Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuhu turun hingga 22.4 darjah Celsius susulan hujan lebat di beberapa kawasan
Suhu turun hingga 22.4 darjah Celsius susulan hujan lebat di beberapa kawasan
Suhu di kawasan tengah Singapura merosot sehingga 22.4 darjah Celsius pada 11 September, menyusuli hujan lebat yang melanda beberapa bahagian di pulau ini.
Menurut laman web Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), suhu berkenaan direkodkan pada 3.51 petang di Scotts Road, yang mencatatkan jumlah hujan sebanyak 103 milimeter (mm).
Agensi air negara PUB turut mengeluarkan amaran risiko banjir kilat bagi kawasan tengah Singapura pada sebelah petang.
Dalam hantaran di platform media sosial X sejurus sebelum 3 petang, PUB menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan Thomson Road (dari Balestier Road ke Novena Rise) bagi tempoh satu jam berikutnya.
Tidak lama kemudian, agensi itu mengeluarkan amaran serupa bagi persimpangan Stevens Road dan Balmoral Road, serta Mackenzie Road (berhampiran Bukit Timah Road).
Antara 3.15 petang dengan 3.30 petang, PUB mengeluarkan amaran tambahan bagi Bencoolen Street, Cambridge Road, Carlisle Road, Derbyshire Road, dan Kampong Java Road – iaitu dari Newton Circus ke Ekspreswe Central (CTE).
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu nasihat yang dikeluarkan sekitar 3 petang, berkata hujan lebat dijangka melanda kawasan utara, timur dan tengah Singapura sehingga 3.45 petang.
Dalam kemas kini pada 3.30 petang, ia melanjutkan ramalan berkenaan sehingga 4.15 petang.
Pada 5 petang, NEA menerusi X memaklumkan hujan lebat berserta petir di kawasan selatan dan timur Singapura dijangka reda pada sebelah malam, disusuli hujan selepas itu.
Suhu terendah yang direkodkan pada 2026 setakat ini ialah 20.1 darjah Celsius, yang dicatatkan di stesen kaji cuaca Newton pada 12 Jun.
Dalam ramalan cuaca pada 1 September – yang dikeluarkan setiap dua minggu – MSS berkata hujan lebat berserta petir singkat dijangka berlaku di beberapa bahagian Singapura pada lewat pagi dan petang dalam tempoh beberapa hari pada separuh pertama bulan ini.
Secara keseluruhan, cuaca cerah dan sesekali berangin dijangka dicatatkan pada kebanyakan hari dalam September.
