Sejarah, legasi serta sumbangan masyarakat Arab dalam pembangunan Singapura sejak dua abad lalu kini dirakam dalam sebuah penerbitan.
Sempena sambutan SG60 pada 2025, Arab Network @ Singapore (AN@S) telah melancarkan sebuah buku bacaan santai atau ‘coffee table book’ bertajuk ‘Arabs of Singapore: 200 Years On’.
Majlis pelancaran buku tersebut telah diadakan pada 22 November 2025 di Muzium Tamadun Asia (ACM), dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat, dan ia turut dihadiri oleh kira-kira 150 tetamu jemputan khas yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, diplomat, serta tokoh akademik dan budaya.
Penerbitan itu juga merakamkan perjalanan, identiti, dan sumbangan penting masyarakat Arab kepada landskap sosio-ekonomi Singapura.
Presiden AN@S, Cik Khadijah Alattas, berkata pelancaran buku ini menandakan satu lagi pencapaian besar dalam sejarah lisan dan bertulis Singapura, bagi memastikan generasi akan datang menghargai sumbangan nenek moyang mereka dalam membentuk jati diri Kota Singa.
“Ia memaparkan pengaruh luas komuniti Arab dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, kedermawanan (filantropi), pendidikan, agama, kulinari, muzik, dan fesyen. Buku ini juga mengetengahkan kisah 14 personaliti terkemuka yang kehidupannya mencerminkan keseimbangan antara pemeliharaan warisan tradisi dan tuntutan kemodenan,” ujarnya.
Cik Khadijah juga menambah buku ‘Arabs of Singapore’ yang sarat dengan ilustrasi menarik ini merangkumi 14 bab yang menelusuri evolusi komuniti tersebut, bermula dari akar umbi mereka di lembah Hadhramaut, Yaman, sehingga integrasi mendalam mereka dalam fabrik masyarakat berbilang budaya di Singapura hari ini. Komuniti Arab Singapura hari ini dianggarkan berjumlah 10,000 orang.
Dalam prakata buku ini, penyuntingnya Pengerusi AN@S yang juga Profesor Sosiologi dan Antropologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Syed Farid Alatas, serta Ketua Pendidikan & Pengayaan AN@S yang juga Pengarah Urusan Alattas Group, Encik Omar Alattas, menyatakan bahawa enam bab dikhususkan untuk membincangkan legasi, pencapaian, dan sumbangan komuniti ini, serta bagaimana mereka mengukuhkan kedudukan dan berakar umbi di tanah air Singapura manakala empat bab untuk bahagaian budaya dan empat bab lagi untuk masyarakatnya yang berbilang bakat dan pengaruh.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan buku ini, boleh mendapatkannya melalui laman https://take.app/arabnetworksg dengan harga $80.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg