Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suasana di sekolah malap, panas dek ‘putus’ elektrik

Feb 15, 2024 | 6:13 PM
Pelajar Sekolah Menengah Jurong West tetap meneruskan pelajaran meskipun dalam suasana malap dan panas ketika melalui simulasi kuasa elektrik ‘terputus’ sempena Hari Pertahanan Mutlak pada 15 Februari.
Pelajar Sekolah Menengah Jurong West tetap meneruskan pelajaran meskipun dalam suasana malap dan panas ketika melalui simulasi kuasa elektrik ‘terputus’ sempena Hari Pertahanan Mutlak pada 15 Februari. - Foto ST

Panas, bahang, malap!

“Macam mana nak belajar?” keluh pelajar Menengah 2 daripada Sekolah Menengah Jurong West, Nur Fasha Farzana Mohd Sharhan, yang sukar memberi tumpuan dalam kelas Matematik kerana sibuk mengipas badannya selepas kipas dan lampu bilik darjah tidak dapat dihidupkan.

Ia akibat satu latihan simulasi kuasa elektrik ‘terputus’ yang diadakan di sekolahnya, yang menampung 1,100 pelajar dari 10 pagi hingga 11.10 pagi, sempena memperingati Hari Pertahanan Mutlak pada 15 Februari.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), sekolah di serata pulau turut mengadakan simulasi gangguan bekalan makanan, air dan kuasa elektrik masing-masing pada 15 dan 16 Februari bagi memperingati tarikh Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 1942.

Pelajar Menengah 2 daripada Sekolah Menengah Jurong West, Nur Fasha Farzana Mohd Sharhan (dua dari kanan), menyertai kelas semasa bekalan elektrik di sekolahnya terputus pada 15 Februari sempena Hari Pertahanan Mutlak.
Pelajar Menengah 2 daripada Sekolah Menengah Jurong West, Nur Fasha Farzana Mohd Sharhan (dua dari kanan), menyertai kelas semasa bekalan elektrik di sekolahnya terputus pada 15 Februari sempena Hari Pertahanan Mutlak. - Foto ST

“Kami dalam perjalanan turun ke kantin, tiba-tiba lampu dan kipas semua mati,” kata Nur Fasha, 14 tahun.

Bekalan elektrik di sekolahnya terputus menjelang waktu rehat hingga menjejas kelas Matematik dan sebahagian kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).

“Makanan di kantin pun sejuk sebab pengendali gerai tak dapat panaskan lauk. Apabila pulang ke kelas, saya tak sanggup buat latihan sebab panas dan gelap,” tambahnya.

Pelajar Sekolah Menengah Jurong West menjamu selera dalam malap ketika waktu rehat di kantin sekolah semasa simulasi bekalan tenaga elektrik terputus.
Pelajar Sekolah Menengah Jurong West menjamu selera dalam malap ketika waktu rehat di kantin sekolah semasa simulasi bekalan tenaga elektrik terputus. - Foto ST

Sekolah tersebut turut menyediakan pameran bagi memupuk kesedaran terhadap enam tonggak Pertahanan Mutlak; iaitu pertahanan ketenteraan, sivil, ekonomi, sosial, digital dan psikologi di ruang legar dan ruang berhampiran kantin.

Semasa dalam kelas CCE pula, guru mendidik pelajar mengenai kepentingan Pertahanan Mutlak dan sekiranya kejadian serupa itu berlaku di seluruh Singapura, apa reaksi warga dan bagaimana mereka akan menanganinya.

Pelajar menyertai kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) ketika bekalan elektrik terputus di Sekolah Menengah Jurong West.
Pelajar menyertai kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) ketika bekalan elektrik terputus di Sekolah Menengah Jurong West. - Foto ST

Ramai pelajar dalam kelas berkata warga pada awalnya tentu akan mengadu dan berasa tidak puas hati. Namun orang ramai akan mula menyesuaikan diri, bergotong-royong membantu orang yang lebih memerlukan seperti warga emas sejajar cara masyarakat Singapura menangani krisis Covid-19.

Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, turut hadir dalam satu sesi kelas CCE disertai sekitar 35 murid untuk mendekati pelajar di sekolah itu.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, bercakap kepada sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Jurong West ketika sesi kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, bercakap kepada sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Jurong West ketika sesi kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE). - Foto ST

Beliau berkongsi dengan para pelajar tentang pentingnya setiap warga memainkan peranan dalam apa jua cara demi mempertahankan negara.

“Kesemua yang kita nikmati sekarang, kita tidak tahu bila ia akan hilang secara mendadak jika kita tidak mempertahankannya,” kata beliau, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

“Lantaran itu kita harus sentiasa bersedia menangani keadaan seperti ini,” kata beliau.

Salah seorang guru Bahasa Melayu di sekolah itu, Cik Nurulhuda Ahmad, 34 tahun, meminta murid-muridnya membuka jendela agar angin dan cahaya matahari memasuki kelas.

“Meskipun dalam kepanasan dan kegelapan, pelajaran perlu diteruskan,” katanya.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Jurong West, Cik Nurulhuda Ahmad, meneruskan pelajaran ketika bekalan elektrik di sekolahnya terputus.
Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Jurong West, Cik Nurulhuda Ahmad, meneruskan pelajaran ketika bekalan elektrik di sekolahnya terputus. - Foto ST

Guru dengan pengalaman mengajar selama 10 tahun itu berkata beliau mengekalkan perhatian muridnya dengan kerap memberi soalan kepada mereka serta menggunakan pena pelbagai warna di papan putih.

Beliau juga menggunakan peluang itu untuk membina kosa kata Bahasa Melayu pelajar berkaitan Pertahanan Mutlak.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, turut meninjau Hari Pertahanan Mutlak di Sekolah Menengah Perempuan Cedar yang mengadakan simulasi bekalan makanan terputus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg