Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami disabit kesalahan rogol dalam perkahwinan kerana perkosa isteri

Jun 4, 2024 | 7:30 PM
Seorang warga Singapura telah disabitkan kesalahan pada April atas serangan seksual terhadap isterinya, sekali gus menjadi satu-satunya suami yang disabitkan kesalahan tersebut sejak kekebalan merogol dalam perkahwinan dimansuhkan sepenuhnya pada 2020.
Seorang warga Singapura telah disabitkan kesalahan pada April atas serangan seksual terhadap isterinya, sekali gus menjadi satu-satunya suami yang disabitkan kesalahan tersebut sejak kekebalan merogol dalam perkahwinan dimansuhkan sepenuhnya pada 2020. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Seorang lelaki warga Singapura disabitkan kesalahan pada April atas serangan seksual terhadap isterinya.

Dengan itu, dia menjadi satu-satunya suami yang disabitkan kesalahan tersebut sejak kekebalan daripada kesalahan merogol dalam perkahwinan dimansuhkan sepenuhnya pada 2020.

Menurut laporan The Straits Times (ST), difahamkan tiada suami disabitkan atas kesalahan berasingan berkenaan merogol dalam perkahwinan sejak undang-undang itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

Isu merogol dalam perkahwinan timbul apabila Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata Singapura telah memansuhkan sepenuhnya kekebalan merogol dalam perkahwinan.

Beliau berkata demikian dalam sesi ke-88 Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), yang diadakan di Geneva pada 16 Mei.

Cik Sun berkata: “Pada 2019, selaras dengan saranan jawatankuasa (Cedaw), kami memansuhkan sepenuhnya imuniti merogol dalam perkahwinan.

“Tahun ini (2024), buat kali pertama, kami telah mensabitkan kesalahan ke atas seorang lelaki kerana kesalahan serangan seksual terhadap isterinya.”

Peguam daripada firma guaman Eugene Thuraisingam LLP, Cik Sophia Ng, menjelaskan serangan seksual berlaku apabila beberapa bahagian badan atau objek – selain daripada zakar – digunakan untuk memperkosa mangsa tanpa kebenaran.

Rogol berlaku apabila seorang lelaki memperkosa faraj, dubur atau mulut mangsa dengan zakarnya tanpa kebenaran mangsa.

Apabila pasangan itu berkahwin, hal ini dikenali sebagai rogol dalam perkahwinan, tambah Cik Ng.

Timbalan pengarah di Pusat Pro Bono dan Pendidikan Undang-undang Klinikal di Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Mervyn Cheong, menyatakan di Singapura, reformasi perundangan yang pertama mengenai isu rogol dalam perkahwinan adalah pada 2007.

Pada detik itu, terdapat sebahagian pemansuhan kekebalan terhadap rogol dalam perkahwinan.

Hal sedemikian dikenal pasti dalam keadaan tertentu yang menandakan keretakan dalam perkahwinan – contohnya, jika pasangan itu tinggal berasingan di bawah penghakiman penceraian sementara atau isteri mempunyai perintah perlindungan peribadi terhadap suaminya.

Pada 2018, satu jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyemak Kanun Keseksaan menggesa “pemansuhan sepenuhnya, tanpa kelayakan imuniti bagi rogol dalam perkahwinan” untuk melindungi wanita daripada penderaan seksual.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata: “Tubuh wanita adalah miliknya. Walaupun beliau (wanita) itu isteri anda, beliau berhak untuk mengatakan ‘tidak’.”

Pada 2019, kekebalan daripada kesalahan merogol dalam perkahwinan telah dimansuhkan sepenuhnya dan ini berkuat kuasa pada 2020.

Oleh demikian, kata Profesor Cheong, ini bermakna suami yang melakukan hubungan seks tanpa persetujuan isterinya dalam apa jua keadaan boleh dianggap sebagai telah merogolnya.

Penalti maksimum untuk serangan seksual melalui penetrasi dan rogol adalah sama, iaitu pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau dirotan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg