Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasyarakat kata ‘YA’ untuk mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula
Tindakan kecil, sama ada secara individu mahupun masyarakat, mampu membawa perubahan besar dalam membina Singapura yang lebih hijau untuk generasi akan datang. Dari Masjid Al-Taqua dan Hab Kampung Hijau Brickland-Tengah hingga Ecoworks, pelbagai usaha praktikal dilaksanakan untuk menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan, mengguna semula dan mengitar semula.
Sekurang-kurangnya seminggu sekali, Encik Anwar Jaafar, 67 tahun, secara sukarela membantu mencuci pinggan dan cawan guna semula di Masjid Al-Taqua.
Peralatan guna semula tersebut menggantikan plastik sekali guna yang biasanya digunakan semasa acara di masjid seperti iftar Ramadan – sebagai sebahagian daripada inisiatif masjid itu untuk memupuk budaya penggunaan yang bertanggungjawab, mengurangkan sisa dan menggalakkan kehidupan mampan di kalangan jemaah dan masyarakat.
“Kami berjaya menggantikan 100 peratus plastik sekali guna dengan peralatan makanan guna semula dengan sokongan jemaah,” kata pengurus Masjid Al-Taqua, Cik Farlida Mohamed.
Langkah yang bermula pada tahun lalu ini telah menghasilkan penjimatan kira-kira $1,920 bagi masjid tersebut setiap tahun.
“Salah satu perubahan paling ketara adalah jumlah sisa yang berkurangan di dalam tong sampah. Biasanya, kami mempunyai kira-kira empat tong sampah besar yang dipenuhi dengan plastik sekali guna dan sisa semasa acara-acara besar di masjid tetapi sekarang, hampir tiada sisa di dalam sebuah tong sampah,” kata Cik Farlida.
Masjid itu turut melihat lebih ramai jemaah membawa bekas makanan dan botol air boleh guna semula mereka sendiri.
Sukarelawan seperti Encik Anwar memainkan peranan penting dalam memacu perubahan ini dengan mengingatkan jemaah untuk menggunakan peralatan guna semula dan menerangkan kesan pembaziran.
Masjid itu turut menyediakan rak khas untuk beg guna semula. Sejak diperkenalkan, rak tersebut tidak pernah kosong, dengan jemaah menyumbangkan beg yang masih elok sementara yang lain mengambilnya apabila diperlukan – mencerminkan komitmen masyarakat yang semakin meningkat untuk memberi nafas baharu kepada barangan yang masih boleh digunakan.
Usaha mengurangkan pembaziran turut meliputi makanan.
Semasa Ramadan dan acara besar, makanan disediakan berdasarkan anggaran kehadiran, manakala lebihan yang masih selamat dimakan diagihkan kepada sukarelawan, benefisiari dan masyarakat setempat.
Sukarelawan belia, Cik Nur Syuhaida Sam, 19 tahun, penuntut di Maktab Seni Lasalle, pula menghasilkan poster dan video bagi meningkatkan kesedaran mengenai tabiat 3R – Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula.
“Pihak Masjid Al-Taqua berbesar hati melihat inisiatif kemampanannya mula membuahkan hasil setelah usaha itu diperkukuh secara lebih tersusun pada 2025 dan memperluaskannya sepanjang 2026.
“Inisiatif tersebut yang menggalakkan masyarakat Melayu/Islam mengamalkan 3R sejajar dengan usaha masjid untuk memupuk budaya menjaga alam sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab agama dan sosial,” kata Cik Farlida.
Inisiatif kemampanan Masjid Al-Taqua selaras dengan mesej kempen tahunan Kata YA kepada Sisa Berkurangan (SYTWL), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), “Pembaziran Ada Harganya”, yang mengetengahkan kesan pembaziran terhadap alam sekitar dan kewangan.
“Setiap makanan yang dibazirkan, setiap plastik yang digunakan sekali sahaja dan setiap sumber yang tidak dimanfaatkan dengan baik mempunyai harga kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Masjid itu juga menganjurkan acara tahunan kitar semula dan pungutan derma, dengan barangan seperti pakaian, periuk, kuali dan logam diasingkan untuk diguna semula oleh individu atau keluarga yang memerlukan atau dikitar semula.
Komitmen untuk memelihara Singapura yang bersih dan hijau turut diteruskan menerusi acara Eco-Friendly Harmony Day.
Acara ini, yang disokong oleh SG Eco Fund dan dianjurkan bersama NEA, Lembaga Taman Negara (NParks) serta masjid-masjid Daerah Timur, memberi tumpuan terhadap pendidikan mengitar semula dan kemampanan.
Acara tersebut, yang diadakan pada Jun di Taman East Coast memaparkan gerai-gerai interaktif, pameran kemampanan dan kegiatan mesra keluarga yang menggalakkan masyarakat mengamalkan tabiat Mengurangkan, Mengguna Semula dan Mengitar Semula dalam kehidupan harian mereka.
“Kami mahu menjadikan usaha kemampanan sesuatu yang menyeronokkan dan bersifat praktikal, maka kami menggalakkan peserta untuk membawa suratkhabar lama mereka untuk menghasilkan kraf tangan bot kertas – satu cara mudah tetapi kreatif untuk mendorong masyarakat memikirkan bagaimana bahan kegunaan harian boleh diberikan nafas baharu dan digunakan semula,” kata sukarelawan belia, Sabrina Roslee, 23 tahun, eksekutif pematuhan.
Beliau dan Cik Nur Syuhaida turut mengajar peserta mengitar semula dengan betul menerusi langkah Periksa, Bersihkan dan Kitar Semula, menggunakan kuiz dan permainan.
Pembaziran ada Harganya
Kempen tahunan, Kata YA kepada Sisa Berkurangan (SYTWL) anjuran Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengingatkan rakyat Singapura bahawa setiap individu mempunyai pilihan dan tanggungjawab untuk mengurangkan pembaziran.
Sejak kempen itu diperkenalkan pada 2019, rakyat Singapura telah menunjukkan kemajuan yang berterusan. Pada 2025, setiap individu di Singapura menghasilkan secara purata 0.83 kilogram sisa domestik sehari – sekitar 21 peratus lebih rendah berbanding 2015.
Ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Singapura serta usaha bersama individu, perniagaan dan masyarakat. Namun, masih ada ruang untuk mengurangkan pembaziran.
Tahun ini, kempen tersebut membawa mesej “Pembaziran Ada Harganya”, yang mengingatkan masyarakat bahawa setiap pembaziran membawa kesan terhadap alam sekitar dan kewangan.
Sebahagian besar sisa yang dihasilkan akhirnya dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Semakau.
Selain memberi kesan kepada alam sekitar, pembaziran turut membawa kos ekonomi apabila sumber digunakan untuk menghasilkan sesuatu barangan yang kemudiannya dibuang selepas hanya sekali penggunaan.
Tema SYTWL tahun ini menggalakkan individu mempertimbangkan kos sebenar tabiat penggunaan harian mereka, baik terhadap alam sekitar mahupun diri sendiri dan mengamalkan tabiat 3R dalam kehidupan harian mereka.
Namun, mengurangkan sisa memerlukan usaha bersama.
Merentasi pelbagai sektor, lebih 180 rakan kerjasama telah memberikan komitmen untuk menerapkan amalan 3R dalam operasi mereka, dengan menyedari bahawa usaha mengurangkan sisa bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah dapat menjimatkan kos.
Secara bersama, usaha-usaha ini membawa Singapura lebih dekat ke arah ekonomi kitaran, iaitu sumber dimanfaatkan selama mungkin dan penghasilan sisa dikurangkan sebanyak mungkin.
NEA berharap rakyat Singapura akan memahami bahawa setiap pembaziran ada harganya, bukan sahaja kepada kewangan mereka, malah terhadap alam sekitar – daripada sumber yang disia-siakan hingga kesannya terhadap usaha membina Singapura yang lebih mampan untuk generasi akan datang.
Pembaziran sumber merangkumi tenaga, air dan bahan mentah yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu barangan, hinggalah kepada tenaga dan sumber yang digunakan untuk mengangkutnya ke rak-rak kedai serta melupuskannya apabila tidak lagi diperlukan.
Dengan mengurangkan pembaziran, kita dapat memulihara sumber yang berharga dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Pada yang sama, mengurangkan pembaziran juga dapat membantu kita menjimatkan wang.
Penduduk bersatu kurangkan sisa
Sementara itu, di kawasan kejiranan Singapura, penduduk Brickland dan Tengah meneroka pelbagai cara kreatif untuk menggunakan semula barangan, mengurangkan sisa dan mengamalkan gaya hidup lebih mampan.
Menerajui Hab Kampung Hijau Brickland-Tengah adalah Cik Jean Goh Poh Siew, yang menganjurkan kegiatan membaik pulih dan guna semula kreatif bagi membantu penduduk melihat sisa daripada sudut berbeza.
Ditubuhkan pada 2024, hab yang diterajui masyarakat itu menjadi wadah bagi penduduk bertemu pada Sabtu pertama setiap bulan untuk menimba ilmu, berkarya dan mengambil tindakan ke arah gaya hidup lebih hijau.
Cik Jean yang berkecimpung selama 25 tahun dalam bidang pembuatan palet dan peti kayu, memulakan Makers’ Corner, di mana kayu industri terpakai dimanfaatkan untuk menghasilkan barangan seperti alas periuk, pemegang foto, bekas pokok, alas cawan, peti kayu kecil, rak pameran, rak kasut dan bangku lipat.
“Daripada membuang kayu-kayu itu, saya menderma sekitar 50 hingga 300 kilogram potongan kayu terpakai setiap bulan kepada penduduk Brickland-Tengah yang berminat dalam bertukang,” kata Cik Jean.
Beliau mengalu-alukan setiap lapisan masyarakat, dari muda hingga warga emas, untuk mencuba menukang dan menjadikan kayu terpakai kepada rekaan indah.
Usahanya turut mendorong penduduk memikirkan semula sebelum membuang barangan. Seorang penduduk, misalnya, pernah membawa bangku rosak untuk dibaiki daripada membuangnya.
“Itulah kesan yang saya ingin lihat, di mana penduduk berusaha membaiki barangan yang rosak terlebih dahulu daripada terus membuangnya dan membeli yang baru. Ia langkah pertama untuk mengurangkan pembaziran,” kata Cik Jean.
Selain Makers’ Corner, hab tersebut mempunyai beberapa stesen yang menggalakkan amalan mampan.
Di stesen Ugly Food, penduduk boleh mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang kurang sempurna dari segi rupa tetapi masih elok dimakan.
Stesen Garment Restoration pula membolehkan pakaian dibaiki dan lebihan kain dimanfaatkan untuk menghasilkan kraf.
Stesen From Seedlings to Harvest menggalakkan penduduk menanam sendiri herba dan sayur-sayuran, termasuk menanam semula sisa bawang untuk menumbuh daun bawang.
Usaha tersebut bertujuan membantu penduduk menghargai makanan dan mengurangkan pembaziran.
“Kadangkala, kita tidak memerlukan sebungkus daun bawang atau daun pandan. Jika penduduk menanamnya sendiri, mereka boleh mengambil hanya sebanyak yang diperlukan,” kata Cik Jean.
Rak beg guna semula turut diletakkan berdekatan stesen Ugly Food bagi menggalakkan penduduk mengurangkan penggunaan beg plastik.
Menurut Cik Jean, pendekatan secara amali adalah penting kerana sekadar meminta penduduk, terutama warga emas, mengamalkan 3R mungkin kurang berkesan kerana mereka mungkin tidak memahami bahawa pembaziran ada harganya.
Selepas sekitar enam bulan, beliau melihat perubahan positif. Penduduk kini menerima buah-buahan dan sayur-sayuran yang kurang sempurna rupanya, menyumbangkan beg guna semula dan berkongsi perkembangan tanaman mereka.
“Saya mahu membawa perubahan kepada masyarakat. Ia tidak semestinya perubahan besar, tetapi bermula dengan mengubah cara pemikiran dan tabiat, kemudian menerapkannya dalam kehidupan harian,” katanya.
Menjadikan guna semula satu tabiat harian
“Banyak inisiatif hijau di sini tertumpu pada kitar semula, namun aspek guna semula masih kurang diberi perhatian. Kami mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya. Botol yang anda miliki masih elok dan boleh digunakan berulang kali,” kata pengasas Ecoworks, Encik Sean Lam.
Dengan misi menjadikan amalan guna semula semudah mengitar semula, Encik Sean menubuhkan syarikat pemula tempatan Ecoworks, yang membangunkan infrastruktur stesen isi semula bagi produk pencuci dan penjagaan rumah seperti detergen di kawasan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta tempat awam lain.
Penduduk hanya perlu membawa bekas sendiri ke stesen tersebut untuk mengisi semula produk, daripada membeli botol plastik baru.
Menurut Encik Sean, sikap terhadap amalan guna semula telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Beberapa tahun lalu, budaya isi semula di Singapura kebanyakannya tertumpu di kedai sifar sisa dan diamalkan kelompok kecil yang sememangnya komited terhadap kelestarian. Hari ini, penduduk HDB mengisi semula detergen kerana ia mudah didapati dan lebih menjimatkan,” katanya.
Bagi menggalakkan amalan itu, lokasi dan harga memainkan peranan penting. Jika stesen isi semula mudah diakses dan kosnya lebih rendah daripada membeli produk baharu, guna semula boleh menjadi pilihan biasa dan bukan lagi keputusan yang dibuat semata-mata atas kesedaran terhadap alam sekitar.
Kerjasama dengan jenama yang sudah dipercayai dan digunakan penduduk turut membantu menggalakkan amalan ini.
Menurut Ecoworks, rangkaian perintis 15 stesen isi semulanya setakat ini telah membantu mengelakkan penggunaan 1,283 kilogram botol plastik sekali guna serta mengurangkan 6,417 kilogram pelepasan karbon dioksida daripada penghasilan detergen dan botol.
Ecoworks kini menyasarkan lebih 100 stesen dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan Pinnacle@Duxton sebagai lokasi utamanya.
Usaha itu turut mencerminkan mesej kempen SYTWL, “Pembaziran Ada Harganya”.
“Harga plastik sekali guna kelihatan lebih murah daripada kos sebenarnya kerana kos sebenar yang terlibat – daripada subsidi bahan api fosil yang menyokong penghasilan plastik baharu hinggalah kepada kos pengurusan sisa selepas digunakan – ditanggung oleh masyarakat dan bukannya dikenakan kepada pengguna ketika membuat pembelian.
“Usaha kami adalah membina infrastruktur yang membolehkan orang ramai memilih pilihan yang lebih menjimatkan dan menghasilkan kurang sisa,” kata Encik Sean.
AYUH KURANGKAN, GUNA SEMULA DAN KITAR SEMULA
KURANGKAN
Hanya beli dan pesan apa yang anda boleh habiskan untuk mengurangkan pembaziran makanan.
- Buat senarai membeli-belah dan ikutinya
- Letakkan makanan hampir luput tarikh di tempat yang mudah dilihat
- Kata ‘Tidak’ pada hidangan sampingan yang anda tidak makan
GUNA SEMULA
Bawa barangan guna semula sendiri.
- Elakkan barangan sekali guna jika boleh
- Guna cawan/sudu garfu/bekas/beg guna semula sendiri
- Letakkan beg guna semula berhampiran pintu atau di dalam beg anda supaya tidak terlupa membawanya apabila keluar rumah
KITAR SEMULA
Tiada makanan, tiada cecair. Periksa dan bersih sebelum mengitar semula.
- Periksa barangan yang boleh dikitar semula dengan menggunakan Recycle Right Chatbot
- Pastikan barangan bersih (dicuci dan bebas daripada makanan/cecair)
- Kitar semula barangan anda di tempat yang betul: tong atau pelongsor kitar semula biru, tong sisa elektronik, tong tekstil dan mesin Return Right.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang SYTWL: go.gov.sg/sytwl.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang acara-acara rakan kongsi SYTWL partners’ events: go.gov.sg/sayyesevents
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tawaran daripada rakan kongsi SYTWL: go.gov.sg/sayyessavemore
Rencana ini disampaikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA)
