Bekas pemain pasukan bola sepak negara, Haslir Ibrahim, meninggal dunia pada pagi 7 Jun.
Allahyarham meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru, yang telah lama beliau hidapi.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Hasli Ibrahim, 73 tahun, terkenal sebagai pemain pertahanan sekitar tahun 1970-an, pernah mewakili Singapura dalam pertandingan Piala Malaysia bersama pemain-pemain handalan seperti Quah Kim Song, Samad Allapitchay, Dollah Kassim dan Md Noh.
Beliau juga pernah bermain untuk kelab-kelab tempatan seperti Kaki Bukit, Toa Payoh United, South Avenue, Singapore Cosmos, Tiong Bahru, KLM dan Melayu Singapura.
Berita mengenai pemergian Allahyarham dikhabarkan anak beliau, Cik Lindar Haslir, menerusi Facebook sekitar 3.30 pagi.
Apabila Berita Harian (BH) tiba di rumahnya di Blok 451 Tampines Street 42 sekitar 11.30 pagi, kelihatan ramai ahli keluarga dan sahabat handai sudah hadir dan menanti untuk memberi penghormatan terakhir.
Antara yang hadir termasuk Samad, 74 tahun; bekas pemain sayap kiri, Ahmad Sayuti Ali, 68 tahun; dan Kim Song, 72 tahun.
Anak sulung Allahyarham, Cik Norashikin Haslir, 46 tahun, berkata ayahnya seorang yang sangat penyayang dan berdedikasi terhadap keluarganya.
“Beliau seorang yang sangat fokus tentang anak-anak dan apa-apa yang beliau lakukan adalah hanya untuk kebahagiaan keluarganya.
“Abah sangat penyabar. Walaupun beliau tak meluahkan kasih sayangnya, beliau menunjukkannya melalui perbuatannya sendiri.
“Beliau adalah tonggak keluarga kami, seorang yang kuat. Kekuatan yang kami, anak-anak dan cucu-cucunya, warisi, adalah daripadanya dan ibu,” tambah Cik Norashikin lagi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, enam orang anak dan 16 cucu.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), dalam satu kenyataan pada 7 Jun, berkata mereka amat sedih dengan pemergian Allahyarham.
“Dikenali ramai sebagai “Tanker” kepada peminat pada 1970-an dan 1980-an, Haslir memberi impak yang berkekalan dengan kehadirannya yang menggerunkan di atas padang.
“Terkenal dengan terjahan yang mantap dan dedikasi yang tidak berbelah bagi, beliau adalah anggota penting pasukan yang memenangi Piala Malaysia 1977, di mana persembahan mantap beliau mengukuhkan pertahanan Singapura,” kata FAS.
FAS berkata salah satu peristiwa yang paling diingati ramai tentang Allahyarham ialah semasa Singapura menentang Kedah bagi Piala Malaysia 1980 di mana Allahyarham menjaringkan gol penting yang melakar kemenangan buat Singapura.
Sumbangannya di dalam dan di luar padang, kata FAS, menyebabkan Allahyarham dikagumi peminat dan rakan sepasukannya.
“Selama kerjayanya, Haslir menunjukkan kerendahan hati dan fokus yang teguh pada peranannya. Komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap permainan yang diminatinya terserlah dalam paparan semangat kesukanan dan dedikasi yang patut dicontohi,” kata FAS.
Beberapa rakan sepasukannya berkata Allahyarham menonjolkan dedikasi yang tinggi dan sikap tidak berputus asa dalam apa jua yang beliau lakukan, di dalam dan juga di luar padang.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di kolong Blok 451 Tampines Street 42 dan juga di Masjid Al-Istighfar oleh anak-anak lelakinya selepas solat Jumaat sebelum disemadikan di Pusara Aman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg