Sejarah, legasi serta sumbangan masyarakat Arab dalam pembangunan Singapura sejak dua abad lalu kini dirakam dalam sebuah penerbitan.
Sempena sambutan SG60 pada 2025, Arab Network @ Singapore (AN@S) telah melancarkan buku bacaan santai atau ‘coffee table book’ bertajuk, Arabs of Singapore: 200 Years On.
Majlis pelancaran buku itu diadakan pada 22 November 2025 di Muzium Tamadun Asia (ACM), dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam, sebagai tetamu terhormat.
Ia turut dihadiri sekitar 150 tetamu jemputan khas yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, diplomat, serta tokoh akademik dan budaya.
Penerbitan itu merakam perjalanan, identiti, dan sumbangan penting masyarakat Arab kepada landskap sosioekonomi Singapura.
Presiden AN@S, Cik Khadijah Alattas, berkata pelancaran buku itu menandakan satu lagi pencapaian besar dalam sejarah lisan dan bertulis Singapura, bagi memastikan generasi akan datang menghargai sumbangan nenek moyang mereka dalam membentuk jati diri Kota Singa.
“Ia memaparkan pengaruh luas komuniti Arab dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, kedermawanan (filantropi), pendidikan, agama, kulinari, muzik, dan fesyen.
“Buku ini juga mengetengahkan kisah 14 personaliti terkemuka yang kehidupannya mencerminkan keseimbangan antara pemeliharaan warisan tradisi dengan tuntutan kemodenan,” ujarnya.
Cik Khadijah menambah, buku tersebut sarat dengan ilustrasi menarik.
Ia merangkumi 14 bab yang menelusuri evolusi masyarakat tersebut, bermula daripada akar umbi mereka di lembah Hadhramaut, Yaman, sehingga penyepaduan mendalam mereka dalam fabrik masyarakat berbilang budaya di Singapura hari ini.
Anggota masyarakat Arab Singapura hari ini dianggar berjumlah 10,000 orang.
Dalam prakata buku itu, penyuntingnya Pengerusi AN@S yang juga Profesor Sosiologi dan Antropologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Syed Farid Alatas, serta Ketua Pendidikan & Pengayaan AN@S yang juga Pengarah Urusan Alattas Group, Encik Omar Alattas, menyatakan bahawa enam bab dikhususkan untuk membincangkan legasi, pencapaian, dan sumbangan masyarakat itu.
Turut diketengahkan ialah bagaimana mereka mengukuhkan kedudukan dan berakar umbi di tanah air Singapura manakala empat bab untuk bahagian budaya dan empat bab lagi untuk masyarakatnya yang berbilang bakat dan pengaruh.
bagi mereka yang berminat mendapatkan buku berharga $80 itu, lungsuri pautan, https://take.app/arabnetworksg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg