
Jun 30, 2025 | 6:02 PM
Dua perkhidmatan bas baru dari Pusat Tukaran Bas Punggol Coast sedang dirancang, termasuk perkhidmatan 104 yang akan melalui kawasan seperti Sengkang, Buangkok, Serangoon dan Woodleigh.
Dua perkhidmatan bas baru dari Pusat Tukaran Bas Punggol Coast sedang dirancang, termasuk perkhidmatan 104 yang akan melalui kawasan seperti Sengkang, Buangkok, Serangoon dan Woodleigh. - Foto ST

Operasi perkhidmatan bas di Pusat Tukaran Bas Punggol Coast yang baru, bermula dengan lancar tanpa sebarang masalah, pada 29 Jun.

Bas pertama berlepas dari pusat tukaran bas itu sekitar 5.10 pagi.

Ia dilancarkan Pengarah Urusan Go-Ahead Singapore, Encik Leonard Lee, syarikat yang mengendalikan pusat tukaran bas tersebut.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, turut menghadiri pembukaan kantin Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) di premis tersebut,

Turut bersama ialah Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, dan Setiausaha Eksekutif NTWU, Cik Yeo Wan Ling.

Ketiga-tiga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol itu kemudian menaiki perkhidmatan bas 34 dari pusat tukaran bas baru itu yang terletak di Sentul Walk ke Pusat Tukaran Bas Punggol di Punggol Central.

Perkhidmatan bas 34 dan 117/M – yang sebelum ini beroperasi dari Pusat Tukaran Bas Punggol – kini beroperasi dengan laluan lebih luas dari pusat tukaran bas baru itu, yang mempunyai kapasiti sehingga 10 perkhidmatan bas.

Perkhidmatan bas 34, kendalian Go-Ahead, kini akan berhenti di tujuh hentian tambahan dari Punggol Coast ke Punggol Central, serta lapan hentian tambahan dalam perjalanan pulang.

Laluannya termasuk Lapangan Terbang Changi.

Perkhidmatan bas 117 kendalian SBS Transit, yang melalui kawasan seperti Canberra dan Yishun, kini berhenti di empat hentian bas tambahan dalam perjalanan antara Punggol dengan Sembawang.

Dua perkhidmatan bas baru dari Pusat Tukaran Bas Punggol Coast juga sedang dirancang, termasuk perkhidmatan 104 yang akan melalui kawasan seperti Sengkang, Buangkok, Serangoon dan Woodleigh.

Satu perkhidmatan terus ke bandar yang baru juga akan membolehkan penduduk Punggol menikmati keterhubungan pengangkutan awam yang lebih baik ke kawasan bandar pada waktu sibuk.

Pusat tukaran bas baru itu telah menarik sekumpulan kecil penumpang, peminat bas dan penduduk yang ingin melihat-lihat suasana di pusat tukaran bas tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Seorang penduduk Punggol, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Soh, menyambut baik kemudahan pusat tukaran bas baru itu, sedang kawasan itu kini pesat membangun, dengan lokasi kampus baru Institut Teknologi Singapura (SIT) dan peluasan Daerah Digital Punggol (PDD) di sana.

“Tambahan lagi, ia akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan ini,” tambah perunding berusia 46 tahun itu.

Seorang lagi penduduk Punggol, Cik Doris Wang, 38 tahun, suri rumah, berkata walaupun beliau biasanya memandu, kewujudan pusat tukaran bas baru itu akan membuatkan beliau mempertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap.

Namun, beliau berkata keterhubungan pengangkutan di kawasan tersebut masih boleh dipertingkat, sambil menambah:

“Untuk sampai ke tempat seperti Taman Perniagaan Changi, saya perlu membuat beberapa kali pertukaran.”

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), pusat tukaran bas baru itu direka dengan mempertimbangkan keperluan para penumpang.

Ia dilengkapi kemudahan seperti tandas mesra kerusi roda, bilik penjagaan bayi dan bilik rehat bagi penumpang yang memerlukan ruang tenang dan selesa.

Semua pintu masuk ke pusat tukaran itu juga bebas halangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg