Cuaca panas lagi membahang menyelubungi jemaah yang wukuf di Arafah pada Selasa, dengan suhu mencecah 49 darjah Celsius.
Pada Rabu, tinjauan Berita Harian (BH) mendapati suhu di sana cecah 45 darjah Celsius.
Meskipun khemah berhawa dingin disediakan, segelintir jemaah TM Fouzy Travel terpaksa berdepan dengan alat berhawa dingin yang rosak selama beberapa jam, lantas menambah cabaran suasana ibadah haji mereka.
“Pada hari pertama, terdapat masalah elektrik hingga alat hawa dingin tidak berfungsi selama beberapa jam. Alhamdulillah, jemaah tetap berada di dalam khemah hingga alat hawa dingin berfungsi,” kata Ustaz Hasanuddin Razali, pegawai TM Fouzy Travel yang berada di sana ketika dihubungi BH melalui telefon pada Rabu.
Beberapa jemaah juga dikatakan mengalami strok haba dan pengsan dek cuaca yang amat panas.
“Alhamdulillah, dengan bantuan pegawai-pegawai TM Fouzy Travel, para jemaah mendapat rawatan yang diperlukan dengan cepat.
“Pegawai Pasukan Perubatan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (Spao) juga telah membekalkan anggota bantuan perubatan yang sangat proaktif dan cekap, yang sentiasa mengadakan rondaan untuk melihat keadaan jemaah dan memberikan rawatan segera kepada yang memerlukan,” kata Ustaz Hasanuddin.
Menurut ketua delegasi haji Singapura, Encik Saat A. Rahman, semua jemaah secara am berada dalam keadaan sihat dan terjaga, dan meneruskan ibadah mereka.
“Cuaca di Arafah mencecah suhu tinggi sepanjang dua hari kami berada di sini. Namun, kami mendapati rata-rata para jemaah kekal bersemangat meneruskan ibadah haji mereka.
“Pasukan Spao turut turun padang untuk meninjau situasi dan merawat alahan-alahan yang lazim,” kata Encik Saat, yang juga Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Para ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) juga giat mengingatkan jemaah supaya minum air dengan kerap dan menunaikan ibadah mengikut kemampuan diri.
“Bagi Halijah Travels, kami sering mengingatkan jemaah kami supaya minum air dan menjaga kesihatan mereka, dan menunaikan ibadah mengikut kemampuan diri sendiri. Jika tidak mampu, mereka harus beritahu kami.
“Kami juga mempunyai dua pegawai perubatan bersama para jemaah untuk memantau dan sentiasa bersedia sekiranya jemaah memerlukan bantuan,” kata Encik Haffidz Abdul Hamid, pengurus umum Halijah Travels.
Ketika dihubungi BH juga menerusi telefon pada Rabu, beberapa jemaah berkongsi bahawa meskipun cuaca amat mencabar, mereka tetap mampu menunaikan ibadah haji dengan sokongan Spao dan GSA di sana.
“Kami semua cuba sedaya upaya bersabar dan menggunakan kipas yang diberikan kepada kami oleh TM Fouzy Travel atau berdiri berhampiran alat berhawa dingin,” kata Encik Mohammad Zaki As’at, 44 tahun.
Bagi Cik Mahanom Daing Basok, 65 tahun, beliau berkata secara am beliau sihat meskipun berasa tekak kering.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg