Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sebagai wajah harmoni kaum dan agama di tengah politik identiti, perang budaya

Jan 1, 2026 | 5:00 AM
masyarakat majmuk singapura
Masyarakat dapat melawan polarisasi kelompok dengan menyemai semangat kerjasama antara kaum dan agama terhadap isu kemanusiaan supaya identiti bersama dapat diperteguhkan.  - Foto fail

Sepanjang tahun 2025, isu politik identiti mendapat perhatian dalam wacana awam.

Walaupun bukan perkara yang baru, ia mendapat sorotan setelah insiden mencampuradukkan agama dan politik sewaktu kempen pilihan raya.

Ia kemudian dibahaskan di Parlimen berikutan kenyataan kementerian yang menegaskan penolakan terhadap politik agama dan perkauman.

Namun, politik identiti terus menimbulkan persoalan.

Kita akur bahawa identiti agama dan kaum berkait rapat di dalam sistem politik Singapura.

Sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), Peruntukan Presiden (Reserved Presidency) dan juga portfolio Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam membawa identiti agama dan kaum ke permukaan.

Apakah ini sama dengan politik identiti?

Fahami Politik Identiti

Pertama, kita harus faham bahawa akar permasalahan bukanlah pada identiti agama dan kaum yang kita miliki.

Menurut kajian 2021 oleh Institut Pengajian Dasar (IPS), sebanyak 87 peratus penduduk Singapura menganggap identiti kaum sebagai penting kepada diri mereka.

Hampir 80 peratus penduduk Singapura juga mempunyai identiti agama.

Jadi, identiti kaum dan agama menjadi sebahagian daripada landskap sosial yang tidak boleh diendahkan.

Pada masa yang sama, kemajmukan kaum dan agama yang wujud harus dikelolakan dengan sensitif dan bijaksana.

Dalam erti kata lain, mentadbir realiti kewujudan identiti kaum dan agama tidak sama dengan mempolitikkan identiti tersebut.

Inilah inti pati persoalan.

Politik identiti terjadi apabila wujud tiga perkara.

Pertama, identiti dilihat melalui lensa yang eksklusif yang harus melawan golongan yang mempunyai identiti yang berbeza.

Kedua, hierarki identiti diangkat sebagai dasar untuk mendiskriminasi dan menyisihkan golongan lain.

Ketiga, identiti menjadi rebutan dan sentimen terhadapnya dimainkan untuk mendapatkan pengaruh, kuasa atau undi di medan politik dan masyarakat.

Ringkasnya, identiti politik memperalatkan sentimen terhadap kaum dan agama untuk memecahbelahkan masyarakat, sama ada untuk kepentingan politik, kuasa mahupun atas fahaman sektarian yang sempit.

Menurut ahli sosiologi, Professor Gary Younge di dalam bukunya, Who Are We? politik identiti memerlukan kita memahami bagaimana identiti kita saling bertindih, bersilang, dan berubah mengikut keadaan sosial.

Oleh itu, penting untuk kita melihat kepada identiti bersama yang lebih luas – seperti kemanusiaan dan kewarganegaraan – untuk melawan identiti kelompok yang sempit dan eksklusif.

Tokoh ulama Indonesia, Kiyai Haji Abdurrahman Wahid, pernah menyebutnya sebagai keutamaan persaudaraan (ukhuwah) berdasarkan kemanusiaan (basyariyah) sebelum kewarganegaraan (wathaniyah), dan akhir sekali barulah persaudaraan yang lebih partikularistik, yakni agama, ras, suku dan kelompok.

Pada masa yang sama, politik identiti hanya akan berleluasa sekiranya kita tidak mengendahkan masalah yang nyata seperti ketempangan sosial dan jurang antara kaum yang akan dieksploitasikan oleh golongan demagog politik yang bersifat populis.

Tadbir Kemajmukan dengan Saksama

Apakah politik identiti wujud di Singapura?

Sebagai sebuah negara majmuk, dasar pentadbiran Singapura mengambil kira kepentingan semua kaum dan agama secara adil dan saksama.

Walaupun ‘privilege’ wujud atas sebab demografi (golongan majoriti) dan kelas (golongan yang mempunyai kuasa kapital), Singapura tidak memandang sebarang kaum sebagai lebih superior dan berhak.

Yang menjadi landasan ideologi ialah sistem meritokrasi yang mementingkan kesaksamaan peluang, bukan hasil.

Yang kedua, Singapura mengamalkan sistem sekular yang mentadbir mengikut pertimbangan sivik dan bukannya fahaman agama.

Ini tidak bermakna negara bersifat anti-agama. Perlembagaan Singapura (Artikel 15) memperuntukkan kebebasan menganut dan menyebarkan agama mengikut undang-undang sedia ada.

Di dalam mengelola masyarakat beragama, pemerintah menjaga jarak di dalam hal-hal keyakinan agama, kecuali yang terkait dengan keselamatan dan kepentingan negara secara umum.

Inilah dua perbezaan yang menjadi titik tolak pemisahan negara Singapura dan Malaysia pada tahun 1965.

Namun, ini tidak bermakna segalanya sudah tuntas.

Kita masih mempunyai pelbagai masalah berkaitan pandangan sosial yang prejudis terhadap sesuatu kaum atau agama.

Menurut kajian IPS-OnePeople.sg pada 2024, stereotaip antara kaum semakin meningkat: 43.5 peratus berbanding 35.2 peratus pada 2018.

Isu keterbelakangan (underdevelopment) juga masih menjadi perkara yang sedang ditangani oleh badan pemerintah dan organisasi masyarakat.

Ini termasuk masalah sosial yang masih membelenggu masyarakat Melayu umumnya.

Namun, penting dinyatakan bahawa masalah seperti kemiskinan, pencapaian pendidikan yang rendah, salah guna dadah dan ketimpangan keluarga, merupakan persoalan kelas dan bukan kerana sikap atau sifat ‘kemelayuan’.

Kebimbangan Singapura juga ialah anasir luar yang mahu memecahbelahkan masyarakat dengan menggunakan sentimen kaum dan agama.

Naratif seperti “Melayu/Islam ditindas” merupakan retorika yang tidak bermanfaat dan berfungsi membangkitkan amarah yang akan membawa kepada persengketaan antara kaum atau agama.

Sering kali, Singapura dijadikan sasaran untuk politik tempatan negara lain yang memainkan politik identiti yang tidak terkawal.

Inilah yang harus diwaspadai sehingga anasir dari luar tidak menjejas hubungan baik antara kaum dan agama yang wujud sepanjang lima dekad pembangunan negara Singapura.

Harapan Tahun 2026

Sekiranya dunia kini membara dengan politik identiti, termasuk “perang budaya” yang terjadi di negara Barat, Singapura berpotensi untuk menunjukkan wajah yang berbeza.

Keharmonian kaum dan agama yang wujud di Singapura bukan secara kebetulan.

Ia adalah usaha gigih dan kerjasama ramai pihak, termasuk pemimpin di akar umbi, penggerak masyarakat sivil dan juga penjawat awam yang komited.

Empat perkara yang harus ditekankan sebagai upaya kita terus melawan gelombang identiti politik.

Pertama, ialah memperkuatkan solidariti antara kaum dan agama.

Sebagai contoh, para pemimpin masyarakat telah bersama-sama menyatakan keprihatinan ketika terjadi insiden seperti pengiriman paket babi ke masjid, rancangan menyerang penganut Yahudi di saumaah dan penikaman seorang paderi di sebuah gereja.

Kedua, lebih banyak dialog dan kegiatan membina pemahaman antara kelompok harus diwujudkan.

Walaupun ini sudah berlanjutan selama beberapa tahun, sudah tiba masanya kita mewujudkan ‘ruang berani’ untuk berdialog secara terbuka dan jujur supaya kesalahfahaman dapat dijelaskan, sifat prejudis dilenyapkan dan maklumat salah diperbetulkan.

Ketiga, ialah memberi ruang kepada golongan muda memimpin agenda melawan politik identiti dengan naratif balas.

Golongan muda harus dilibatkan, bukan sekadar mengisi ruang, tetapi diberi peluang memimpin dan membuat keputusan, dengan bimbingan yang sesuai.

Akhir sekali, kita dapat melawan polarisasi kelompok dengan menyemai semangat kerjasama antara kaum dan agama terhadap isu kemanusiaan supaya identiti bersama dapat diperteguhkan.

Ini juga bermakna tugas membina semangat kekitaan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong tahun lalu, harus dikedepankan dan dibangunkan bersama.

Bunga anggerik di taman raya,

Wangi semerbak sepanjang hari;

Walau berbilang kaum dan agama,

Kita sehati maju bersemi.

Selamat Tahun Baru!

Penulis ialah pengasas dan pengarah Dialogue Centre Limited.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg