SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Sumbangan pempengaruh media sosial Nur JM Mohd dikenang

Sumbangan pempengaruh media sosial Nur JM Mohd dikenang

Feb 13, 2024 | 7:13 PM

Sumbangan pempengaruh media sosial Nur JM Mohd dikenang

Anak Allahyarham Nur Mohammad Azmi, Encik Syafiez Nur Mohammad (kiri), dan abangnya, Encik Sofyan (kemeja T biru) semasa pengebumian bapa mereka, Allahyarham Nur Mohammad Azmi, yang dikenali sebagai Nur JM Mohd (gambar sisipan), di Pusara Aman.
Anak Allahyarham Nur Mohammad Azmi, Encik Syafiez Nur Mohammad (kiri), dan abangnya, Encik Sofyan (kemeja T biru) semasa pengebumian bapa mereka, Allahyarham Nur Mohammad Azmi, yang dikenali sebagai Nur JM Mohd (gambar sisipan), di Pusara Aman. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Beliau dikenali ramai kerana sumbangannya dalam menggalakkan perniagaan tempatan dan memberi kata-kata semangat melalui media sosial kepada mereka yang menghadapi cabaran dalam hidup.

Namun, di sebalik senyuman yang sentiasa terukir di wajahnya, beliau adalah seorang bapa tunggal yang telah mengharungi pelbagai dugaan dan dengan tekad yang kuat, bekerja keras demi membesarkan kedua anak lelakinya.

Allahyarham Nur Mohammad Azmi, yang berusia 45 tahun, merupakan seorang usahawan, pempengaruh dan bekas pemandu treler, yang dikenali ramai sebagai Nur JM Mohd. JM adalah ringkasan bagi ‘Jantan Malas’.

Beliau meninggal dunia pada 12 Februari di Hospital Universiti Nasional (NUH) akibat urat saraf paru-paru yang tersumbat atau ‘pulmonary embolism’.

Jenazahnya disemadikan di Pusara Aman pada 13 Februari, kira-kira pada 1 tengah hari selepas dimandikan dan disolatkan di Masjid Ba’alwie. Solat jenazah dipimpin imam masjid, Habib Syed Hassan Al-Attas, dan disertai ratusan jemaah.

Jenazah Allahyarham Nur Mohammad Azmi dipikul ahli keluarga setiba di Masjid Ba’alwie di Bukit Timah untuk solat jenazah.
Jenazah Allahyarham Nur Mohammad Azmi dipikul ahli keluarga setiba di Masjid Ba’alwie di Bukit Timah untuk solat jenazah. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Allahyarham meninggalkan dua orang anak, Encik Sofyan Nur Mohammad, 22 tahun, dan Encik Syafiez, 20 tahun.

Allahyarham merupakan anak sulung lima beranak, dan kesemua adik dan ibu bapanya menetap di luar negara. Ibu bapa arwah, yang mengendali perniagaan katering di Amerika Syarikat, dijangka tiba di Singapura dalam masa terdekat bagi menguruskan keluarga arwah.

Semasa hayatnya, Allahyarham Nur Mohammad bertugas sebagai seorang pemandu treler selama 13 tahun, kemudian bekerja secara bebas sebagai pemandu kereta sewa privet sebelum menjadi seorang pengurus sebuah syarikat penganjur acara dan penghasilan muzik, Boss Production, lima tahun lalu.

Sewaktu memandu treler, arwah menjadi personaliti media sosial selepas satu siri sketsa dirakam dalam trelernya yang menceritakan kisah seorang lelaki ditinggalkan isteri menjadi tular di Facebook.

Akaun Nur JM Mohd Official di wadah media sosial itu telah menarik lebih 147,000 pengikut, dengan kandungan hiburan lain yang dimuat naik arwah, termasuk luahan hatinya menangani hidup sebagai bapa tunggal.

Anak sulung Allahyarham Nur Mohammad Azmi, Encik Sofyan Nur Mohammad, kelihatan memanjat tangga selepas arwah bapanya diletakkan di liang lahad.
Anak sulung Allahyarham Nur Mohammad Azmi, Encik Sofyan Nur Mohammad, kelihatan memanjat tangga selepas arwah bapanya diletakkan di liang lahad. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Ketika ditemui di Pusara Aman, Encik Sofyan berkata arwah bapanya, yang dipanggil ‘Papa’, disahkan meninggal dunia pada 9.53 malam, 12 Februari.

Arwah menghidap penyakit berkaitan kencing manis, jantung dan paru-paru sejak sekitar lima tahun lalu, dan telah keluar-masuk hospital beberapa kali serta menjalani pembedahan, katanya.

Allahyarham yang dimasukkan ke hospital sejak 5 Februari, telah menjalani satu lagi pembedahan bagi merawat urat saraf yang tersumbat.

Selepas pembedahan tersebut, menurut Encik Sofyan, bapanya berupaya duduk dan makan sendiri.

“Semasa kami berjumpa pada tengah hari (12 Februari), Papa menyatakan bahawa beliau mungkin akan pulang dalam tiga hari kerana merasakan dirinya semakin pulih,” katanya sambil menambah bahawa itu merupakan kali terakhir mereka berdua bertemu dengan arwah semasa beliau masih hidup.

Namun, sekitar 8 malam, Encik Sofyan menerima panggilan dari hospital, yang memberitahunya bahawa tahap oksigen bapanya telah merosot.

Sejam kemudian, Encik Sofyan diberitahu ayahnya telah meninggal dunia.

Encik Syafiez, yang ditemui berlinangan air mata berkata: “Papa seorang periang dan kami saling memberi sokongan antara satu dengan lain sehingga ke akhir hayatnya.

“Papa selalu meletakkan kepentingan orang lain sebelum dirinya sendiri, meskipun beliau sebenarnya selalu hadapi dugaan diri sendiri.”

Anak sulung Allahyarham Nur Mohammad Azmi, Encik Sofyan Nur Mohammad, kelihatan sedang memeluk seorang ahli keluarga dalam di upacara pengebumian yang dihadiri ratusan orang.
Anak sulung Allahyarham Nur Mohammad Azmi, Encik Sofyan Nur Mohammad, kelihatan sedang memeluk seorang ahli keluarga dalam di upacara pengebumian yang dihadiri ratusan orang. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Ibu saudara Allahyarham, Cik Robiyah Harun, 57 tahun, yang kerap menjenguk keluarga arwah sejak penceraiannya pada 2017 berkata arwah merupakan seorang yang kuat semangat demi menyara anak-anaknya.

“Beliau bapa yang baik dan telah mendidik anak-anaknya sehingga berupaya hidup berdikari,” katanya.

Seorang teman rapat arwah Encik Fakhrul Arifin Mohamed Hussein, 44 tahun berkata sifat ramah arwah membuatnya mudah berkawan dengan ramai orang.

Pengikutnya adalah daripada pelbagai kumpulan berlandaskan aktiviti yang diminati seperti pemandu treler, penggemar aktiviti memancing serta peniaga tempatan yang pernah dibantu Allahyarham mempromosikan dagangan mereka di media sosial.

“Ratusan orang hadir ke memberi penghormatan terakhir kepadanya datang daripada pelbagai latar belakang. Jelas ini menunjukkan ramai orang sayang dia,” kata Encik Arifin.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg