DAMSYIK: Kejatuhan rejim Encik Bashar al-Assad pada Disember 2024 menjadi titik permulaan lembaran baru Syria, terutama dalam usaha memulihkan sektor pelancongannya yang lumpuh akibat konflik selama lebih sedekad.
Dengan pengambilalihan Damsyik oleh pemberontak pada 8 Disember, suasana di negara itu berubah secara drastik.
Kini, bendera hijau, putih, dan hitam ‘Syria Bebas’ berkibar megah, dan pelancong mula kembali, membawa harapan baharu kepada ekonomi yang selama ini musnah.
Pengasas syarikat agensi pelancongan, Syria Scope Travel, Encik Ayoub Alsmadi, adalah antara individu yang paling optimis mengenai kebangkitan semula sektor pelancongan Syria.
Beliau mula membawa pelancong masuk ke Syria pada Januari 2025 dan percaya masa depan sektor itu cerah.
“Semua orang kini mengenali Syria kerana perang. Dengan Assad tiada lagi, industri pelancongan akan pulih dengan cepat,” katanya kepada CNN.
Namun, beliau mengakui bahawa sekatan perjalanan oleh beberapa kerajaan adalah cabaran besar yang perlu ditangani bagi menarik lebih ramai pelancong.
Sebelum perang saudara tercetus pada 2011, Syria adalah destinasi pelancongan yang popular, menarik lebih 10 juta pelancong setiap tahun.
Tapak bersejarah seperti Palmyra, sebuah bandar Greco-Rom yang dihancurkan oleh ISIS pada 2014, dan kubu Perang Salib seperti Krak des Chevaliers adalah antara tarikan utama negara itu.
Selain itu, Damsyik, yang dianggap sebagai salah sebuah bandar tertua yang dihuni secara berterusan di dunia, dan pantai Mediterranean yang indah juga menjadi tarikan pelancong.
Sektor pelancongan pada masa itu menyumbang kira-kira 14 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Syria.
Namun, perang saudara telah mengubah segala-galanya.
Banyak kawasan bersejarah musnah, manakala prasarana pelancongan terjejas teruk.
Walaupun begitu, harapan untuk membangkitkan semula sektor itu tidak pernah pudar dalam kalangan rakyat Syria.
Dengan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa seperti Qatar Airways dan Turkish Airlines kini kembali beroperasi di Damsyik, potensi kebangkitan pelancongan semakin menyerlah.
Namun, isu keselamatan kekal menjadi kebimbangan utama.
Banyak kerajaan termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom masih mengeluarkan amaran perjalanan ke Syria.
Pengasas Lupine Travel, Encik Dylan Harris, menjalankan penilaian keselamatan selama 10 hari di Syria menjelang lawatan yang dijadual pada Mei 2025.
“Buat masa ini, kawasan yang kami lawati adalah yang paling selamat dalam tempoh 14 tahun,” katanya.
Namun, beliau memberi amaran bahawa keadaan boleh berubah dengan cepat.
Selain itu, isu etika pelancongan ke negara yang baru sahaja keluar daripada konflik juga menjadi perdebatan.
Bagi Encik Ayoub, pelancongan bukan sahaja satu peluang ekonomi, bahkan juga satu cara membawa harapan kepada rakyat Syria.
“Saya mahu membantu Syria bangkit semula,” katanya.
Beliau percaya pelancongan adalah kunci kepada pemulihan ekonomi dan sosial negara itu.
Pengarah Nawafir Travel and Tours, Encik Adnan Habbab, turut berkongsi pandangan yang sama.
Encik Habbab, yang kini kembali mengurus hotel, Beit Zafran Hotel de Charm di Damsyik, berkata bahawa pelancongan boleh memainkan peranan penting dalam memperbaiki imej Syria di mata dunia.
“Pelancong kini boleh berjalan bebas di Syria. Penduduk sedang berusaha memulihkan perniagaan mereka.
“Saya yakin masa depan lebih cerah dari 53 tahun kegelapan di bawah rejim Assad,” katanya.
Selain tarikan tradisional seperti Palmyra dan Krak des Chevaliers, Syria juga berpotensi menjadi destinasi untuk ‘dark tourism’ atau pelancongan gelap, iaitu apabila pelawat tertarik untuk memahami sejarah gelap negara tersebut.
Penjara Saydnaya, yang pernah menjadi lokasi penyeksaan dan pembunuhan tahanan politik di bawah rejim Assad, kini menjadi salah satu lokasi yang dicadangkan untuk dilawati.
“Kita perlu menjadikan penjara seperti Saydnaya sebagai muzium untuk mengingati kezaliman rejim Assad,” kata Encik Habbab.
Beliau percaya lawatan ke tapak-tapak itu bukan sahaja membantu memperingati mangsa, malah memberi pengunjung pemahaman lebih mendalam mengenai krisis pelarian Syria.
Walaupun bersikap optimis, cabaran tetap wujud.
Syria masih menghadapi kekurangan makanan dan sumber asas, dengan anggaran 90 peratus rakyatnya hidup dalam kemiskinan.
Tambahan pula, pemerintah sementara yang kini memerintah Syria masih belum benar-benar stabil.
Pengasas Untamed Borders, Encik James Wilcox, berkata keadaan stabil sekarang memberi harapan. Tetapi banyak kumpulan di Syria mungkin mahu bersuara tentang bagaimana negara itu akan maju.
“Jika kerajaan sementara mampu bekerjasama dan membentuk perlembagaan baharu, masa depan mungkin cerah.
“Namun, jika berlaku perselisihan, risiko untuk kembali terjadinya perang saudara masih tinggi,” katanya.
Pelancongan ke Syria juga menawarkan peluang untuk dunia menyaksikan daya tahan rakyatnya.
Pengasas Rocky Road Travel, Cik Shane Horan, berkata:
“Melawat Syria sekarang memberi peluang untuk menyaksikan daya tahan rakyatnya dan menyumbang secara langsung kepada pemulihan negara.”
Bagi pengasas bersama Young Pioneers Tours, Encik Gareth Johnson, pula beliau percaya pelancongan boleh membawa perubahan positif kepada ekonomi tempatan.
“Syria telah melalui banyak kesukaran. Pelancongan akan membawa pekerjaan, wang, dan ekonomi yang menyentuh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Bagi rakyat Syria, pemulihan industri pelancongan membawa sinar harapan selepas bertahun-tahun dilanda konflik.
Dengan pelancong mula kembali, suasana di Syria seperti satu perayaan.
“Datanglah ke Syria dan saksikan sejarah yang sedang berlaku. Kami mengalu-alukan kehadiran anda.
“Anda boleh menyokong rakyat Syria, ekonomi kami, dan berkongsi kegembiraan kami,” kata Encik Habbab dengan penuh harapan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg