Hasrat di hati Ustaz Muhammad Redha Mohamed Elyas dan isterinya, Ustazah Sri Wahyu Ahmad, ialah melatih lebih ramai penutur bahasa Arab di Singapura agar mampu menampilkan diri secara yakin ketika bertutur dan membahaskan isu sejagat di medan pertandingan perdebatan antarabangsa.
Mereka pernah bergelar pembahas bahasa Arab sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lebih sedekad lalu.
Ustaz Redha merupakan lulusan Quran Sunnah manakala Ustazah Sri Wahyu adalah lulusan Fiqh wa Usul.
Lantaran itu, sejak 2022, mereka yang mempunyai seorang anak berusia setahun, mengusahakan syarikat dengan inisiatif mengasah bakat dan pengetahuan pelajar dalam perdebatan bahasa Arab, yang dikenali sebagai Munazarah SG.
Ustaz Redha, 34 tahun, dan Ustazah Sri Wahyu, 35 tahun, yakin terdapat potensi besar dalam kalangan pelajar setempat untuk berdiri sama tinggi dengan pembahas negara lain yang memang bahasa ibundanya merupakan bahasa Arab.
Sebagaimana jelas Ustaz Redha ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 25 Februari:
“Permintaan untuk melatih pelajar supaya berani mewakili Singapura dalam pertandingan antarabangsa dan berhadapan dengan penutur bahasa Arab dari negara lain, sama ada di peringkat sekolah mahupun di universiti kini semakin meningkat.
“Di Singapura, peluang untuk bertutur dalam bahasa Arab masih terhad kepada pembelajaran di madrasah atau badan tertentu, yang mengkhususkan kepada membaca atau komunikasi asas.”
Menurut Ustaz Redha selaku Ketua Munazarah SG, syarikatnya berusaha memperkenalkan wadah yang lebih interaktif melalui bidang perdebatan kepada pelajar, yang tidak hanya mampu meningkatkan penguasaan bahasa Arab mereka bahkan mengasah kemahiran beranalisis dan komunikasi.
“Perdebatan sering dianggap terpisah daripada pelajaran, sedangkan ia memperluas pengetahuan umum dan memperkukuh penguasaan bahasa sekali gus memberi faedah terhadap pembelajaran.
“Disebabkan sistem pelajaran teori dan arena perbahasan bahasa Arab yang berstruktur masih di peringkat pembangunan di Singapura, peluang untuk mendapatkan penyertaan yang lebih rancak daripada peserta tempatan agak terhad.
“Cabaran utamanya adalah membudayakan wacana intelektual dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan wadah yang berlandaskan ilmu dan etika,” tambah Ustaz Redha.
Pada awal 2025, Munazarah SG menganjurkan pertandingan Kejohanan Debat Bahasa Arab Antara Sekolah Singapura 2025 (SIADC25), melibatkan madrasah dan sekolah serantau, dari Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Meskipun perdebatan itu diadakan buat kali kedua, ini merupakan kali pertama ia diadakan di peringkat Asia Tenggara.
Acara ini turut disokong Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Kolej Islam Muhammadiyah, Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Madrasah Irsyad Zuhri dan Rangkaian Arab @ Singapura.
Antara 17 dengan 19 Januari, pusingan awal dalam talian bagi SIADC25, melibatkan 48 pasukan serantau, dengan pesertanya berusia antara 14 dengan 19 tahun.
Peringkat akhir pertandingan itu berlangsung di Auditorium SingPost Centre di Eunos Road pada 24 Februari, dengan kehadiran Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Mauduk perdebatan peringkat akhir ialah, ‘Dewan ini percaya bahawa pengaruh budaya Barat dan Korea merupakan ancaman kepada etika tradisional negara-negara Asean’.
Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dari Singapura menentang Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan (SMA MAWIP) dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Terdahulu, Madrasah Alsagoff dan SMA MAWIP melayakkan diri ke pusingan akhir setelah mengalahkan sekolah Maahad Pontian dari Malaysia dan Maghfirah Islamic Leadership Boarding School dari Indonesia di pusingan separuh akhir.
Bagi menambah kebolehpercayaan, pertandingan itu turut menghadirkan 43 juri yang diiktiraf Pusat Debat Qatar.
Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dinobatkan sebagai juara dan menerima wang tunai bernilai $1,500.
Sementara, pelajar SMA MAWIP, Iris Aisyah Chairil Azdi, 17 tahun, muncul sebagai pembahas terbaik.
Menyentuh harapannya tentang potensi debat bahasa Arab yang sedang berkembang di Singapura, Ustazah Sri Wahyu, selaku Pembantu Ketua Munazarah SG dan penganjur program SIADC25, berkata:
“Kami berharap agar acara sebegini dapat mendorong lebih banyak penyertaan, penglibatan serta sokongan dalam memperkembangkan bahasa Arab di negara kita dan rantau ini.
“Kami juga ingin mewujudkan program latihan yang lebih berstruktur demi menyokong pasukan pembahas dalam kalangan pelajar dari madrasah, sekolah mahupun kumpulan bebas.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg