Ketua Hakim Sundaresh Menon bakal bersara pada 26 Februari 2027, dengan Hakim Mahkamah Rayuan Sushil Nair akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Singapura yang kelima, pada tarikh yang sama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 17 Julai, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata: “Ketua Hakim Menon telah berkhidmat kepada Singapura dengan cemerlang sepanjang 14 tahun.

“Di bawah kepimpinannya, badan kehakiman negara telah memperoleh keyakinan rakyat Singapura serta penghormatan daripada masyarakat perundangan antarabangsa.

“Saya merakamkan penghargaan atas jasa dan khidmat beliau yang luar biasa.

“Saya yakin Hakim Nair akan meneruskan legasi kukuh ini serta terus mempertahankan kecemerlangan, integriti dan kebebasan badan kehakiman kita.”

Encik Menon dilantik sebagai Ketua Hakim pada 6 November 2012 dan sejak itu, menerajui badan kehakiman Singapura melalui fasa pembaharuan dan transformasi yang besar.

Di bawah kepimpinannya, institusi kehakiman diperkukuh, akses kepada keadilan dipertingkat, sistem pentadbiran mahkamah dimodenkan, selain terus memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap kedaulatan undang-undang, kata PMO.

Encik Menon turut mengetuai pelbagai reformasi penting bagi memperkasa keupayaan mahkamah, termasuk memacu transformasi digital sistem kehakiman, serta menubuhkan Bahagian Rayuan Mahkamah Tinggi.

Langkah itu membolehkan kes-kes rayuan didengar dan diputuskan dengan lebih cekap.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC) serta jawatankuasa antarabangsanya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai pusat penyelesaian pertikaian antarabangsa yang diyakini, tambah PMO.

Selain itu, Mahkamah Keadilan Keluarga dan Mahkamah Belia turut mengamalkan pendekatan keadilan terapeutik di bawah kepimpinan beliau, yang mengubah cara kes-kes berkaitan keluarga dan golongan muda dikendalikan serta diselesaikan.

Encik Menon juga menubuhkan Kolej Kehakiman Singapura, yang kini menjadi institusi utama bagi latihan dan pendidikan kehakiman negara.

Encik Nair pula menyertai badan kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 April 2025.

Beliau kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, sebelum dinaikkan jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 15 Jun.

Encik Nair membawa bersamanya pengalaman selama 35 tahun dalam bidang perundangan ketika menyertai badan kehakiman.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif firma guaman, Drew & Napier, selain mengetuai kumpulan amalan Penyusunan Semula dan Penyelesaian Hutang Korporat.

Menurut PMO, beliau diiktiraf secara meluas sebagai antara pakar terkemuka dalam mengendalikan kes-kes komersial yang kompleks, serta pertikaian rentas sempadan di rantau Asia-Pasifik.

Encik Wong turut memberikan surat penghargaan kepada Encik Menon sempena persaraannya, menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin badan kehakiman yang telah mengangkat martabat institusi itu melalui ketegasan intelektual, kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan serta komitmen tinggi terhadap khidmat awam.

Beliau berkata, pembaharuan yang diperkenalkan Encik Menon, termasuk pemodenan sistem mahkamah dan pembangunan perundangan Singapura, bukan sahaja memperkukuh keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman, malah meningkatkan pengaruh undang-undang Singapura di peringkat antarabangsa.