Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri bangun kumpulan bantu diri perkukuh keluarga bekas pesalah

Sep 23, 2025 | 7:38 PM
Singapura, suami isteri bekas pesalah, Action-In-Motion Society, Women in Support to Develop Outstanding Men
Encik Mohammed Feroz Haron, 60 tahun, dan isterinya, Cik Salmah Johari, 55 tahun, menubuhkan kumpulan ‘Action-In-Motion Society’ (AIMS) dan ‘Women in Support to Develop Outstanding Men’ (Wisdom) untuk memberi sokongan kepada bekas pesalah serta pasangan mereka, berteraskan keyakinan bahawa keluarga yang kuat menjadi asas kepada pemulihan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tatkala Encik Mohammed Feroz Haron melangkah keluar dari penjara pada 2018 setelah beberapa kali keluar masuk tahanan sejak 1993 kerana penyalahgunaan dadah, beliau sedar pemulihan bukanlah satu perjalanan yang boleh ditempuh sendirian. 

Terdorong daripada pengalamannya sendiri, Encik Feroz, 60 tahun, menubuhkan kumpulan bantu diri, Action-In-Motion Society (AIMS), pada 2018 bagi memberi sokongan emosi dan sosial kepada bekas pesalah, tidak kira bangsa dan agama.

Penubuhan AIMS yang dilancarkan secara rasmi pada 2019 sekali gus membantu bekas pesalah membina semula keyakinan diri, mengeratkan semula hubungan keluarga dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Pada masa yang sama, isterinya, Cik Salmah Johari, 55 tahun, pernah memikul tanggungjawab membesarkan dua anak, yang kini berusia 29 dan 32 tahun, seorang diri sambil berusaha memulihkan semula kepercayaan terhadap suaminya.

Pengalaman tersebut turut mendorongnya menubuhkan Women in Support to Develop Outstanding Men (Wisdom) pada 2024 di bawah sayap AIMS sebagai satu wadah bagi golongan isteri dan pasangan bekas pesalah berkongsi pengalaman, mencari kekuatan dan memperkukuh institusi keluarga.

Saling melengkapi, AIMS menjadi sandaran buat golongan lelaki yang berusaha berubah, manakala Wisdom memperkasa wanita yang mendampingi mereka. 

Usaha pasangan itu mencerminkan apa yang diketengahkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Parlimen pada 23 September, bahawa daya tahan dan keluarga yang kukuh adalah asas kepada masyarakat.

“Setiap anggota masyarakat kita harus diberi peluang untuk menjadi versi terbaik diri mereka, pada setiap peringkat kehidupan. 

“Dan apabila ada yang tersungkur, kita mesti bersama-sama membantu agar mereka dapat bangkit semula,” kata Dr Faishal, sambil menekankan pentingnya memanfaatkan tenaga, kebolehan dan daya imaginasi masyarakat secara kolektif dalam membentuk masyarakat yang utuh.

Memetik Encik Feroz sebagai contoh, Dr Faishal menyifatkan beliau sebagai seorang individu yang pernah tersungkur akibat terjerumus dalam kancah dadah pada 1993, namun memilih untuk bangkit dengan memperbaiki diri serta menyumbang semula kepada masyarakat melalui AIMS.

“Melalui AIMS, kami cuba wujudkan satu komuniti di mana bekas pesalah tidak rasa keseorangan. Kami saling menyokong, saling mengingatkan, dan saling menguatkan.

“Pemulihan bukan jalan yang mudah, tapi bila kita berjalan bersama-sama, peluang untuk berjaya itu jauh lebih besar,” kata Encik Feroz.

Usaha itu bukan sekadar membantu bekas pesalah mencari arah hidup baru melalui kelas dan kursus peningkatan di AIMS, malah turut menyokong keluarga mereka. 

Di situlah Cik Salmah memainkan peranan penting. 

Berbekalkan pengalamannya sendiri mengharungi cabaran terbesar sebagai isteri seorang penagih, Wisdom menjadi ruang buat isteri dan pasangan pesalah berkongsi pengalaman dan meraih kekuatan secara bersama.

“Saya mahu ada satu ruang selamat di mana wanita boleh bersuara, menangis jika perlu, dan perlahan-lahan belajar untuk bangkit semula sambil menyokong perjalanan pemulihan suami atau pasangan mereka,” katanya yang berumah tangga dengan Encik Feroz pada 1991.

Pasangan ini juga percaya akan kepentingan memupuk rumah tangga melalui rutin sederhana – memancing dan berjalan di tepi laut pada masa lapang.

Encik Feroz pula menambah: “Luangkan masa bersama adalah cara kami mengingatkan diri bahawa keluarga yang kuat dibina atas dasar kesabaran dan kehadiran diri untuk pasangan dan keluarga kita.”

Falsafah inilah yang kini menjadi sandaran AIMS dan Wisdom, apabila menggalak orang lain untuk menjadikan keluarga dan masyarakat sebagai sauh dalam pemulihan, ujarnya lagi.

Wisdom akan mengadakan bengkel rumah tangga dan khidmat kaunseling di samping dalam perancangan mengusahakan khidmat umrah buat bekas pesalah, pasangan dan keluarga mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg