Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suasana NDP meriah bersama rakyat, pemimpin negara

Turut hadir pemimpin dari negara jiran untuk sama-sama rai SG60
Aug 9, 2025 | 10:17 PM
sg60, ndp 2025, tharman shanmugaratnam, presiden
Presiden Tharman Shanmugaratnam disambut dengan kibaran ribuan bendera kecil Singapura serta tepukan gemuruh tatkala kenderaan tentera membawanya melewati tempat duduk penonton di Padang semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 pada 9 Ogos. - Foto ST

Di tengah-tengah 27,000 penonton yang berhimpun di Padang pada 9 Ogos, Muhammad Sufyan Darwish Mohamed Saiful, 13 tahun, duduk dengan tenang bersama keluarganya.

Matanya tertumpu pada persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.

Beliau yang didiagnos autisme ringan ketika usianya lima tahun, sebenarnya teruja menghadiri acara itu kerana abangnya, Mohamed Sufi Danish Mohamed Saiful, 14 tahun, merupakan salah seorang peserta kontinjen Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) bagi segmen Perbarisan dan Upacara (P&C).

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Padang, ibunya, Cik Diana Abdullah berkata keadaan anaknya itu tidak menghalang dia daripada memberi sokongan kepada abangnya.

“Sufyan tidak menunjukkan tingkah laku agresif dan kami telah mempersiapkannya terlebih dahulu dengan memberitahunya bahawa kami akan ke sambutan Hari Kebangsaan,” ujar ibu berusia 46 tahun itu, yang berada di Padang bersama keluarganya sejak 4.15 petang.

Untuk mempersiapkannya bagi acara tersebut, mereka menunjukkan kepada Muhammad Sufyan video sambutan Hari Kebangsaan yang lepas dan menerangkan apa yang boleh dijangkakannya.

Muhammad Sufyan dan keluarganya adalah antara mereka yang menantikan ketibaan barisan anggota Kabinet baru berpakaian serba merah dan putih.

Dengan memegang bendera negara, para pemimpin tiba masuk ke dalam ruang VIP sambil disambut mesra dengan sorakan penonton di Padang.

Ini merupakan NDP pertama sejak Kabinet baru mengangkat sumpah pada 23 Mei, susulan Pilihan Raya Umum (GE) yang diadakan pada Mei 2025.

Antara wajah baru yang hadir ialah pemimpin Melayu seperti Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim dan AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi yang juga akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober.

Mereka tiba bersama AP Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi) dan Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC).

Cik Nadia Ahmad Samdin (GRC Ang Mo Kio) dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC), juga hadir bersama.

Mereka kemudian diikut serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Sementara itu, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim juga turun padang, tetapi sebagai peserta dan komander kontinjen Parti Tindakan Rakyat-Yayasan Kanak-Kanak PAP (PAP-PCF) bagi segmen P&C semasa perbarisan tersebut.

Beliau akan memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), mulai 1 Februari 2026.

Kehadiran Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong bersama Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang digelar sebagai ‘penggerak pasukan petugas’ turut menerima sorakan dari para penonton di Padang.

Ketibaan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Presiden, Encik Tharman Shanmugaratnam menerima sorokan gemuruh daripada penonton apabila mereka membuat penampilan sekitar 6.30 petang.

Dalam semangat untuk menyambut SG60, beberapa pemimpin dari negara jiran turut menghadiri NDP.

Mereka ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; serta Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mewakili Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kehadiran keempat-empat pemimpin tersebut ternyata memeriahkan lagi suasana apabila penonton memberi tepukan gemuruh ketika mereka memasuki ruang VIP, yang dipaparkan di skrin gergasi di sekitar Padang.

Mereka duduk bersama para pemimpin Singapura termasuk Encik Wong, Encik Lee, mantan Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong, serta mantan Presiden, Encik Tony Tan dan Puan Halimah Yacob. – Laporan tambahan Insyirah Mohd Shukor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg