Topik diikuti
Pergi ke BHkuSubsidi rawatan jerebu di poliklinik, klinik keluarga tertentu bagi warga
Ye Kung: Boleh dapatkan subsidi mulai 12 Okt; keadaan jerebu dijangka berlarutan selama beberapa minggu
Subsidi rawatan jerebu di poliklinik, klinik keluarga tertentu bagi warga
Rakyat Singapura yang mengalami masalah kesihatan berkaitan jerebu boleh mendapatkan rawatan bersubsidi di poliklinik dan klinik keluarga (GP) tertentu mulai 12 Oktober.
Kos mendapatkan rawatan berkaitan jerebu akan dihadkan kepada maksimum $10 bagi kumpulan yang layak.
Ini melibatkan kanak-kanak (18 tahun dan ke bawah); warga emas (65 tahun dan ke atas); serta pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) dan Kad Pengecualian Bayaran Perubatan.
Subsidi ini boleh dinikmati apabila mereka mendapatkan rawatan di poliklinik dan GP yang menyertai skim Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).
Warga emas yang memiliki kad Generasi Perintis dan Generasi Merdeka pula tidak akan dikenakan bayaran melebihi $5.
Warga yang menyertai skim Bantuan Awam menerima subsidi jagaan penuh di bawah Skim Subsidi Jerebu (HSS).
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan pada 11 Oktober, tentang langkah pemerintah mengaktifkan skim bantuan HSS dan PHPC, bagi menangani kemerosotan mutu udara akibat jerebu rentas sempadan.
Masalah kesihatan yang layak menerima kadar bersubsidi termasuk alahan hidung, semput, bronkitis, mata merah atau konjunktivitis, penyakit sekatan paru-paru kronik (COPD), jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), serta komplikasi yang timbul daripada penyakit tersebut.
Ketika ditemui pihak media semasa acara masyarakat di Bukit Canberra, Encik Ong berkata, terdapat peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan bagi masalah pernafasan di jabatan kecemasan hospital dan poliklinik.
“Saya rasa ini bukan hanya disebabkan jerebu, tetapi juga kerana musim jerebu tahun ini (2026) berlaku serentak dengan musim selesema (Influenza A). Jadi, kedua-duanya memburukkan lagi keadaan,” ujar beliau.
Encik Ong turut menggesa orang ramai yang mengalami masalah pernafasan yang tidak serius supaya mendapatkan rawatan di klinik GP dan tidak terus mengunjungi jabatan kecemasan.
“Pergilah ke klinik. Doktor boleh merawat anda. Biarkan kemudahan jabatan kecemasan digunakan oleh mereka yang mengalami keadaan serius dan memerlukan rawatan segera,” tambahnya.
Sehingga pagi 11 Oktober, hampir 1,000 daripada 1,370 klinik GP dalam rangkaian PHPC telah memberikan maklum balas positif untuk menyediakan rawatan bersubsidi.
Semua rakyat Singapura layak menerima subsidi HSS di poliklinik, tanpa mengira usia atau pendapatan.
HSS diperkenalkan pada 2013 dan kali terakhir diaktifkan pada 2015, semasa krisis jerebu 2015, apabila Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencecah 341 – kadar bahaya – pada 25 September.
Pada tahun tersebut, skim subsidi itu dilaksana dari 16 September hingga 22 November.
Mengulas mengenai keadaan jerebu kali ini, Encik Ong berkata keadaan kali ini berbeza daripada keadaan jerebu teruk pada 2015.
Walaupun tahap pencemaran kali ini belum mencapai paras tersebut, beliau berkata jerebu dijangka lebih berpanjangan.
Menurut Encik Ong, Singapura masih berada dalam musim peralihan monsun, dengan keadaan angin dan hujan dijangka tidak banyak berubah.
“Saya rasa keadaan tidak akan bertambah baik dalam beberapa minggu akan datang. Kita harus menjangkakan keadaan sekarang mungkin berlarutan selama beberapa waktu,” katanya.
Buat masa ini, pihak hospital telah melaksanakan langkah berjaga-jaga, termasuk menutup tingkap di wad dan koridor, menghidupkan sistem pengudaraan serta menyediakan alat pembersih udara.