Sedang Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, masih lagi di Mesir untuk meninjau usaha kemanusiaan bagi Gaza, beliau menerima satu nota di Singapura yang cukup menyentuh hatinya.

Seorang penduduk Marsiling-Yew Tee, yang dikenali sebagai Encik Lim, menghantar nota tulisan tangan dan sumbangan cek bernilai $3,000 kepada pejabat Encik Zaqy di Singapura.

Wang itu ditujukan untuk menyediakan bekalan makanan dan perubatan kepada keluarga yang terjejas akibat konflik di Gaza.

“Saya belum lagi pulang ke Singapura, tetapi warga Singapura seperti Encik Lim sudah mengikuti usaha kami dan senyap-senyap tampil membantu.

“Saya amat tersentuh,” kata Encik Zaqy, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, dalam satu catatan di media sosial pada 21 November.

Katanya lagi, tindakan Encik Lim itu membawa makna yang lebih mendalam setelah Encik Zaqy menemui keluarga yang terjejas oleh konflik tersebut.

Melahirkan penghargaannya kepada Encik Lim, Encik Zaqy berkata sumbangan seperti itu satu peringatan bahawa rasa belas ihsan tidak mengenali kaum, agama mahupun sempadan.

“Sikap murah hati yang tidak menonjol ini, serta kesanggupan untuk mengambil berat terhadap mereka yang mungkin tidak akan pernah kita temui, menjadikan semangat Singapura kita begitu istimewa,” tulis Encik Zaqy.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Beliau mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Mesir dari 8 hingga 14 November lalu.

Tumpuan utama lawatan itu ialah urusan persiapan haji 2027, pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh kerjasama kemanusiaan dan dua hala.

Di Mesir, Encik Zaqy diiringi anggota rangkaian SG bagi Kemanusiaan yang terdiri daripada empat badan kemanusiaan utama – Humanity Matters (HM), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Palang Merah Singapura (SRC) dan Mercy Relief (MR).