Pertahanan tidak boleh dipisahkan daripada serangan kata jurulatih skuad bola sepak negara Tsutomu Ogura.
Bercakap dengan Berita Harian (BH) menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia dengan Korea Selatan di Stadium Negara pada 6 Jun ini, Ogura berkata bola sepak bukan bola lisut, di mana sesebuah pasukan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan – penyerang dan pemain pertahanan.
Bola sepak, menurutnya, perlu pemain menjiwai kededua konsep dan bijak melaksanakan konsep ini di padang.
Mungkin berpandukan falsafah bola sepak ini, beliau telah mengundang 10 pemain pertahanan yang terdiri daripada pemain mapan dan muda dalam skuad awal 27 pemain yang diumumkan untuk menjalani latihan pusat.
Selain pemain berpangkalan di luar negara seperti Safuwan Baharudin (Selangor) serta dua pemain BG Pathum, Irfan Fandi dan Ryhan Stewart, beliau juga telah mengundang semula Amirul Adli (Tampines Rovers) dan Nur Adam Abdullah (Young Lions) ke skuad nasional serta memberi peluang kepada pemain muda, Jordan Emaviwe (Balestier Khalsa).
Ogura enggan berkongsi lebih lanjut mengenai taktik dan strategi yang bakal digunakannya semasa menentang Korea, yang menduduki tangga ke 23 di ranking Fifa, 132 tangga di atas Singapura.
Namun Ogura berkata beliau tidak akan mengubah cara permainan pasukan sebagaimana yang ditunjukkan semasa menentang China dan Thailand dalam kelayakan Piala Dunia ini.
Singapura tewas 1-3 kepada Thailand pada 21 November 2023 dan seri 2-2 dengan China pada 21 Mac di Stadium Negara, sebelum tewas kepada China 1-4 pada 26 Mac di stadium lawan.
Singapura tewas 0-5 kepada Korea dalam perlawanan pertama di Seoul pada 16 November 2023.
Walau tewas empat dalam lima perlawanan itu, Singapura menunjukkan cara permainan yang menggalakkan dengan meresap asakan lawan dan membuat serangan balas kilat untuk mencari ruang gol.
Peluang pasukan Singa untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan Piala Dunia selanjutnya amat tipis, sementara Korea hanya memerlukan seri pada 6 Jun untuk melayakkan diri.
Namun, stadium yang penuh – kesemua 50,000 tiket perlawanan sudah habis dijual kata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) – adalah dorongan hebat untuk Singa membuktikan keupayaan semasa menentang antara pasukan terhandal di Asia.
Emaviwe, 23 tahun, berkata undangan menyertai skuad Singa bak ganjaran yang dinanti-nantikan hasil kerja keras sejak beberapa tahun lalu.
“Jika saya mampu memberi saingan kepada pemain pertahanan lain, ia juga akan menaikkan tahap permainan mereka,” kata beliau, merujuk pada hujah Ogura terhadapnya semasa mengumumkan skuad Singa.
Ogura telah mengatakan Emaviwe boleh menjadi saingan yang baik terhadap pemain pertahanan lain yang lebih berpengalaman.
Perlawanan menentang Korea Selatan lebih bermakna untuk pemain bekas jurulatih Lion City Sailors (LCS), Kim Do-hoon, setelah beliau dilantik pengurus sementara skuad negaranya.
Bekas penjaga gol LCS, Hassan Sunny, yang memenangi Liga Perdana Singapura (SPL) 2021 bersama Kim, berkata:
“Beliau (Kim) ialah jurulatih yang menanamkan disiplin dan sikap tegas kepada pemainnya.
“Kami akan menghadapi skuad (Korea Selatan) yang lasak dan tersusun dari segi pertahanan dan serangan.”
Dalam pada itu, Ogura akur peminat mempunyai jangkaan tinggi terhadap skuad Singa dengan mengatakan:
“Kami berjuang, kami meningkat. Sikap begini yang akan buat (lebih) peminat ke depan, menyebabkan pemain rasakan sesuatu.
“Seperti pada Mac (perlawanan pertama menentang China), apa yang dilihat (semasa perlawanan itu), sekarang bertambah 30 ribu orang lagi. Ini adalah perasaan yang saya mahu berterusan untuk perlawanan seterusnya.”
“
Kami berjuang, kami meningkat. Sikap begini yang akan buat (lebih) peminat ke depan, menyebabkan pemain rasakan sesuatu. Seperti pada Mac (perlawanan pertama menentang China), apa yang dilihat (semasa perlawanan itu), sekarang bertambah 30 ribu orang lagi. Ini adalah perasaan yang saya mahu berterusan untuk perlawanan seterusnya.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg